MUKADIMAH
TERLEPAS dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Berangan dan Sungai Dua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang tahun lepas, namun, UMNO masih berjaya merebut dua kerusi baharu, Bertam dan Sungai Acheh dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol terpilih menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang sebagai Exco.
Bagaimanapun, melihat kepada kepimpinan UMNO negeri yang ada ketika ini, ada pihak yang mempersoalkan mengenai kemampuan UMNO Pulau Pinang untuk terus bertahan dalam menempuh onak dan duri demi mengembalikan kegemilangan parti itu pada masa depan.
Wartawan Utusan Malaysia, ISWAN SHAFIQ ISA berpeluang menemubual Ketua Pemuda UMNO negeri, MOHD. HILMI ELIAS yang menjelaskan hala tuju UMNO khususnya di peringkat Pemuda selaku generasi pemimpin pelapis di Pulau Pinang selepas ini.
KETANDUSAN PEMIMPIN MUDA
UMNO Pulau Pinang tidak pernah ketandusan pemimpin muda. Sebenarnya, ini bukan cerita tentang ‘ketandusan’ semata-mata, tetapi, lebih kepada cerita bagaimana hendak menggilap dan menonjolkan bakat kepimpinan mereka di khalayak ramai.
Kita akui memang ada beberapa bahagian di mana ketua bahagiannya iaitu kira-kira 70 peratus terdiri daripada kalangan kepimpinan lama yang masih mengekalkan jawatan. Tapi, orang mungkin terlepas pandang bahawa di peringkat pelapis, kita ada barisan kepimpinan muda yang baik.
Saya sendiri boleh sahkan bahawa daripada 13 bahagian, 12 daripadanya terdiri daripada kalangan Ketua Pemuda UMNO yang baharu. Hanya satu sahaja (muka lama) iaitu di Batu Kawan. Itu pun dia bertanding dan berjaya mengekalkan jawatannya.
12 orang ini pula majoritinya berpendidikan tinggi dan datang dari pelbagai latar belakang sama ada sebagai pemegang ijazah sarjana muda, sarjana atau diploma dan majoriti juga bekerja dalam profesion yang tak kurang hebatnya seperti peguam, pegawai kanan syarikat dan lain-lain. Ini antara proses rejuvenasi politik yang berlaku dalam Pemuda UMNO Pulau Pinang.
RUANG MENYINAR
Rata-rata pemimpin muda UMNO tidak begitu dikenali di peringkat akar umbi, apatah lagi dalam kalangan penduduk setempat kerana mereka ini masih baharu. Jadi, ruang itu harus diberi lebih luas terutamanya dari segi publisiti. Orang mungkin tidak kenal walaupun kita ada keluarkan beberapa kenyataan media dan sebagainya.
Sebenarnya, saya rasa, parti-parti politik lain di Pulau Pinang belum ada yang benar-benar mempunyai nama besar dalam parti. Jadi, kepimpinan pelapis di setiap parti itu harus diterjemahkan dengan baik.
Bermula dari sinilah transisi kepimpinan itu akan berlaku. Tetapi, sejauh mana ruang dan peluang untuk mereka diangkat ke persada yang sepatutnya, itu yang menjadi persoalannya. Sebab apa? Sebab akhirnya dalam tempoh 10 atau 15 tahun lagi transisi itu pasti berlaku juga.
Selain ruang, pendedahan itu juga penting sebab orang luar mungkin akan mempertikaikan peranan Pemuda. Mungkin mereka akan berkata, Pemuda tidak buat kerja dan sebagainya. Tapi, jika kita pandang dari sudut positif, memang ada pergerakan. Mereka ini masih ke depan terutamanya dalam beberapa isu walaupun melalui Facebook. Tapi, mungkin kerana mereka ini tidak membina sensasi yang didambakan. Jadi, perhatian itu kurang diberi. Saya rasa mungkin itu salah satu kemahiran kepimpinan yang harus kepimpinan sekarang touch up (gilap) lagi.
HUBUNGAN DENGAN PARTI KOMPONEN LAIN
Secara jujurnya, kami hanya mula bekerjasama ketika DUN dibubarkan (bagi memberi ruang kepada PRN (tahun lepas). Sebelum itu memang kita tak pernah ada engagement (ikatan kerjasama). Awal-awal itu memang longgar sebab kita tidak memahami cara kerja masing-masing. Sekarang, apa yang boleh saya katakan ialah memang nampak ada peningkatan.
Sebenarnya, dari semasa ke semasa memang ada usaha untuk tambah baik coalition (kerjasama pakatan) ini dan ada beberapa perkara juga yang tengah kita usahakan. Semua ini berpaksikan akar umbi. Buat masa ini, saya lihat (majoriti) akar umbi khususnya di Pulau Pinang masih terkapai-kapai termasuk di beberapa bahagian. Ada yang tertanya-tanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertanding pada PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16) nanti? Tapi, sampai ke hari ini, semua benda ini masih tak pasti.
Kita kena bagi clear (jelas) benda-benda macam ini dulu. Sebab apa? Sebab apabila kita bercakap soal visi perpaduan itu sendiri ia perlu jelas. Sebagai contoh, andai diputuskan bahawa UMNO tidak akan bertanding, maka, tidak perlulah kita menjaga elemen-elemen tertentu. Biarlah kita hanya membantu parti yang bertanding.
Benda ini kena beritahu awal-awal sebab senang kita nak buat kerja. Kita nak kena cari dan gilap pemimpin-pemimpin yang ada potensi untuk bertanding. Sebagai contoh, dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh sendiri, UMNO (sebelum PRN) ada minta satu kerusi DUN (untuk bertanding) tapi tak dapat. Sampai gaduh-gaduh (dalaman) pun tak dapat. Sebab itu kita masih tertanya-tanya apa hala tuju sebenar coalition ini. Kalau saya sendiri sebagai pemimpin (Pemuda) di peringkat tidak mendapat gambaran yang jelas, bagaimana saya nak memahamkan yang bawah ini pula?
NASIB ORANG MELAYU
Saya lihat kita ini banyak berpecah disebabkan sentimen politik. Akhirnya, apa yang boleh saya kata, sayanglah. Walaupun pemimpin itu elok, boleh buat kerja, tapi dia tetap ditolak. Kadang-kadang politik kita ini terbawa-bawa sampai ke masjid. Jadi, di sinilah peranan kami sebagai Pemuda. Kami mengimpikan untuk membantu orang Melayu berpolitik secara baharu.
Saya mengaku bahawa kita tidak boleh berubah secara total. Tapi, kena ingat akhirnya, dalam tempoh 15 hingga ke 20 tahun lagi politik yang mewarnai Malaysia seharusnya menjadi lebih matang. Kebanyakan pemimpin politik di Malaysia ini juga (khususnya orang Melayu) ramai yang sudah sampai kemuncak kerjaya politik masing-masing. Nak ‘habis’ dah.
Dalam hal ini juga, ingin saya tegaskan kami tidak lari daripada perjuangan asal. Kami masih memperjuangkan ‘abata’ (agama, bangsa dan tanah air) dan tak akan berkompromi jika timbul isu membabitkan tiga perkara ini.
Ya, nasib Melayu Pulau Pinang memang ada kita bincangkan, kita cakna. Untuk pengetahuan, politik Pulau Pinang (blok kerajaan) ketika ini agak stabil. Baik di peringkat UMNO atau kerajaan negeri itu sendiri. Hal ini juga mungkin disebabkan pembangkang di sini kurang kompeten. Jadi, nampak tenang. Mungkin ada beberapa isu, tapi tiada sebarang isu yang besar.
RELEVAN LAGIKAH?
Politik sekarang sebenarnya masih mengikut rentak atau acuan yang lama dan kita perlu berubah. Jadi, inilah peranan yang perlu dimainkan generasi pelapis di semua parti. Kita cabar dasar-dasar sedia ada demi penambahbaikan terhadap parti.
Boleh dikatakan setiap bulan, kita ada penambahan ahli di Pulau Pinang. Itu saya boleh sahkan. Kita ada data itu. Paling tinggi tahun lepas kalau tak salah saya. Untuk Pemuda. Jadi, apabila ada orang kata, orang dah tak minat UMNO ini tak betul lah. Secara purata ada 100 hingga ke 200 orang berdaftar sebagai ahli Pemuda UMNO di Pulau Pinang pada setiap bulan. Kita tak pernah kempen daftar ahli pun sebenarnya. Tapi, apa yang saya nampak ialah, benda ini bergantung kepada sentimen semasa. Apabila ada isu atau apa-apa sentimen, ada pendaftaran baharu dan sebagainya. Jadi, UMNO masih kuat di sini.-UTUSAN










