PETALING JAYA: Pemain perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia jarang sekali menghampakan setiap kali tampil dalam acara berpasukan dan semalam, dia membuktikan sekali lagi apabila menjadi kunci kepada kejayaan Malaysia membenam Hong Kong 5-0 dalam aksi sulung Kumpulan D Piala Thomas & Uber di Chengdu, China.
Pemain No. 10 dunia itu mengutip mata pertama Malaysia selepas menundukkan Lee Cheuk Yiu 21-18, 21-18 dalam masa 45 minit.
Anak jati Kedah itu memiliki rekod yang baik setiap kali tampil bersama skuad kebangsaan, malah prestasinya juga lebih meyakinkan berbanding bergerak solo.
Zii Jia ketika ditemu bual selepas perlawanan tidak menafikan sokongan rakan sepasukan telah banyak meningkatkan keyakinannya sewaktu menentang pemain No. 15 dunia, Cheuk Yiu.
“Saya telah bermain dalam banyak acara berpasukan sebelum ini, memang tidak dinafikan dorongan rakan sepasukan turut membantu.
“Keyakinan saya meningkat dengan sokongan rakan-rakan, secara keseluruhan kami bermain baik, amat penting untuk kekal sabar dan tenang, saya harap prestasi ini dapat saya kekalkan dalam perlawanan berikut,” katanya.
Mengulas aksinya berdepan Cheuk Yiu, pemain berusia 26 tahun itu memberitahu, tiada strategi istimewa berdepan pencabarnya itu dan apa yang penting ialah percaya kepada diri sendiri.
“Kami telah bertemu banyak kali dalam perlawanan sebelum ini, jadi, kami saling mengenali kelebihan serta kelemahan masing-masing,” ujarnya.
Untuk perlawanan kedua menentang Algeria, hari ini, Zii Jia berharap dia dan rakan sepasukan tidak terlalu mengambil mudah kerana ujian lebih getir menanti mereka dalam aksi terakhir Kumpulan D berdepan Denmark, Selasa ini.
Kejayaan Zii Jia itu diteruskan oleh beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tidak berdepan masalah melakar kemenangan straight set 21-16, 21-12 ke atas pasangan Hong Kong, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi hanya dalam masa 27 minit.
Leong Jun Hao yang turun selaku perseorangan kedua negara menggalas tugasnya dengan cukup baik apabila mengejutkan Angus Ng Ka Long 17-21, 21-12, 21-15 dalam aksi yang berlanjutan selama lebih sejam.
Kemenangan pemain No. 37 dunia itu memastikan kejayaan 3-0 menjadi milik Malaysia dengan beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melebarkan kedudukan kepada 4-0 selepas mengetepikan Reginald Lee-Tang Chun Man 21-19, 21-18 dalam masa 38 minit.
Pemain muda negara, Justin Hoh yang akhirnya kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencipta kejutan ke atas Chan Yin Chak 21-17, 19-21, 21-17 dalam masa 59 minit untuk melengkapkan kemenangan 5-0 Malaysia ke atas Hong Kong. – UTUSAN










