Polis ‘pembela’ pendidikan

Polis ‘pembela’ pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rakyat Malaysia semestinya terhutang budi kepada pasukan keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sejak begitu lama mereka mendakap rapat cogan kata ‘Sedia Berkhidmat’ demi menjaga keamanan dan kesejahteraan negara ini.

Mereka taat menjalankan tugas siang dan malam, panas dan hujan, menghadapi berbagai ancaman sehingga rela berkorban nyawa sekali demi tugas.

Namun hidup mereka, umumnya agak sederhana – tidak setanding pengorbanan yang diberikan. Berbanding dengan yang bersenang-lenang, hanya pandai mencuit itu dan ini. Sering tidak berpuas hati, tidak selesa dengan isu-isu yang remeh temeh. Lantas membuat aduan polis, terus menambahkan lagi beban serta kesibukan para anggota PDRM.

Perang mulut yang kian meningkat dini hari jelas menjadi penyebab kepada seluruh masyarakat, angkara segelintir kelompok yang bertikam lidah tiada henti. Yang tua tidak padan dengan tuanya, yang muda dengan kegilaan emosinya. Perkara yang kecil diperbesarkan, yang samar-samar diapi-apikan. Akhirnya polis turut terjebak apabila kata-kata menjadi bahan bakar justeru bermusuhan.

Merosakkan keheningan jiwa, memporak-perandakan peradaban dan ketenteraman suasana. Mengundang syak wasangka, menjahanamkan segala-gala. Hangus dijilat api keegoan yang buta punca. Polis terpaksa mara apabila laporan demi laporan dilancarkan sebagai jalan keluar mencari-cari kepuasan diri jua.

Polis terpilih umpama penimbang tara utama, meluruskan tatakelola yang melanggar etika. Penawar racun berbisa, tatkala tiada lagi penyembuh sempurna yang memberi makna kepada kehidupan cukup terseksa.

Ini belum lagi mengambil kira pencerohan khususnya dari seteru yang mengkianati. Ramai berasa bangga apabila polis memintas kes pengintipan yang terkesan berbahaya. Termasuk penglibatan warga negara menyingkap pelbagai ruang ramalan durjana. Apatah lagi ia bukan kali pertama.

Pernah mengakibatkan tumpahan darah satu ketika, kehilangan nyawa sia-sia.

Kali ini mungkin lebih merumitkan kerana dunia tidak lagi terduga keberadaannya. Membenci, iri hati, melaga-laga siapa sahaja asalkan mendapat laba menjadi ‘keasyikan’, merata. Ada TikTok, dan juga ‘totok’, yang melarat, akhirnya semua tersekat, terhenti. Menjauhi matlamat tersirat.

Serentak pembangunan tiada lestari, begitu juga ekonomi, ekologi. Apatah lagi teknologi tinggi mengganti diri yang hilang manusiawi. ChatGPT menjadi kemudi. Manusia berhempas pulas meningkat produkitviti. Masih belum menepati.

Tuntas, polis terus disusuli sungguhpun sudah keletihan itu dan ini. Sekolah tapak dikerumuni.

Bahkan jika ditanya kepada murid pernah belajar di asrama, kebanyakan setuju dan mengakui bahawa gejala buli di sekolah berasrama bertambah teruk, termasuk keluhan di kebanyakkan platform media sosial. Di mana kesudahannya semua ini?

 

PERANAN anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun penting tetapi semakin terhad sekiranya pendidikan gagal mengakari nilai serta etika sebagai asas kukuh paksi dari permulaan. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

PAUTAN
Tentunya pendidikan terpaut rapat sekali kerana setiap satu peristiwa buruk melibatkan polis mencerminkan kelemahan, kalau tidakpun kegagalan urusan pendidikan khusus atau am.

Rasuah, mencuri, menipu apa lagi membunuh dan melakukan kekerasan serta penderaan. Buli! Yakni sesuatu yang sering berlaku hari demi hari, tidak terbayang bagaimana kesudahan membawa malapetaka ditakuti. Seakan-akan tiada lagi yang selamat. Kemudian terus menular membabitkan imej seluruh sekolah, memberi impak negatif besar.

Polis terseret sekali lagi untuk membersihkan nama. Ada yang menuduh pihak tertentu menyembunyikan kes-kes tanpa dikenakan tindakan. Apatah lagi apabila menjegil mata, senyum sinis dan mencebik mulut, selain menjelirkan lidah dan boikot kini diertikan sebagai perbuatan buli. Malah dikatakan kerap berlaku dalam kalangan murid sekolah.

Perkara itu tersenarai dalam Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan. Biar terjadi dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, lisan, bukan lisan dan secara siber atau maya.

Kurangnya kasih-sayang dan penghayatan agama, keterbezaan pendidikan, kecelaruan gender, dendam dan pengaruh internet – terkenal antara punca kes buli di sekolah, juga tersenarai dalam Garis Panduan tersebut. Turut tercatat adalah empat faktor utama ialah faktor keluarga, individu, persekitaran dan pengaruh media.

Antara faktor itu, aspek keluarga melonjak, jelas punca akibat kurang didikan dan penghayatan nilai, agama atau moral khususnya pada peringkat awal lagi. Bertambah rumitlah hal ini jika ia tidak diselia, baik bagi anggota polis sekalipun.
Ternyata peranan polis walaupun penting tetapi semakin terhad sekiranya pendidikan gagal mengakari nilai serta etika sebagai asas kukuh paksi dari permulaan.

PRASARANA SEKOLAH MASIH KURANG

Dalam pada itu, soal kepadatan bilik darjah pula timbul memburukkan lagi keadaan, khususnya aktiviti pembelajaran. Ini ekoran peningkatan kemasukan pelajar bagi sesi 2024/2025 yang bermula baru-baru ini. Kemasukan ke sekolah rendah katanya menunjukkan pencapaian sejagat antara 98 dan 99 peratus, sedangkan sekolah menengah anggaran 95 peratus. Masih belum universal sifatnya.

Namun, kemasukan Tahun 1 dilaporkan memang tinggi dan ini menunjukkan tiada persediaan cukup dalam aspek prasarana. Ia sekali gus boleh mencetuskan pelbagai peristiwa yang tidak diingini yang mencicirkan pendidikan. Pembinaan dan penggunaan kabin besi di sekolah ada diusulkan sebagai penyelesaian jangka pendek. Sudah tentu ini tidak akan menyenangkan ramai pihak yang menganggap pendidikan terkompromi kepada sesetengah yang kurang bernasib baik.

Jika diambil kira pula soal kekurangan tenaga pendidik sudah tentu kebimbingan terus memuncak lagi. Sungguhpun ada yang mengatakan bahawa nisbah guru:murid di Malaysia lebih baik dengan beberapa negara jiran yang maju, yang pasti apa yang diukur di peringkat antarabangsa, masih tidak menyakinkan. Antaranya soal kerenah disiplin.

Rumusan, apa yang sedang diperhatikan sekarang, mahu tidak mahu, bukannya lagi persepsi malah hakiki. Penglibatan pihak polis yang sedia berkhidmat; sebagai penyelesaian jelas terbukti berulang kali. Sedangkan yang tampak institusi pendidikan dan perguruan tertolak ke tepi! Tidak lagi hormati. Siapa peduli?-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN