Pemain Chelsea memalukan - Pochettino

Pemain Chelsea memalukan – Pochettino

Conor Gallagher (tiga dari kiri) meleraikan pertengkaran Nicolas Jackson (kiri) dan Noni Madueke (dua dari kanan) ketika Cole Palmer mahu mengambil sepakan penalti menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London, semalam. Chelsea menang 6-0 dalam perlawanan itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jurulatih Chelsea, Mauricio Pochettino sepatutnya sudah boleh tersenyum lebar selepas pasukannya membelasah Everton 6-0 dalam aksi liga, semalam. namun beliau berasa berang dengan sikap pemainnya yang bertengkar di atas padang.

Palmer meledak hatrik pada babak pertama sebelum menambah satu lagi gol selepas rehat manakala dua lagi jaringan hadir menerusi Nicolas Jackson dan Alfie Gilchrist.

Bagaimanapun, Madueke dan Jackson bertengkar sesama sendiri untuk mengambil penalti meskipun Pochettino sudah memberitahu kepada pemain bahawa penalti Chelsea diambil oleh Palmer.

Kapten, Conor Gallager terpaksa meleraikan pertengkaran tersebut dan merampas bola sebelum diberikan kepada Palmer untuk menyempurnakannya.

“Pemain sedia maklum Palmer akan mengambil sepakan penalti. Saya berasa kecewa dengan situasi tersebut. Kami memberi gambaran yang tidak baik – saya mahu meminta maaf.

“Saya memberitahu pemain (dalam bilik persalinan) kami tidak boleh bertindak seperti ini. Saya beritahu ini kali terakhir untuk saya menerimanya. Jika berlaku lagi, mereka akan dikeluarkan. Ini bukan gurauan.

“Jika mahu menjadi pasukan hebat, lawan untuk perkara yang lebih besar dan kami perlu berubah malah berfikir secara kolektif. Saya sudah jelaskan kepada pemain dan sekarang saya beritahu kepada semua orang, Palmer akan mengambil penalti pasukan kami,” kata Pochettino.

Pochettino memuji tindakan pantas Gallagher untuk meleraikan pertengkaran tersebut dan meninggalkan kedua-dua pemain tersebut.

“Adakalanya pemain muda mengutamakan perkara peribadi berbanding kelab namun mereka harus mengetahui bahawa mereka beraksi bersama kelab dan perlu cepat belajar,” katanya lagi. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN