Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah tarikan baharu pelancongan di Lumut

Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah tarikan baharu pelancongan di Lumut

SAARANI Mohamad (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor (kanan) pada Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada TLDM kepada kerajaan Perak di Himpitan 1, Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kapal Diraja (KD) Hang Tuah yang dilucut tauliah pada Disember lalu, bakal menggalas peranan baharu sebagai Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kapal yang berkhidmat hampir lima dekad itu akan diberi nafas baharu sebagai produk pelancongan ketenteraan yang menggabungkan elemen sejarah, pendidikan, pemuliharaan dan pembangunan komuniti.

“Penerimaan kapal daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membolehkan kerajaan negeri memelihara aset warisan maritim negara agar sejarah dan sumbangannya terus dikenali oleh generasi akan datang.

“Pembangunan projek ini akan dilaksanakan melalui pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) dengan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) dipertanggungjawabkan sebagai agensi penyelaras yang akan bekerjasama dengan Aero Art Sdn. Bhd. bagi melaksanakan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada TLDM kepada kerajaan negeri Perak di Himpitan 1, Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.

Menurut Saarani, projek itu dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai pada 2027 sebagai destinasi pelancongan maritim dan rekreasi baharu di Lumut.

Katanya, pembangunan tersebut merangkumi taman awam yang boleh diakses secara percuma, zon komersial untuk usahawan tempatan, ruang aktiviti keluarga dan komuniti serta kemudahan bagi penganjuran program, pameran dan persidangan.

“Bagi fasa pertama, kita akan membelanjakan kira-kira RM30 juta yang melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian dan kurasi kapal.

“Selepas itu, kita akan membangunkan tapak di Marina Wing yang akan menggunakan sebahagian besar daripada kos projek sebelum diteruskan ke fasa kedua dan ketiga,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pembangunan projek itu juga bertujuan menghidupkan semula kawasan Marina Wing dan Esplanade di Lumut melalui pertambahan kehadiran pengunjung, kegiatan perniagaan dan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Katanya, usaha ini selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberikan penekanan kepada pembangunan yang dapat merancakkan ekonomi setempat, memperluas peluang pendapatan dan membawa manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Konsep pelancongan ketenteraan yang diketengahkan melalui projek ini akan menambah kepelbagaian produk pelancongan maritim Perak selain menjadi tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

“Kerajaan negeri yakin Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah akan menjadi tarikan utama di Lumut dan Manjung sekali gus memperkukuh kedudukan Lumut sebagai bandar maritim negara yang menghubungkan warisan pertahanan laut dengan sektor pelancongan,” katanya.

Untuk rekod, KD Hang Tuah yang dibina di Scotland sebagai Black Star untuk Ghana sebelum ditauliahkan sebagai HMS Mermaid dalam Tentera Laut Diraja British itu diserahkan kepada Malaysia dan ditauliahkan sebagai KD Hang Tuah pada 22 Julai 1977.

Ia dinamakan KD Hang Tuah sempena tokoh pahlawan dalam sejarah Tanah Melayu iaitu Laksamana Hang Tuah yang sinonim dengan sifat keberanian dan kesetiaan yang luar biasa.

Bagaimanapun, KD Hang Tuah menutup lembaran hampir lima dekad khidmat baktinya kepada pasukan keselamatan negara pada 3 Disember 2025.

CAPTION
SAARANI Mohamad (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor (kanan) pada Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada TLDM kepada kerajaan Perak di Himpitan 1, Pangkalan TLDM Lumut, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN