Serbu rumah transit, KPDN gagal cubaan seludup 10.2 tan minyak masak ke Thailand - Utusan Malaysia

Serbu rumah transit, KPDN gagal cubaan seludup 10.2 tan minyak masak ke Thailand

HANIF Yusabra Yusuf (tengah) memeriksa minyak masak peket yang berjaya dirampas dalam serbuan di Kampung Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Helah sindiket penyeludupan menjadikan sebuah rumah tinggal di Kampung Pauh Sembilan di sini sebagai lokasi transit untuk memunggah 10.2 tan minyak masak peket bersubsidi sebelum diseludup ke Thailand terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Serbuan dijalankan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di rumah itu kira-kira pukul 6.30 pagi tadi selepas pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan risikan di kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Pengarah KPDN Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata, semasa serbuan dijalankan, empat lelaki sedang memunggah kotak-kotak minyak masak peket sebelum tiga daripada mereka melarikan diri ke kawasan semak.

Katanya, pemandu lori berusia 49 tahun yang membawa 600 kotak minyak masak peket bernilai RM25,00 dari Lembah Klang berjaya ditahan.

“Suspek dipercayai menerima upah RM300 untuk membawa muatan itu ke Kelantan sebelum dipunggah ke dalam dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero dan sebuah Proton Waja.

“Siasatan mendapati rumah tersebut dijadikan lokasi transit sebelum minyak masak itu dibawa ke pangkalan haram untuk diseludup ke Thailand,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hanif memberitahu, sindiket dipercayai sengaja memilih lokasi yang jauh dari sempadan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Katanya, rumah itu dipercayai baru kali pertama digunakan sebagai lokasi transit.

“Siasatan turut mendapati harga sekotak minyak masak yang mengandungi 17 peket meningkat daripada RM42.50 kepada RM75 di kawasan sempadan sebelum dijual pada RM90 sekotak di pasaran Thailand.

“Suspek bersama semua barangan rampasan termasuk empat kenderaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN