Malaysia belum keluar sepenuhnya krisis ekonomi global

Malaysia belum keluar sepenuhnya krisis ekonomi global

PELABUR kini menilai prestasi ekonomi Malaysia yang kekal kukuh berbanding ketidaktentuan luaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia masih belum keluar sepenuhnya daripada krisis ekonomi global meskipun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan kekal berwaspada berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia masih berterusan dan berpotensi memberi kesan kepada pertumbuhan negara.

Katanya, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, sekali gus menjadikan pertumbuhan bagi separuh pertama 2026 sekitar 5.6 peratus.

“Angka ini melebihi unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) yang berada dalam lingkungan empat hingga lima peratus.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa kerana cabaran sebenar ialah memastikan momentum ini dapat dikekalkan pada separuh kedua tahun ini,” katanya di sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan terus memantau perkembangan harga tenaga, prestasi pasaran kewangan, komoditi utama, bekalan makanan dan permintaan elektrik bagi memastikan sebarang risiko terhadap ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat ditangani dengan berkesan.

Menurut beliau, pasaran tenaga global kini berada dalam fasa yang mencabar apabila harga minyak mentah Brent dan gas asli cecair (LNG) mengalami turun naik yang ketara sepanjang pertengahan tahun ini.

Walaupun begitu, beliau berkata, pasaran saham tempatan masih kekal stabil, meskipun pelabur menjadi lebih berhati-hati susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan turut memantau bekalan dan harga makanan termasuk ayam, telur, daging, ikan serta sayur-sayuran bagi memastikan bekalan domestik kekal mencukupi dan kenaikan harga dapat dikawal.

“Ketahanan bukan bermaksud kita tidak terjejas, sebaliknya kita mempunyai pilihan daripada segi sumber makanan dan tenaga, pasaran eksport, laluan logistik serta keupayaan teknologi yang dibangunkan sendiri.

“Ketahanan sebenar ialah kemampuan untuk mengurangkan kebergantungan, memperluas pilihan dan membina keupayaan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN