Pearly, Thinaah mahu tebus kesilapan di Paris

Pearly, Thinaah mahu tebus kesilapan di Paris

PEARLY Tan-M. Thinaah mahu mencari strategi baharu untuk menangani isu konsistensi dalam gelanggang yang dikenal pasti antara punca mereka hilang fokus ketika menentang lawan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah kini dalam landasan untuk fokus menjadi lebih konsisten menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan nombor 14 dunia itu memperoleh semula rentak dalam gelanggang selepas tampil aksi mengecewakan sejak beberapa bulan lalu, namun masih dibelenggu permainan yang tidak konsisten, lebih-lebih lagi ketika perlawanan yang sengit.

Pearly bersama Thinaah mengaku mereka perlu memperbaiki kelemahan menjelang temasya empat tahun sekali itu dalam penampilan sulung pasangan itu.

“Semasa di gelanggang, kami dapat semula momentum akan tetapi masih tidak konsisten. Kami cenderung untuk mendahului perlawanan namun akhirnya tewas juga.

“Kami mengakui kami melakukan kesilapan semasa Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan kami menganalisis semula permainan kami untuk mencari jalan penyelesaian.

Terdahulu, isu ketidakstabilan Pearly-Thinaah timbul semasa BAC 2024 yang mana pasangan itu tumpas di tangan bekas juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 21-19, 13-21, 16-21 pada pusingan pertama kejohanan berkenaan.

Selain itu ketika saingan All England bulan lalu, beregu negara itu turut terkandas pada peringkat suku akhir kepada pasangan yang juga dari Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto 21-11, 18-21, 18-21 pada peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How dan Muhammad Miftakh akan memberi sepenuh tenaga untuk membantu Pearly-Thinaah bagi merangka strategi baharu untuk mengatasi isu konsisten mereka dalam gelanggang.

“Jurulatih telah berbincang bersama kami tentang kesilapan sama berpandukan beberapa permainan sebelum ini. Pada permainan pertama kami selalunya menang selepas itu kami kelihatan tidak konsisten selepas mendahului dan kalah pada akhirnya.

“Kami sedang mencari cara untuk menangani isu ini. Berkemungkinan akan menjalani latihan di luar negara. Namun kami masih belum pasti dengan jurulatih kerana mereka sibuk mempersiapkan pemain ke Piala Uber 2024,” kata Pearly.

Pearly-Thinaah diketepikan daripada pasukan ke Piala Uber 2024 untuk memberi laluan menumpukan pada persiapan ke Paris dan mahu berada dalam keadaan yang terbaik semasa acara sukan terbesar itu.

Pasangan itu akan membuka tirai saingan Malaysia Masters yang akan berlangsung di Axiata Arena pada 21 hingga 26 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN