SEPANG: Skuad bawah 23 tahun (B-23) terbang ke Qatar semalam tanpa empat tonggak yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan.
Empat pemain yang diketepikan oleh Juan Torres Garrido ialah Azam Azmi Murad, V. Ruventhiran, Richard Chin dan Rahadiazli Rahalim.
Azam terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan semasa membantu Harimau Malaya menentang Oman.
Sementara Ruventhiran pula mengalami masalah kecederaan semasa berlatih dengan skuad senior negara minggu lalu.
Richard juga berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika beraksi untuk kelab pinjamannya, Bath City.
“Kita sekarang ini terpaksa melupakan khidmat Azam, Ruventhiran dan Abe (Rahadiazli). Dia juga mengalami kecederaan.
“Jadi, kita terpaksa gugurkan mereka bertiga kerana kecederaan. Dan Richard juga mengalami kecederaan. Pemain-pemain ini tidak dapat sertai pasukan kerana masalah kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Qatar bersama skuad B-23 kebangsaan untuk persiapan awal menjelang Piala Asia B-23.
Sebelum ini, Garrido telah memanggil penjaga gol Perak, Firdaus Irman Mohd Fadhil bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rahadiazli.
Firdaus sebelum ini diletakkan dalam senarai pemain bersedia seandainya kecederaan menimpa Rahadiazli, Azim Al Amin Kamaruddin atau Sikh Izhan Nazrel.
Skuad Malaysia B-23 bakal memulakan kempen Piala Asia B-23 dalam Kumpulan D bersama Vietnam, Kuwait dan Uzbekistan.
Sebagai persiapan untuk menempuh kejohanan itu, skuad negara bakal berhadapan China dan Qatar untuk dua aksi persahabatan pra kejohanan. – UTUSAN









