Akal budi dalam undang-undang

Akal budi dalam undang-undang

PROFESION sebagai guru sepatutnya menjadi pelita yang membentuk pelajar menjadi insan yang mulia dan berjaya selain sebagai inspirasi untuk bangsa dan negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AGAMA Islam menjadi agama yang menegakkan keutamaan budi, bahkan keutamaan itulah yang menjadi seruannya… Menyuburkan perasaan belas kasihan, dinamakan budi utama, dan usaha hendak membela dan menolong dinamakan kewajipan.” – Buya Hamka

Tular sekali lagi isu pengantunan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur dan kali ini melibatkan guru-guru di sekolah. Dalam bulan yang penuh rahmah ini, mungkin ada hikmah besar apabila perkara yang sangat memualkan sebegini didedahkan agar pelaku dapat diperbetulkan dan mangsa-mangsa dapat dibantu.

Anehnya wacana kali ini melibatkan dua pelaku berbeza jantina sebagai pemangsa yang dikatakan melakukan gangguan seksual di sekolah.

Dalam insiden pertama di Sepang, Selangor, seorang guru wanita yang berstatus ibu dan isteri dituduh bercinta dengan murid lelakinya yang masih ditakrifkan sebagai kanak-kanak mengikut istilah perundangan. Meskipun aduan telah dibuat sejak akhir tahun lalu, namun pada Mac, guru wanita ini dikatakan masih berhubung malah mempunyai akses untuk berjumpa dengan anak murid terlibat sehingga membangkitkan amarah keluarga kanak-kanak ini.

Dalam insiden kedua, tular di media sosial apabila pengguna membongkarkan trend pengantunan seksual yang dilakukan oleh beberapa orang guru lelaki di salah sebuah sekolah berasrama di Kelantan. Apabila ditelesuri pembongkaran yang dibuat, semakin ramai bekas pelajar sekolah berkenaan yang mengesahkan kecenderungan guru-guru terbabit untuk mengganggu para pelajar perempuan dengan menghantar mesej-mesej berbaur sumbang, jelik malah ada yang lucah.

Yang semakin membangkitkan perasaan marah, guru yang dituduh merupakan seorang warden asrama yang mempunyai akses keluar dan masuk ke penempatan pelajar.

Dalam masa yang sama, ada netizen berkongsi tindakan pelbagai pihak yang mengenali guru-guru ini, dilihat membela reputasi mereka. Bahkan dalam mesej yang ditularkan, pihak tersebut mempersoalkan pemakaian istilah pedofilia dalam insiden ini. Seolah-olah dengan bermain keteknikan takrifan yang kononnya tidak tepat digunakan dalam insiden ini, dapat mencairkan kebertanggungjawapan terhadap perkara yang dituduh.

Sebetulnya dalam amalan undang-undang, peguam seperti saya juga mempunyai habit mempersoalkan keteknikan sesuatu perkara terutama apabila tiada hujahan lain yang dapat ditawarkan. Sebagai contoh, apabila tiada pembelaan munasabah lain yang dapat dibangkitkan, maka dihujahkan bahawa takrifan pedofilia tidak merangkumi had umur pelajar yang dimangsakan dalam kes gangguan seksual ini.

Sedangkan, takrifan pedofilia umum diketahui digunakan untuk merangkumi sebarang insiden gangguan seksual terhadap kanak-kanak, yang mengikut takrifan perundangan meliputi seseorang di bawah umur 18 tahun. Walaupun secara harfiahnya (secara literal) pedofilia ditakrifkan sebagai tarikan seksual utama kepada kanak-kanak praremaja sekitar 10 hingga 13 tahun, namun perbezaan istilah dan takrifan tidak pernah ditekankan secara meluas.

Sebagai contoh, tiada berita yang menamakan guru-guru terlibat sebagai ephebophilia yang ditakrifkan sebagai minat seksual utama kepada seorang kanak-kanak di usia pertengahan hingga akhir keremajaannya, lazimnya berumur 15 hingga 19 tahun. Walaupun umum diketahui julat umur ini merupakan sasaran guru-guru ‘haprak’ ini.

Tiada liputan berita yang membezakan antara pedofilia, ephebophilia dan hebephilia yakni minat seksual yang kuat dan berterusan oleh seorang dewasa kepada kanak-kanak akil baligh yang berada di awal remaja, biasanya berumur 11 hingga 14 tahun. Ini kerana secara amnya, di sudut perundangan istilah khusus tidak digunakan kerana umum maklum jelik dan hina jenayah pedofilia tanpa perlu tahu butiran umur kanak-kanak yang dimangsakan. Akal budi dalam undang-undang hanya mewajibkan pembuktian bahawa mangsa terlibat merupakan seorang di bawah umur 18 tahun.

Menghujahkan pembelaan berdasarkan takrifan istilah semata-mata adalah tindakan bejat yang dangkal. Dengan bahan bukti yang jelas, meskipun siasatan perlu dimuktamadkan secara telus, namun sudah nyata guru yang dituduh bersikap mengganggu dan melanggar etika sebagai seorang guru. Tidak perlu dinasihatkan para mangsa untuk menutup cerita agar dapat ‘menjaga aib’ dan reputasi institusi pendidikan yang mereka anggotai.

Bahkan tindakan menutup kebenaran daripada dibincangkan agar dapat disiasat dengan telus merupakan tindakan yang menjahanamkan institusi berkenaan.

Pada 1776, ahli sejarah dari Amerika Syarikat (AS), Thomas Paine menukilkan sebuah risalah berjudul Common Sense (Akal Budi) yang mengguna pakai hujahan pemikiran seni memujuk dalam membincangkan isu politik dan kemerdekaan AS daripada kekuasaan empayar British.

Dalam mempersembahkan hujahan bagi menyokong tuntutan autonomi buat AS, Thomas menyebut tentang kepentingan mempersoalkan tradisi. Tulisnya, kebiasaan tidak memikirkan ‘sesuatu’ sebagai salah, memberikan penampilan yang dangkal bahawa ‘sesuatu’ itu adalah betul.

KESAN BURUK
Tindakan yang menutup sebelah mata sehingga semua perkara buruk yang dilakukan dalam institusi yang kita anggotai bukan saja menidakkan kebenaran. Lebih buruk lagi, dalam jangka masa yang lebih panjang, berdiam diri kepada kebatilan akan mengakibatkan kejahilan berleluasa sehingga menjadi sebati dalam fabrik sistem birokrasi yang ada.

Dengan itu, lahirlah suatu sistem yang menindas anggotanya dalam pada sistem pada asalnya diwujudkan untuk mempermudahkan dan membantu kelestarian institusi itu.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN