Pemain Harimau Malaya ‘bertarung' dengan kecergasan 

Pemain Harimau Malaya ‘bertarung’ dengan kecergasan 

BRENDAN GAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem latihan pusat kali ini bukan sahaja sukar buat pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon tetapi pemain turut merasai situasi sama.

Perkara itu diakui tengah kebangsaan, Brendan Gan berkata, kem latihan pusat kali ini lebih sukar kerana para pemain kurang cergas selepas penghujung musim dan liga yang hanya akan bermula pada Mei ini.

Bagaimanapun, Brendan yakin ini antara sebab utama kem latihan diawalkan bagi memastikan pemain berada di tahap optimum apabila turun menentang pasukan di ranking ke-80, Oman.

“Sudah tentu ia sukar untuk setiap pemain selepas kembali dari cuti penghujung musim dengan ada beberapa pemain hanya menjalani satu atau dua sesi latihan sahaja.

“Atas sebab itu jurulatih memanggil kami lebih awal untuk berlatih dengan intensiti yang tinggi bagi memastikan kami mampu bersaing dengan pasukan yang kuat seperti Oman.

“Apa yang kurang sekarang adalah pemain perlukan kecergasan permainan dan intensiti. Inilah perkara yang kami akan dapat di kem latihan ini kerana barisan kejurulatihan sangat bagus untuk memastikan badan kami bersedia mengharungi perlawanan ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM.

Dalam perkembangan sama, Brendan menjelaskan kem latihan berjalan dengan lancar meskipun masih belum disertai sembilan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kapten pasukan Dion Cools yang hanya melapor diri pada 15 Mac ini.

“Ketiadaan 10 pemain utama tidak mengganggu proses latihan kerana kesemua pemain yang dipanggil layak berada di sini dan bersedia untuk memberikan aksi terbaik buat Harimau Malaya,” jelasnya.

Brendan turut mengakui selepas berakhir kempen Piala Asia di Qatar, Januari lalu, dia telah melakukan latihan sendiri dalam tempoh satu hingga dua minggu sebelum menyertai kem latihan skuad negara.

Tegasnya, dia perlu bekerja keras memandangkan ketika ini tidak mempunyai kelab sekali gus agak sukar untuk mengekalkan momentum menerusi latihan sistematik.

“Tentulah agak sukar bagi pemain untuk kembali dan berlatih terutamanya ketika ‘off season’ dan bagi saya adalah menjalani latihan intensif selama satu atau dua minggu.

“Kem latihan ini adalah peluang bagi saya untuk menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh sekali gus mampu mengekalkan keupayaan untuk bersaing dengan pasukan seperti Oman.

“Pada musim ‘off season’ bukan untuk tiket pemain bersenang lenang iaitu menonton televisyen atau duduk saja namun sebagai pemain perlu mengekalkan kecergasan pada tahap optimum,” ujarnya.

Pada hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya turut menyaksikan pertambahan pemain seperti Faisal Halim, Safawi Rasid dan Stuart Wilkin yang semalam tidak dapat hadir atas alasan tertentu.

Malaysia akan menentang Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum bertemu lawan yang sama pada 26 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam usaha mendapatkan keputusan positif untuk layak ke Piala Asia 2027 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN