LONDON: Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale bangkit daripada kesilapan sebelum jaringan lewat membantu kemenangan 2-1 ke atas Brentford, kelmarin.
Kemenangan itu membolehkan Arsenal kembali menghuni tangga teratas buat sementara waktu.
Pasukan Mikel Arteta hampir menamatkan perlawanan dengan seri selepas Ramsdale melepaskan gol mudah kepada Yoane Wissa untuk mengikat 1-1.
Declan Rice sebelum itu meletakkan Arsenal di depan pada babak pertama, namun kesilapan Ramsdale memberi ruang kepada Wissa mencuri peluang untuk menyamakan kedudukan.
Gunners bernasib baik apabila Havertz tidak mensia-siakan peluang untuk memastikan kelab itu kembali merampas kedudukan tangga teratas dengan menanduk bola terus ke gawang gol sebelum pengadil meniup wisel penamat.
Kemenangan kelapan berturut-turut dalam saingan liga membantu Arsenal kembali ke puncak berbekalkan kelebihan satu mata mengatasi Liverpool.
Arsenal akan kekal di puncak berdasarkan perbezaan jaringan gol jika Liverpool dan pasukan tangga ketiga, Manchester City mencatat keputusan seri.
Mengulas kesilapan Ramsdale, pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata, penjaga gol itu mengambil tanggungjawab dengan mempamerkan persembahan cemerlang selepas jaringan penyamaan pasukan pelawat.
“Saya tidak terkejut kerana semua pemain dan penyokong di stadium memberi sokongan kepadanya (Ramsdale) menunjukkan dia mendapat pujian daripada mereka.
“Kita akan lihat permainan hebat (Liverpool menentang Manchester City). Seronok berada dalam kancah seperti ini kerana ia juga menjadi sebahagian daripada misi kami untuk mencapai sasaran ditetapkan,” kata Arteta. – AGENSI/UTUSAN










