PETALING JAYA: Pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun bersedia menerima apa jua keputusan sama ada untuk meneruskan kembali bersama pasukannya Tenaga Nasional Berhad (TNB) ataupun ditawarkan bersama pasukan lain.
Pakar pukulan penalti sudut itu menyatakan dia masih dalam dilema untuk menerus menyertai kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan.
Jong Hyun menambah, semuanya bergantung kepada TNB untuk memberi tawaran terbaik ataupun pasukan lain yang mahukan khidmatnya.
“Saya masih belum pasti. Semuanya bergantung kepada tawaran. Jika TNB panggil saya lagi, semestinya saya datang.
“Akan tetapi jika pasukan lain memberi tawaran saya akan mempertimbangkannya,” katanya.
Jong Hyun menjaringkan keseluruhan gol yang rata-ratanya menerusi pukulan penalti sudut sekali gus membantu TNB dalam misi melengkapkan gelaran treble minggu lalu.
Sementara itu, pengendali TNB, Nor Saiful Zaini menyifatkan kehadiran pemain berusia 39 tahun itu merupakan satu sumbangan besar buat kejayaan pasukannya.
“Secara keseluruhan dari awal musim, dia (Jong Hyun) banyak membantu TNB. Saya akui pemain kita dapat banyak belajar daripada dia.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan dia kembali ataupun tidak berikutan umurnya juga sudah hampir 40 tahun.
“Sekiranya tahap kecergasannya memberangsangkan dan dia mahu kembali bermain, kami akan pertimbangkannya,” katanya. – UTUSAN










