KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan telah melengkapkan serahan dokumen bagi kes seorang pegawai tentera berpangkat kapten yang didakwa memandu secara mabuk sehingga membunuh seorang penumpang lelaki e-hailing warga Bangladesh.
Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri memaklumkan, dokumen yang telah lengkap diserahkan membabitkan dua pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan ketika sebutan semula kes di hadapan Majistret Aliaa Anwar, hari ini.
Peguam bela, Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah yang mewakili tertuduh, Jad Faid Arhan, 31, mengesahkan telah menerima dokumen berkenaan tetapi masih belum menerima dokumen berkait dakwaan membunuh antaranya merangkumi laporan kimia dan laporan perubatan mangsa.
Pada 1 Mei lalu, Jad Faid didakwa atas dua pertuduhan memandu kereta jenis Ford Fiesta berwarna putih di bawah pengaruh minuman memabukkan sehingga gagal mengawal kenderaan.
Perbuatan itu menyebabkan kecederaan parah kepada penumpang wanita, Nafisa Tabassum Adiba, 20, dan pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, di Kilometer 1.9, Lebuh Raya Maju (MEX) dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak di sini, pada pukul 5.30 pagi, 23 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau tidak melebihi 10 tahun serta denda minimum RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Jad Faid turut didakwa membunuh seorang lelaki warga Bangladesh, Muzahid Millad, 22, yang juga suami Nafisa Tabassum di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak melebihi 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula bagi kesemua kes itu pada 11 September ini.
Pada 23 April lalu, seorang lelaki warga asing maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dinaikinya dirempuh pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Susulan pelanggaran itu, seorang penumpang e-hailing warga Bangladesh maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isteri mangsa dan pemandu e-hailing cedera parah. – UTUSAN










