PETALING JAYA: Seorang lelaki parah selepas dipukul abang rakan wanitanya dalam kejadian di Flat Sri Pulau Pinang, Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Kejadian dipercayai berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dan mendakwa mangsa mengganggu adik perempuannya.
Difahamkan, mangsa berusia 21 tahun, datang ke lokasi untuk berjumpa adik suspek.
Ketika wanita itu mahu masuk ke dalam kereta, tiba-tiba dua lelaki dipercayai abang wanita berkenaan membuka pintu dan menarik mangsa keluar daripada kereta.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pergaduhan pada 18 Julai lalu pada pukul 3.33 pagi.
Katanya, motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati mangsa dikatakan mengganggu adik perempuannya.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di hidung, mata, serta kepala dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 22 tahun dipercayai terbabit dalam kes itu pada 5.22 pagi hari sama
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah tanpa menggunakan senjata.
“Suspek direman selama tiga hari sehingga semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis. Ada beberapa individu dipercayai terbabit dan kes masih dalam siasatan,” katanya.
Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










