Veteran politik gesa Bersatu dibubar dan ahlinya kembali sertai UMNO

Veteran politik gesa Bersatu dibubar dan ahlinya kembali sertai UMNO

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dibubarkan dan seluruh ahlinya digesa untuk kembali menyertai UMNO bagi memperkukuhkan masa depan politik orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Gesaan tersebut dibuat oleh veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff yang berpandangan bahawa Bersatu yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kini semakin terpinggir daripada arus perdana politik negara.

Mohd. Yussof berkata, selain terpaksa menghadapi pelbagai krisis dalaman, Bersatu juga berdepan kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) apabila hubungannya dengan Pas dilihat semakin renggang.

Katanya, keadaan itu jelas dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila parti berkenaan gagal memenangi sebarang kerusi manakala Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO pula mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 48 kerusi.

“Ketika berkempen, Pas turut mengarahkan ahlinya untuk menyokong calon BN di Johor walaupun masih menganggotai PN, sekali gus memperlihatkan betapa hubungan politik antara Pas dan Umno kini semakin erat,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai PRN Negeri Sembilan yang bakal berlangsung, Mohd. Yussof berkata, keputusan Bersatu untuk bertanding menggunakan lambang sendiri selepas kecewa dengan Pas akan menjadikan cabaran parti itu lebih sukar selepas ini.

“Tindakan bergerak secara solo mungkin menyebabkan semua calon Bersatu tewas, malah, mereka juga berisiko kehilangan wang deposit sebagaimana yang berlaku dalam PRN Johor.

“Keadaan ini dilihat menyebabkan Bersatu seperti semakin tersisih daripada landskap politik negara ketika Pas dan UMNO pula sedang rancak membina kerjasama lebih erat bagi memperkukuh perjuangan politik orang Melayu,” katanya.

Tambah Mohd. Yussof, Bersatu juga tidak mempunyai masa depan yang cerah jika memutuskan untuk terus bergerak sendirian ketika ini tanpa sokongan daripada parti-parti lain terutamanya parti yang mewakili orang Melayu seperti Pas dan UMNO.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa agar semua ahli Bersatu kembali ke pangkuan UMNO kerana Bersatu itu sendiri merupakan parti serpihan daripada UMNO dan sebahagian besar pemimpinnya termasuk Muhyiddin juga berasal daripada UMNO.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN