JOHOR BAHRU: Pernah berdepan dakwaan gangguan sihir sehingga mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan pekerja, pempengaruh dan usahawan, Ashhry Atan turut diuji apabila restoran miliknya menjadi sasaran rompakan.
Ashhry berkata, pengalaman pahit itu dilaluinya ketika mengusahakan restoran pertama di Nong Chik Riverside, kira-kira satu hingga dua tahun selepas premis berkenaan mula beroperasi.
“Ya Allah, bila cakap pasal sihir dan rompak ini, rasa sedih sangat. Masa mula-mula buka dekat jalan Nong Chik dulu, selepas setahun dua, saya kena sihir.
“Orang hantar telur yang ada gumpalan benang, orang tabur duit syiling depan kedai dan dalam bekas-bekas. Staf hari-hari bergaduh. Pantang cakap sikit, terus nak bertumbuk. Rasa ada benda tak kena,” katanya.
Menurut Ashhry, keadaan menjadi semakin pelik apabila pelanggan, terutama kanak-kanak, turut menunjukkan reaksi luar biasa ketika berada di dalam premis berkenaan.
“Mak saya tolong tengokkan dan memang betul ada orang hantar ‘benda’. Budak-budak masuk kedai pun menangis-nangis, rasa panas.
“Tapi Alhamdulillah, kita tawakal dan berdoa, akhirnya benda itu hilang. Namun, dugaan tidak berhenti di situ. Baru-baru ini kedai kena rompak pula,” ujarnya.

Menceritakan kejadian rompakan itu, Ashhry berkata, suspek memecah masuk ke premisnya pada awal pagi dengan bersenjatakan parang sebelum melarikan wang tunai.
“Kejadian berlaku pukul 3.48 pagi. Pencuri itu bawa parang, dia tetak pintu kaca, masuk dan pecahkan laci kaunter.
“Dia ambil duit. Masa itu kita tinggalkan wang tunai dalam peti kira-kira RM600 untuk tukaran duit pagi, dia ambil semua. Kerugian termasuk pintu yang pecah dalam RM5,000 juga,” katanya.
Di sebalik pelbagai dugaan tersebut, Ashhry tidak menjadikannya sebagai penghalang untuk terus mengembangkan perniagaan apabila membuka cawangan kedua restoran Ashhryshoshedap R&F dengan pelaburan kira-kira RM1.8 juta.
Cawangan baharu yang mengetengahkan konsep Santorini Mediterranean itu terletak di Princess Cove, Johor Bahru.










