PERLU apa ditanya lagi tentang tujuan berpolitik, sedangkan semua orang tahu dan akui bahawa berpolitik secara mudahnya adalah untuk memelihara kelangsungan survival bangsa, agama dan tanah air.
Berpolitik mencari kuasa bukan glamor. Melalui ‘kuasa’ dapat merancang dan melaksanakan dasar terbaik menentukan negara menjadi maju, kebajikan rakyat terbela di samping kesucian agama terpelihara.
Dalam konteks di Malaysia, penjurusannya lebih unik dan tersendiri. Namun, meneIusuri perjalanan politik di tanah air ini bukanlah sesuatu yang terlalu kompleks. Segalanya sudah berada dalam acuan yang jelas dan terbuka. Paksinya ialah sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Jujur menerima dan menilai semangat yang terkandung dalamnya lebih senang untuk menemui harmoni damai di bumi permai ini.
Jangan dianggap klise jika hal-hal asas begini masih mahu dibawa berbicara dan dibincang. Ini memandangkan aspek menterjemahkan hala tuju berpolitik dalam kalangan masyarakat Malaysia kelihatannya masih ‘tercari-cari’ penghujung matlamat. Tidak tahulah sama ada hal ini berlaku secara disengaja atau tidak disengajakan.
Apa yang pasti, kecelaruan politik mencuit emosi rakyat, selain fokus memaju dan menyelesaikan isu-isu semasa negara turut terganggu.
Perlu ada cara dan kaedah kalaupun mahu mengkritik atau memberi pandangan. Jika tidak, segalanya hanya menambah serabut dan suasana yang meresahkan semua. Misalnya, semacam timbul trend atau kecenderungan baharu apabila ada pihak suka mengeluarkan kata-kata ‘secara sesuka hati’, membuat tuduhan jahat, melabel atau mengecam mana-mana pemimpin atau individu tertentu tanpa asas dan fakta yang tepat.
Ada juga yang bercakap sehingga mencuit sensitiviti agama, kaum dan kedaulatan raja-raja. Kemudian seolah-olah secara ‘selamba’ menunggu untuk meminta maaf secara terbuka.
Juga kelihatan, langkah meminta maaf secara terpaksa ekoran bimbang dikenakan sebarang tindakan disiplin atau undang-undang. Mungkin di celahnya terselit pendirian, bukan payah pun sekadar meminta maaf, sedangkan segala tohmahan sudah terlontar. Jelas, mereka yang terbabit tidak bersedia untuk mengambil tanggungjawab berani buat, berani tanggung.
Di sebalik trend ini mungkin boleh ditafsir bahawa ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan pendekatan begini untuk sekurang-kurangnya dapat ‘melangsaikan’ agenda tersirat, memburuk-burukkan pihak lain demi meraih mileage (kesempatan) politik. Perlu dikhabarkan kepada pihak-pihak yang berniat demikian supaya hentikanlah tabiat yang tidak baik itu demi menjaga ketenteraman awam, selain mengelak dari dilabel sebagai berkeperibadian kurang bersih.
Kejujuran boleh dilihat melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata. Mengeluarkan penjelasan panjang lebar tidak memberi makna jika masyarakat umum dapat membaca dengan mudah arah dan tujuan sesuatu tindakan itu dibuat. Ini termasuk hal-hal yang membabitkan penggunaan kuasa oleh mereka yang memegang kuasa ke atas sesuatu keputusan termasuk penempatan pegawai di mana-mana institusi.
Berpolitik bukan untuk sekadar mengenengahkan identiti, mengangkat kepentingan kaum tanpa batas sempadan atau secara sesuka hati. Sehingga ada perkara yang tidak munasabah pun mahu diwartakan sebagai bahan warisan. Berpijaklah pada landasan tepat dan sesuai.
Perjalanan lebih mudah jika sampah dan kerikil dapat dibuang dari permukaan jalan.
Tidak perlu mencagar cita-cita besar menakluki keadaan. Meminta biar sepadan, mencadang jangan berlebihan. Kalau diasak melampaui batasan, setiap gerak menimbulkan kecurigaan. Terimalah dengan seadanya kerana itulah kenyataan yang sudah tersedia.
Malah, Raja-Raja Melayu semakin kerap menitah seruan agar semua pihak tidak main isu politik pecah-belahkan rakyat. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, pada 26 Februari lalu menitahkan ahli Parlimen menjaga adab dan tatatertib.
Titah baginda, Dewan Rakyat dan Dewan Negara boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli Parlimen atau ahli Dewan Negara yang didapati melampaui batas digantung dari menghadiri persidangan selama 14 hari.
Sementara itu, titah peringatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Mac lalu juga menarik. Semasa menyampaikan titah ucapan di Kuala Lipis sempena tamat Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024, baginda bertitah, politik hanyalah ‘halaman’ kepada amalan demokrasi kepada pentadbiran negara dan negeri, justeru parti politik tidak seharusnya dibiarkan menjadi pemecah perpaduan rakyat.
Jika apa yang diamalkan sebelum ini terbukti berkesan, eloklah diambil pengalaman dan dijadikan panduan. Empat paksi yang menjadi tonggak kejayaan ialah semangat konsensus, bersederhana, inklusif dan adil saksama. Semua aspek ini terlaksana atas semangat toleransi, berjiwa besar dan terbuka selain menampilkan hasrat untuk ‘sama rasa, sama jaya’. Bersyukur dan berterima kasihlah!
TERIMA HAKIKAT
Musim pilihan raya sudah berlalu. Rakyat sudah membuat pilihan, menentukan mandat. Kepada pemegang kuasa disandar harapan, agar segala janji dapat dilaksanakan. Bagi yang ‘diketepikan’ rakyat atau parti terimalah hakikat. Usah mengganggu, elak menggugat. Tidak salah menyokong kerajaan demi kestabilan dan membina kemakmuran.
Tidak guna memasang pelita bila hari sudah siang. Memanfaatkan cahaya sedang memancar agar perjalanan kehidupan berjalan lancar.-UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










