Jelapang padi selatan, angan-angan atau cita-cita?

Jelapang padi selatan, angan-angan atau cita-cita?

JIKA semua yang direncanakan itu berjalan, impian untuk melihat jelapang padi selatan bakal terlaksana, mungkin dalam tempoh 10 tahun mendatang. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN isu sekolah vernakular dan bak kut teh yang hangat diperkatakan masyarakat ketika ini, isu ‘ghaibnya’ beras tempatan dalam pasaran juga harus diberi perhatian.

Ketiadaan bekalan beras tempatan yang sudah berlanjutan terlalu lama tanpa alasan munasabah dilihat lebih parah daripada kesukaran bagi mendapatkan minyak peket bersubsidi.

Beras merupakan makanan ruji seluruh rakyat Malaysia. Jika dahulu majoriti rakyat hanya perlu mengeluarkan RM26 daripada kocek mereka untuk mendapatkan 10 kilogram (kg) beras, kini angkanya jauh berubah.

Di pasar raya atau kedai runcit, sekampit beras import 10kg dijual antara RM38 hingga RM50 bergantung kepada lokasi, jenama dan jenis.

Sektor penanaman padi dan pengeluaran beras di Melaka mempunyai potensi besar untuk dimajukan, meskipun jumlah kawasan penanaman di negeri itu sangat kecil iaitu hanya 1,731 hektar berbanding negeri-negeri pengeluar utama seperti Kedah dan Selangor.

Di selatan Semenanjung, Melaka berada di kedudukan kedua selepas Johor dengan keluasan kawasan penanaman padi sekitar 2,254 hektar diikuti Negeri Sembilan kira-kira 1,000 hektar.

Bagaimanapun, statistik pengeluaran padi menunjukkan Melaka mengeluarkan hasil tertinggi pada 2022 iaitu sebanyak 6,958 tan metrik berbanding Johor dengan 6,255 tan metrik sahaja.

Seandainya masalah sumber air terhad yang dihadapi sekian lama oleh para pesawah di daerah Melaka Tengah iaitu kawasan penanaman terbesar di negeri ini dengan keluasan mencecah 1,500 hektar dapat diselesaikan, adalah tidak mustahil untuk Melaka bergelar ‘jelapang padi selatan’.

Jelapang padi selatan merupakan impian yang terbuku dalam sanubari setiap pesawah di Melaka. Sama ada ia sekadar angan-angan atau senaskhah cita-cita, pembangunan sistem pengaliran yang sempurna menjadi penentunya.

Seperti pernah dilaporkan Utusan Malaysia, keupayaan sumber tanah yang subur dan dapat disesuaikan dengan pelbagai jenis benih padi serta sistem pengaliran air yang baik dilihat mampu meningkatkan lagi pengeluaran kepada tiga atau empat kali setahun.

Dengan pertambahan itu, beras yang dikeluarkan di Melaka Tengah mampu untuk menampung keperluan negeri-negeri lain khususnya di Selatan antaranya Johor dan Negeri Sembilan tanpa perlu bergantung harap pada pengeluar sebelah utara.

Di Melaka Tengah, rata-rata pesawah bergantung harap sepenuhnya pada air hujan lantas mencetuskan pelbagai polemik daripada menyemai benih sehinggalah ke menuai hasil.

Jabatan Pertanian memaklumkan, pengeluaran padi tertinggi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini adalah pada 2021 dengan hasil sekitar 7,549 tan metrik.

Peningkatan ketara mencecah 78 peratus berbanding 4,252 tan metrik pada 2020 itu disokong oleh beberapa faktor, antaranya penggunaan varieti padi baharu yang lebih rintang penyakit serta bersesuai dengan keadaan sawah.

JELAPANG PADI SELATAN
Baru-baru ini, kerajaan negeri memaklumkan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan kawasan jelapang padi selatan bagi menjamin bekalan padi negara pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan tersebut melibatkan tiga buah negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Kata beliau, keluasan sawah di Melaka tidak mencukupi untuk mewujudkan jelapang padi selatan bersendirian yang memerlukan minimum 5,000 hektar tanah.

Kerajaan negeri juga sedang melaksanakan kajian bagi mewartakan tanah sawah demi keterjaminan makanan di Melaka.

Pewartaan itu bagi mengekang tanah sedia ada terus digunakan untuk projek pembangunan seperti perumahan, sekali gus mengecilkan keluasan tanah pertanian.

Sudah pasti, jika semua yang direncanakan itu berjalan, impian untuk melihat jelapang padi selatan bakal terlaksana, mungkin dalam tempoh 10 tahun mendatang.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN