PETALING JAYA: Misi sekurang-kurangnya meraih satu mata menjadi harapan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon apabila Harimau Malaya berkunjung ke Muscat, Oman, 22 Mac ini.
Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, Harimau Malaya perlu mendapatkan mata penting untuk memastikan peluang lebih cerah ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Biarpun ia tidak mudah untuk berdepan Oman yang berada di ranking 80 dunia, Pan Gon bagaimanapun bersedia merangka perancangan terbaik untuk pasukannya membawa pulang mata dari gelanggang lawan.
“Kami perlu dapatkan mata, sangat sukar pasukan ranking 132 (Harimau Malaya) menentang ranking 80, sangat sukar. Perlawanan di tempat lawan dan perbezaan waktu, kami tidak pergi awal untuk menyesuaikan diri.
“Kami perlu dapatkan mata, sangat sukar pasukan ranking 132 (Harimau Malaya) menentang ranking 80, sangat sukar. Perlawanan di tempat lawan dan perbezaan waktu, kami tidak pergi awal untuk menyesuaikan diri.
“Kami hanya pergi ke sana beberapa hari untuk persiapan. Jika mahu pergi ke pusingan seterusnya, saya fikir kami harus dapatkan sekurang-kurangnya satu mata dan harap kami dapat melakukannya,” katanya.
Selepas menentang Oman di Muscat, skuad Harimau Malaya kemudian akan melayan kunjungan pasukan kendalian Jaroslav Silhavy itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil empat hari kemudian.
Harimau Malaya memimpin saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) dalam dua aksi awal sebelum ini, manakala Oman yang menundukkan Taiwan sebelum tewas kepada Kyrgyzstan berada di tangga kedua dengan tiga mata.
Kem latihan kali ini, juga menyaksikan Pan Gon mengekalkan seramai 21 daripada 26 pemain yang berada dalam skuad Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.
Daripada senarai 33 pemain dipanggil kali ini, beberapa tonggak skuad bawah 23 (B-23) tahun yang bakal menghadapi Piala Asia B-23, bulan depan turut disenaraikan.
“Berdasarkan pendekatan taktikal dan penilaian teknikal, jadi kami buat keputusan untuk senarai (33) pemain ini terutama pemain muda.
“Kami mahu melihat muka baharu dan kami juga mahu membentuk satu persaingan di sini. Selepas 15 Mac, kami perlu kurangkan dari 33 kepada 25 pemain.
“Kita akan lihat persaingan di samping kami cuba bantu pemain B-23 sebelum mereka memulakan kem latihan pusat,” ujarnya. – UTUSAN










