“JIKA penggal pertama lalu, saya membawa kenderaan dalam gear satu. Pada kali ini, saya tak masuk gear kedua tetapi terus ke gear tiga.”
Itulah antara ungkapan bersemangat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar setelah berjaya mengekalkan kuasa dalam tempoh dua penggal berturut-turut apabila memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos tahun lalu.
Sebelum itu, Pas Terengganu juga menguasai semua lapan kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau turut mengarahkan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kerajaan supaya bersama-sama bekerja dengan lebih pantas berbanding penggal sebelumnya.
Antara tumpuan yang diberikan adalah pembangunan pelbagai sektor termasuk merangka pelan lebih komprehensif untuk menarik pelabur ke negeri ini.
Namun setelah kira-kira tujuh bulan menerajui Terengganu pada penggal baharu ini, rakyat masih tertunggu-tunggu penuh harapan pelaksanaan pembangunan baharu yang memberi manfaat kepada mereka.
Berdasarkan kepada situasi sekarang, prestasi kerja Ahmad Samsuri yang juga dikenali Dr. Sam dan barisan Exco Terengganu belum memuaskan apabila mereka dilihat masih lagi berada di gear satu.
Malah terdapat suara-suara nakal rakyat Terengganu yang mendakwa barisan pemimpin kerajaan negeri itu berada di gear mengundur berdasarkan kepada prestasi kerja yang ditunjukkan.
Pemimpin kerajaan negeri itu sepatutnya mencontohi pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Pusat serta pegawai yang bertugas di anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang didapati lebih cekap dan didikasi melaksanakan tugas.
Sebaliknya, kebanyakan exco dan wakil rakyat di Terengganu pula hanya dilihat aktif di media sosial dengan saling memuat naik gambar aktiviti mereka hadir di majlis kenduri dan kematian, makan bersama penduduk serta melawat warga emas sakit.
Tidak banyak idea baharu diketengahkan untuk kemajuan di kawasan DUN atau negeri, kalau ada pun meneruskan projek-projek yang sedia ada sahaja.
Setakat ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris yang dilihat bekerja bersungguh-sungguh khususnya dalam membangunkan sektor pelancongan di Terengganu.
Razali yang merupakan ADUN Kijal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat lebih kreatif menganjurkan pelbagai program di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, selain cepat bertindak menyelesaikan beberapa isu berkaitan sektor pelancongan.
Bagaimanapun, pemimpin kerajaan Terengganu sering memberi alasan mudah tidak dapat melaksanakan projek pembangunan sejak tahun lalu berikutan masalah kekangan kewangan.
Mereka membangkitkan masalah ‘kantung’ kerajaan negeri dengan mendakwa kerajaan Persekutuan masih berhutang bayaran royalti minyak dengan kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion pada 2023.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman sebelum ini mendedahkan kerajaan negeri sepatutnya menerima hasil royalti minyak RM1.524 bilion tahun lalu.
Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, kerajaan Terengganu hanya menerima bayaran royalti berjumlah RM510 juta sahaja.
Persoalannya, sampai bila kerajaan Terengganu mahu bergantung kepada bayaran royalti untuk pembangunan dan pengurusan negeri.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri mengeluarkan kenyataan mahu mencari sumber atau menerokai sumber pendapatan baharu bagi mengelak kebergantungan kepada royalti tetapi sehingga kini tidak nampak hala tuju lagi.
TIADA PEMBANGKANG
Selain itu, kebanyakan penduduk di Terengganu melihat kelemahan kepimpinan kerajaan negeri dalam menerajui negeri berpunca daripada ketiadaan pembangkang yang boleh bertindak sebagai semak dan imbang.
Pada persidangan DUN pada penggal ini sebelum ini, boleh diperhatikan Exco dan wakil rakyat hanya saling ‘mengangguk kepala’ tanda setuju setiap perkara diketengahkan tanpa teguran membina untuk kebaikan kepada rakyat dan negeri.
Berbanding pada penggal lalu, persidangan DUN sentiasa dalam suasana ‘panas’ dengan kritikal daripada wakil rakyat pembangkang daripada UMNO apabila terdapat kekurangan dan kelemahan dalam sesuatu isu yang dibangkitkan.
Secara tidak langsung, penambahbaikan dapat dilakukan kerajaan negeri hasil pandangan yang diberikan wakil rakyat pembangkang.
Sebagai calon yang diuar-uarkan sebagai Perdana Menteri masa depan, Ahmad Samsuri perlu membuktikan kemampuannya menerajui negeri ini terlebih dahulu sebelum dijulang sebagai pemimpin nombor satu negara.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.











