PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan dasar penswastaan Liga Malaysia (Liga M) yang diperkenalkan pada musim 2020 bukanlah punca kepada masalah kewangan dan tunggakan gaji yang melanda beberapa pasukan ketika ini.
Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, masalah kewangan kelab Liga M berlaku kerana ada pasukan yang berbelanja di luar kemampuan ‘poket’ mereka khususnya dengan menawarkan gaji yang tinggi untuk memancing pemain.
“Tak juga (dasar penswastaan punca isu kewangan kelab Liga M). Dasar penswastaan dari FA (Persatuan Bolasepak Negeri) ke FC (Kelab Bolasepak) itu satu dasar yang bagus.
“Kerana ia memberi kebebasan kepada pengurusan pasukan membuat keputusan tanpa bergantung penuh kepada penaja dan kerajaan negeri dan sebagainya.
“Sebenarnya seperti saya katakan kemungkinan ada kelemahan dari segi pengurusan yang mengambil pemain bergaji tinggi, tetapi tidak tentu pendapatan masing-masing lagi. Hanya sebab kegagalan itu, kalau tak dapat makna dah tentu gagal bayar gaji.
“Saya harap tidak berlaku lagi perkara ini, kalau ada bajet, itulah (bajet) yang harus digunakan.
“Kalau bajet masuk ada RM10 juta, maka RM8 juta sahaja yang digunakan. Manakala RM2 juta lagi akan disimpan untuk pengurusan dan sebagainya,” katanya Ghani kepada pemberita.
Untuk rekod, dasar penswastaan kelab liga M mula diperkenalkan pada 2020 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang merangkumi pemisahan daripada FA ke FC, sejajar dengan kehendak dan syarat diletakkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ia bagi membolehkan setiap kelab bergerak secara bebas dan profesional, manakala FA akan lebih menumpukan kepada aspek pembangunan dan liga di kawasan masing-masing.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin meluahkan rasa hairan mengenai isu tunggakan gaji yang disifatkannya umpama ‘penyakit’ yang melanda beberapa pasukan Liga M ketika ini.
Menurut Hamidin, situasi berkenaan tidak pernah berlaku pada era 1980-an dan 1990-an, namun ia dilihat semakin serius sejak empat musim lalu. – UTUSAN










