KITA sentiasa dimomokkan bahawa apabila seseorang didiagnosis kanser bermakna dia sudah meniti akhir usia. Hidup mereka gelap, tiada harapan dan ada pula yang tidak berhenti menyalahkan takdir.
Ini mungkin kerana penghidap penyakit ini menyedari kanser ialah punca utama kematian di seluruh dunia, menyumbang hampir 10 juta kematian pada 2020 atau hampir satu daripada enam kematian.
Di Malaysia, seperti mana menurut Kementerian Kesihatan dua tahun lalu, kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta dengan 34.95 peratus dan sebab keempat di hospital kerajaan dengan 11.56 peratus.
Insiden kanser di Malaysia dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040. Satu dalam setiap 10 orang akan didiagnosis dengan kanser sepanjang hayat mereka.
Sementara Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, pada 2021, kanser merupakan sebab kematian keempat tertinggi di Malaysia.
Jadi, golongan ini berasa malu, menyisihkan diri, meninggalkan pekerjaan dan hanya terperuk di dalam bilik mengenangkan nasib tanpa cuba untuk berusaha melawan sakit yang dianggap musuh utama itu.
Sedangkan seluruh dunia termasuk Malaysia mempunyai rawatan terbaik bagi memulihkan pesakit kanser dan ia terbukti benar. Banyak sebenarnya pesakit kanser yang pulih dengan rawatan seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.
Walaupun acap kali kita mendengar kata, sakit itu penghapus dosa tetapi berapa ramai daripada kita yang saat diuji sakit tetap reda menempuh hari-hari seterusnya.
Ada yang bertahan separuh jalan, ada pula yang berputus asa pada saat diberitahu tentang penyakitnya tetapi seorang insan ini lain daripada yang lain, beliau tidak sedih, tidak meraung, tidak menangis dan tidak kecewa walaupun dimaklumkan peluang untuk hidup hanya setahun sahaja sekiranya tidak menjalani rawatan kemoterapi kerana kanser telah merebak dari tengkuk ke otak.
Itulah dia, pendakwah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi menerima ujian Allah SWT dengan hati terbuka, penuh rasa syukur dan mengungkap kata, “Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, terima kasih Ya Rahman, terima kasih Ya Rahim. Mudah-mudahan kanser ini menggembirakan Kau, Ya Allah,” beliau menceritakan kembali kepada Utusan Malaysia saat diberitahu doktor tentang penyakitnya itu.
Ustaz Hanafi disahkan menghidap kanser limfoma, leukemia dan usus tahap empat pada 31 Januari 2017 tetapi selepas enam tahun berjuang melawan sakitnya itu, beliau pada 1 Februari tahun lalu disahkan pulih daripada ketiga-tiga kanser itu.
“Pada 1 Februari 2017, saya menjalani pembedahan dari atas dada hingga ke bawah pusat untuk mengeluarkan kanser seberat 1 kilogram (kg), usus terpaksa dipotong kerana terkena kanser sepanjang 1.4 meter (m) di sebahagian usus kecil dan besar.
“Memang tidak mudah, saya boleh katakan kesakitannya seperti demam denggi kuasa tiga sementara kesakitan menjalani kemoterapi pula dua kali ganda daripada demam tinggi, hilang selera makan, penat sehingga nak angkat kepala pun tak mampu tetapi saya tidak pernah mengalah.
“Saya percaya setiap apa yang diberikan Allah termasuk ujian adalah yang terbaik untuk kita.
“Saya berpegang pada satu ayat al-Quran iaitu surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, siapa bersyukur, Allah tambah”, jelasnya.
Tambah Ustaz Hanafi, ketika berada dalam tentera, beliau diajar untuk tidak panik kerana itu adalah membunuh nombor satu.
“Orang lain apabila dapat tahu menghidap kanser akan panik. Dalam tentera, panic is the first killer. Siapa panik, dia terbunuh. Kerana itu saya bertenang dan ketenangan ini tidak boleh di beli di pasar raya, hanya boleh dapat dalam hati yang sentiasa bersyukur. Barulah lapang jiwa kita.
“Ada orang tak sakit pun tak tenang, ada orang ada suami dan keluarga pun tak tenang sebab mereka tak bersyukur,” ujarnya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti kewangan memandangkan kos membuat rawatan agak tinggi, tetapi itu masih belum cukup mematahkan semangat beliau. Tidak mengharapkan simpati sesiapa, Ustaz Hanafi melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung kos rawatannya termasuk terus menyampaikan antara satu hingga empat ceramah dalam sehari.
Katanya lagi, selain itu, beliau turut berdepan masalah ingatan. Acap kali terlupa ayat-ayat al-Quran dan banyak kali tersasul dalam percakapan.
Ustaz Hanafi juga mendedahkan pesakit kanser juga berdepan masalah anxiety sehingga boleh diserang serangan panik kerana takut kepada kematian. Kebanyakkan pesakit sangat sukar untuk tidur kerana memikirkan mereka tidak akan bangun sehingga ada yang terpaksa menelan ubat tidur.
Tetapi bagi beliau, masalah tersebut perlu diatasi dengan menyibukkan diri melakukan pelbagai pekerjaan pada siang hari seperti memandu e-hailing, menjual kereta dan menyampaikan ceramah. Jadi apabila badan penat, mudah untuk melelapkan mata.
Bahkan sehingga kini, beliau masih menyibukkan diri dengan melakukan ibadah umrah, terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Ehsan Relief Malaysia, yang membantu pelarian Syria selain berjaya membina dua buah masjid di Indonesia dan Thailand.
Dalam perbualan telefon itu juga Ustaz Hanafi tidak kedekut berkongsi rahsia beliau melawan penyakit. Katanya beliau mengamalkan formula 5S dan 2Z iaitu syukur, sangka baik, solat, sedekah, seimbang, zikir dan ziarah orang sakit.

HARI KANSER SEDUNIA
Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang jatuh pada 4 Februari (esok), Ustaz Hanafi mahu sesiapa sahaja yang diuji dengan penyakit ini untuk tidak mudah mengalah sebaliknya terus berjuang. Peluang untuk sihat seperti sedia kala sentiasa ada. Bak kata orang, nak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Dengan tema sambutan Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser, beliau menasihati penghidap kanser untuk tidak takut dan tidak terpedaya dengan dakyah berkaitan rawatan kemoterapi atau radioaktif kerana dirinya adalah contoh terbaik, yang berjaya pulih sepenuhnya selepas enam tahun bergelut dengan penyakit bahaya itu.
“Benar kita akan penat setiap kali selepas rawatan, tetapi insya-Allah dengan izin Allah, dengan rawatan moden dan tradisional seperti menjaga pemakanan, kita boleh sihat.
Tambahnya, bagi mereka yang mungkin berdepan kemurungan akibat sakit atau rawatan, janganlah fikir tanpa zikir.
“Ada sahaja kes-kes seperti putus asa selepas didianogis sakit sehingga mengatakan, baik aku mati, ada suami minta cerai, anak tidak peduli, banyak kes-kes begini.
“Bagi saya, apapun dugaanya yang dihadapi walau diuji dengan sakit dan kehilangan insan tersayang, tetaplah percaya Allah itu ada. Kebahagian sebenar apabila kita bergantung pada nikmat Yang Maha Esa,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Seperti kata Ustaz Hanafi, sabar adalah nikmat, ujian itu menguatkan bukan melemahkan kerana setiap ujiannya pasti didatangkan dengan khabar gembira.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










