Tuanku Canselor UiTM kekal tonggak pemerkasaan Melayu-Bumiputera

Tuanku Canselor UiTM kekal tonggak pemerkasaan Melayu-Bumiputera

WARGA Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjunjung kasih dan merafakkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah yang melahirkan jutaan bijak pandai, pemikir dan segala jasa serta sumbangan Tuanku adalah sesuatu yang amat berharga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN lalu negara menyaksikan dua istiadat bersejarah yang amat bermakna dalam catatan sejarah unik Raja Berperlembagaan apabila berlangsungnya Istiadat Keberangkatan Balik Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Pahang bagi menamatkan pemerintahan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 yang kemudiannya disambung dengan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai YDPA ke-17.

Jelas momen bersejarah ini memberikan kesan emosi yang bercampur baur dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah ia juga turut membawa kesan yang serupa kepada warga Universiti Teknologi Mara (UiTM). Umum mengetahui bahawa YDPA merupakan Tuanku Canselor dan Ketua UiTM sepertimana yang termaktub dalam Akta Universiti Teknologi Mara 1976 ( Akta 173).

Justeru, tradisi penggiliran jawatan YDPA tersebut turut membawa perkara yang sama dalam jawatan Canselor UiTM. Yang pasti, peranan cemerlang yang dimainkan oleh Al-Sultan Abdullah sebagai Tuanku Canselor UiTM selama lima tahun akan kekal terpahat sebagai satu kenangan dan memori indah bagi seluruh warga universiti ini.

Warga UiTM menjunjung kasih dan merafakkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah sebagai Tuanku Canselor di bumi ilmu bertuah ini yang telah melahirkan jutaan bijak pandai, pemikir dan segala jasa serta sumbangan Tuanku di UiTM ini adalah sesuatu yang amat berharga.

Dalam masa yang sama, warga UiTM juga merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai YDPA yang baharu dengan segala kehormatan dan kasih sayang.

Menjadi kebanggaan bagi warga UiTM di atas apa jua kapasiti untuk terus melihat institusi pendidikan terulung ini terus mengekalkan tradisi yang pernah diukir dan ditinggalkan bagi mengolah manfaat yang lebih baik demi melorongkan jalan keintelektualan Bumiputera yang lebih baik dan berdaya saing.

Justeru itu, peranan besar yang dimainkan oleh Tuanku Canselor dalam memimpin kemenjadian UiTM sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi dalam melestarikan darjat dan martabat bangsa melalui pendidikan tinggi sejak sekian lama dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang berkualiti dan berjasa kepada negara.

Peranan yang dimainkan oleh Tuanku Canselor ini tidak terhad sebagai simbol semata-mata, malah ia adalah satu daya yang membentuk jati diri dan identiti universiti agar ia dapat bergerak seiring dengan tuntutan globalisasi yang semakin mencabar. Peranan Tuanku Canselor adalah lebih khusus melangkaui daripada peranan simbolik.

PERANAN
Permulaan, Tuanku Canselor sebagai YDPA adalah simbol kebesaran dan representasi tertinggi bagi UiTM yang mana keberadaannya memberikan imej dan status yang tinggi kepada universiti.

Tuanku Canselor turut memainkan peranan penting sebagai tonggak pengurusan strategik dalam menetapkan dan mengarahkan dasar-dasar strategik universiti untuk mencapai matlamat dan visi yang telah ditetapkan, iaitu menjadikan UiTM institusi pendidikan berteraskan kepada kelestarian serta kelangsungan bangsa Melayu dan Bumiputera menerusi pendidikan yang unggul dalam semua bidang profesional bertaraf dunia.

Paling penting, Tuanku Canselor dapat membantu dalam menggalakkan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh Malaysia melalui sokongan dan tumpuan kepada pembangunan UiTM, termasuk perancangan projek pembangunan dan inisiatif strategik yang diperlukan.

Oleh yang demikian, kepimpinan dan kewibawaan Sultan Ibrahim sebagai Tuanku Canselor yang baharu tentunya dipohon bagi mencorakkan UiTM untuk lima tahun mendatang. Sudah pasti, kebijaksanaan Tuanku amat penting dalam menentukan hala tuju UiTM untuk terus berdaya saing di pentas global dan menyediakan pengajian yang mengkaji pemikiran, kepintaran serta budaya kepelbagaian bangsa yang merentasi zaman sebagai bekalan untuk memartabatkan bangsa tanpa merubah identiti dan matlamat asal penubuhannya.

Dalam hal inilah UiTM Holdings sebagai anak syarikat sepenuhnya yang dimiliki oleh UiTM berupaya menyumbang dan memainkan peranan membantu menghasilkan untuk menyokong penjanaan aktiviti pendidikan dan penyelidikan UiTM.

Ia dapat dilaksanakan melalui peningkatan ketampakan dan reputasi UiTM di peringkat nasional dan antarabangsa yang boleh menarik minat dan potensi untuk bekerjasama dengan UiTM Holdings. Melaluinya, peluang untuk mendapatkan akses yang lebih baik dan pengembangan perkongsian yang lebih kukuh akan lebih luas dan pelbagai.

Selain itu, menjalinkan hubungan strategik yang kukuh dengan pelbagai pihak yang boleh menyumbang kepada pembangunan pelaburan dan pengurusan portfolio. Hal ini dapat membuka pintu untuk kolaborasi dan peluang pelaburan yang lebih baik.

Ketiga, mewujudkan kecemerlangan dalam bersaing. Dalam hal ini, Tuanku Canselor perlu memberi wawasan dan strategi baharu yang dapat membantu UiTM untuk mengukuhkan dan mengekalkan kecemerlangan bersaing dalam industri pelaburan.

Terakhir, mempromosikan inovasi dan kreativiti. Kepimpinan Tuanku Canselor perlu menggalakkan pemikiran yang inovatif dan kreatif melalui budaya inovasi dan mencari peluang baharu yang mungkin belum diterokai sebelum ini. Ini dapat membantu dalam mencipta nilai tambah bagi UiTM dan juga UiTM Holdings.

Adalah menjadi harapan utama agar hubungan yang erat di antara Tuanku Canselor dan warga UiTM dijadikan sebagai indikator utama yang akan menjadi pemangkin dan pemacu kegemilangan institusi dan seterusnya dijadikan sebagai model kejayaan dan keterampilan khusus yang memberi makna akan kelangsungan institusi pendidikan.

Maka jelas peranan Tuanku Canselor sebagai pelindung institusi keramat ini penting sebagai kompas utama dalam memposisikan hala tuju dan mengolah kreativiti berpaksikan ilmu ke tahap tertinggi.

Kedudukan Tuanku Canselor sebagai pemimpin nombor satu UiTM juga mencerminkan pemeliharaan tradisi yang kekal disantuni oleh generasi seterusnya dan menjadi tiang seri perjuangan dalam mengangkat darjat dan martabat bangsa Melayu dan kaum Bumiputera.-UTUSAN

PENULIS ialah Pemangku Ketua Pegawai Operasi Kumpulan UiTM Holdings.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×