Prestasi ekonomi Malaysia 2023 masih baik dibanding negara ASEAN

Prestasi ekonomi Malaysia 2023 masih baik dibanding negara ASEAN

KESELAMATAN makanan perlu segera diisytiharkan sebagai sebuah industri baharu untuk menampung keperluan tempatan dan meningkatkan eksport. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA semua sedang menunggu pengumuman tentang kadar pertumbuhan ekonomi yang dicapai pada 2023. Ramai penganalisa antarabangsa meletakkan angka 3.4 hingga 3.8 peratus sebagai kadar pertumbuhan sebenar pada 2023. Ini mungkin mengecewakan sesetengah pihak. Namun ia merupakan satu realiti berasaskan apa yang telah dan sedang berlaku dalam ekonomi dunia dan Malaysia.

Mulai suku 2021, ekonomi Malaysia berkembang melebihi 3.6 peratus dan mencapai tahap 3.1 peratus untuk keseluruhan tahun tersebut. Malaysia berjaya keluar dari kegawatan ekonomi yang melanda negara lebih 15 bulan sejak Mac 2020.

Bila kita menamatkan tempoh penutupan ekonomi, ekonomi Malaysia mula tumbuh dengan pesat. Tahun 2022 merupakan tahun pemulihan yang pesat menunjukkan Malaysia mencapai tahap 8.7 peratus pertumbuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tahun 2023 sepatutnya merupakan lonjakan mengikut arah pusingan ekonomi yang menaik. Bagaimanapun, cabaran antarabangsa dengan kesan peperangan di Ukraine dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang agak lemah menyebabkan eksport menurun dengan banyak walaupun import juga menurun.

Malaysia menunjukkan prestasi yang masih baik berbanding dengan negara jiran di ASEAN dan kebanyakan negara di dunia. Walaupun pertumbuhan agak lemah di suku kedua 2023 pada 2.9 peratus, namun ia meningkat menjadi 3.4 peratus di suku keempat 2023.

2024 dijangka akan merupakan satu lagi tahun yang mencabar bagi ekonomi Malaysia walaupun ramai penganalisa masih mempercayai bahawa prestasi ekonomi akan lebih baik dari 2023.

Angka eksport masih lagi menurun. Indeks perindustrian juga menurun. Ini adalah kesan dari penurunan permintaan global khususnya ke atas keluaran elektrikal dan elektronik – khususnya semikonduktor (walaupun ada bayangan peningkatan permintaan dari Eropah).

Bagaimanapun Malaysia masih menunjukkan arah peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berasaskan pada arus pusingan ekonomi yang berlaku di setiap 10 tahun. KDNK di jangka akan terus menaik sehingga 2026 sekurang-kurangnya. Selepas itu ekonomi Malaysia dijangka akan mencapai puncak dan ia akan mula menurun untuk empat hingga lima tahun selanjutnya berasaskan trend pusingan ekonomi normal dunia yang telah berlaku sejak beribu tahun dan dibuktikan berasaskan data statistik oleh Ravi Batra (1990) sejak 1780. Jadi, ekonomi Malaysia masih berpeluang untuk mencatat kadar pertumbuhan melebihi 4 peratus bagi 2024.

Dua sektor penting yang sedang berkembang dengan pesat memacu ekonomi ialah sektor perkhidmatan yang berkembang lebih 7.3 peratus pada 2023 yang meliputi pelancongan, logistik dan rantaian bekalan serta perkhidmatan kewangan.

Dan yang kedua ialah sektor pembinaan yang berkembang lebih 5.5 peratus khususnya pembinaan perumahan swasta dan rumah mampu milik serta kontrak kerajaan di dalam beberapa projek mega.

TINGKAT INDUSTRI
Kerajaan perlu menggiatkan inisiatif bagi melonjakkan lagi kedua sektor di atas dan menonjolkan sektor keselamatan makanan bagi mencapai tahap pertumbuhan yang diharapkan. Keselamatan makanan perlu segera diisytiharkan sebagai sebuah industri baharu untuk menampung keperluan tempatan dan untuk meningkatkan eksport.

Industri padi umpamanya perlu disuntik dengan teknologi dan model pengurusan moden bagi meningkatkan purata hasil menjadi lebih dari 8 hingga 9 tan per hektar. Industri ayam dan telur perlu dipergiatkan melibatkan petani bidang kecil di kampung.

Aktiviti perladangan di negeri maju seperti Selangor perlu segera diubah suai menjadi industri tanaman sayur, buah-buahan, ternakan ikan, kambing dan lembu. Ini akan dilihat sebagai langkah positif mencapai matlamat yang berbilang.

Industri pelancongan perlu dirombak bagi menjadikannya lebih produktif dan mesra pelancong termasuk aspek kualiti perkhidmatan dan kos perkhidmatan. Sasaran 35 juta pelancong pada 2024 akan menyumbang lebih RM140 billion kepada pendapatan negara.

Sektor logistik termasuk ekonomi gig memerlukan perhatian khusus untuk membantu melonjakkan permintaan penggunaan umum (persendirian).

Sektor perkhidmatan yang lain agak tergencat dengan pengumuman kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk perkhidmatan, termasuk perkhidmatan logistik, profesional dan perkhidmatan lain. Ini perlu ditangani segera bagi mengelakkan tahap penggunaan untuk perkhidmatan menurun.

Industri pembinaan memerlukan suntikan teknologi seperti pencetakan 3D dan sistem pembinaan rumah mampu milik yang mesra pengguna dengan mensasarkan harga yang benar-benar mesra kumpulan berpendapatan rendah iaitu kurang dari RM100,000. Ini boleh dilakukan jika kerajaan negeri dapat memberikan konsesi khas dalam bayaran premium dan kos pertukaran status dan nama pemilik.

Pertumbuhan ekonomi juga akan dipacu oleh penggunaan awam dan persendirian di satu pihak yang lain. Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan persendirian memacu pertumbuhan ekonomi negara. Dengan sentimen dan keyakinan yang melonjak selepas keluar dari tempoh ‘berkurung’, isi rumah galak berbelanja dan ini memacu ekonomi di dalam tempoh tiga tahun yang lepas.

Kini tahap keyakinan pengguna dan sentimen untuk berbelanja menjadi semakin lemah. Ini boleh ditingkatkan lagi dengan meningkatkan keyakinan isi rumah dan pengguna tentang prospek ekonomi Malaysia. Permintaan domestik masih berkembang melebihi 4.8 peratus, memberi harapan cerah untuk membantu memacu pertumbuhan.

Pasaran buruh masih dilihat mengembang dengan kadar pengangguran yang rendah, kurang dari 3.4 peratus. Kadar inflasi juga rendah, kurang dari 1.9 peratus, jauh lebih rendah dari kadar di United Kingdom (UK) (6.7 peratus), Filipina (6.1 peratus), Singapura (4.1 peratus), AS (3.7 peratus) dan Indonesia (2.3 peratus).

Malah ada juga ahli ekonomi yang meramalkan kita sedang menuju ke tahap deflasi semula seperti yang dialami pada 2020. Ini agak jauh kemungkinan berlakunya selagi keyakinan pengguna dapat terus ditingkatkan.

Rumusannya, ekonomi Malaysia dijangka akan terus meningkat untuk tiga hingga empat akan datang. Minat untuk pembelian rumah dan hartanah mula meningkat, budaya membeli makanan secara penghantaran dan makan di luar dijangka akan terus meningkat selain budaya melancong masih kukuh walaupun ia menyerong kepada pelancongan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Kemboja dan lain-lain.

Pelancongan dalam negeri masih boleh ditingkatkan dengan memujuk kembali pelancong dalam negeri untuk melancong ke banyak destinasi produk pelancongan yang menarik di dalam negara.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Dr. Barjoyai Bardai adalah pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×