Perlu lahir lebih ramai pakar teknologi keselamatan, kesihatan

Perlu lahir lebih ramai pakar teknologi keselamatan, kesihatan

SISTEM kecerdasan buatan (AI) boleh diprogram untuk mengesan corak bahaya di tapak pembinaan, seperti penggunaan alat berat atau zon-zon berbahaya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERA industri semasa menuntut keutamaan aspek keselamatan dan kesihatan kepada masyarakat, tempat kerja serta persekitaran.

Ledakan teknologi terkini, seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT), bukan sahaja mengubah landskap kerja tetapi juga memberi impak besar terhadap cara memahami dan menguruskan risiko di sekeliling.

Risiko di tempat kerja kini menjadi lebih dinamik dan kompleks dengan kepesatan teknologi yang secara tidak langsung mempengaruhi proses kerja. Ini bermakna, proses baharu melahirkan risiko baharu wujud secara tidak terduga. Oleh itu, keperluan untuk mengenal pasti, menilai dan menguruskan risiko secara berkesan menjadi semakin mencabar dan memerlukan tahap pengetahuan dan kemahiran yang pelbagai.

Ini bermakna, profesional di bidang keselamatan dan kesihatan serta persekitaran perlu dilengkapi dengan keupayaan mengendali pelbagai situasi serta teknologi yang berkembang pesat dengan kecekapan dan ketepatan. Dengan kemahiran yang serba lengkap, mereka akan mampu menghadapi cabaran dalam era industri yang dinamik dengan lebih cekap dan berkesan.

Dalam usaha merealisasikan agenda kesejahteraan masyarakat, maka inisiatif melahirkan modal insan adalah pelaburan yang perlu digembleng. Ini bukan sekadar keperluan, tetapi merupakan pelaburan strategik bagi memastikan negara dapat mengatasi tantangan kompleks dalam era ini.

Yang dimaksudkan adalah usaha melahirkan teknokrat dan ahli bidang keselamatan, kesihatan pekerjaan dan persekitaran (KKPP). Mereka adalah golongan profesional yang akan memberi sumbangan kepada komuniti dengan kemahiran dimiliki iaitu mampu beradaptasi dalam kepesatan teknologi dan memanfaatkannya untuk mencegah keadaan berpotensi yang boleh membawa bahaya dan risiko baharu kepada masyarakat, dunia pekerjaan serta persekitaran amnya.

Oleh itu perencanaan memerlukan penyesuaian berterusan terhadap protokol keselamatan, kesihatan dan aspek persekitaran agar tetap relevan dengan perkembangan semasa.

Inisiatif ini tidak dapat menjadi kenyataan sekiranya negara tidak mempunyai teknokrat dan ahli bidang berwibawa.

Tambahan pula dalam era globalisasi yang tidak mengenal sempadan, rangkaian dan jaringan meliputi bekalan, budaya, amalan dan teknologi merentasi sempadan geografi-komunikasi, menimbulkan cabaran besar dalam mengekalkan piawai dan amalan yang konsisten.

Natijahnya, tanpa persediaan cukup, kita berisiko terjerumus dan tidak dapat menghadapinya dengan berkesan.

MASA DEPAN
Kita akan terus dihidangkan dengan ledakan teknologi dalam segenap aspek kehidupan pada tahun ini. Memanfaatkan teknologi seperti penderiaan IoT didorong kecerdasan buatan mampu meningkatkan pemantauan keselamatan dan pencegahan penyakit serta kemalangan dan impak alam sekitar.

Kemalangan dalam konteks industri umpamanya seperti fenomena kejadian yang tidak diingini melibatkan pekerja, aset, harta benda dan persekitaran yang impaknya saling berkait selain membawa kesan berantai.

Contoh, kesan negatif alam sekitar turut mempengaruhi sosioekonomi, kemerosotan kualiti hidup masyarakat tempatan, kehilangan peluang ekonomi dan tekanan tambahan terhadap sistem kesihatan awam.

Kesan berantai ini jika tidak dibendung bakal menyebabkan malapetaka yang lebih besar.

Teknokrat keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta persekitaran memegang peranan yang signifikan dalam menangani cabaran dalam era teknologi terkini yang dipenuhi dengan ledakan AI dan dunia digitalisasi. Sebagai golongan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran spesifik, mereka mempunyai tanggungjawab dalam mengintegrasikan teknologi baharu ke dalam lingkungan pekerjaan.

Misalnya kemahiran pengukuran risiko tempat kerja dengan integrasi teknologi AI membolehkan teknokrat dan ahli bidang mengenalpasti potensi bahaya dan menilai risiko yang mungkin terjadi di tempat kerja dengan menganalisis sumber serta data dengan cekap dan pantas. Sistem yang menyampaikan maklumat terkini yang responsif dan interaktif memberi manfaat besar dalam merangka langkah-langkah penyelesaian yang bersesuaian.

Rangkaian maklumat berasaskan pangkalan data terkawal adalah penting untuk memastikan kebolehpercayaan dan kesahihan cadangan yang diberikan oleh teknologi kecerdasan buatan.

Pengintegrasian teknologi mampu menemukan pendekatan baharu dalam intervensi yang lebih terarah.

Para teknokrat tidak boleh lagi kekal dengan peralatan, perkasasan atau kaedah lama dalam mengharungi zaman baharu kemodenan selari dengan cara hidup dan cara kerja baharu, maka risiko baharu juga muncul. Oleh itu, melahirkan teknokrat dan ahli bidang yang mahir dalam mengintegrasikan teknologi terkini menjadi keperluan dalam menghadapi cabaran globalisasi pada zaman ini.

URUS RISIKO
Pengurusan risiko keselamatan dan kesihatan serta persekitaran mengalami transformasi yang signifikan, sejajar dengan perkembangan semasa. Teknologi AI dan digitalisasi bertindak secara proaktif dan aktif dalam usaha meramal risiko. Ini secara langsung membuka peluang penambahbaikan mekanisme pengurusan risiko iaitu proses yang membolehkan tindakan pencegahan diambil sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sebagai contoh, sistem AI boleh diprogram untuk mengesan corak bahaya di tapak pembinaan, seperti penggunaan alat berat atau zon-zon berbahaya. Dengan menganalisis data dan corak, sistem AI dapat memberi amaran kepada pekerja atau pengurusan organisasi apabila situasi berpotensi membahayakan keselamatan. Ini membolehkan tindakan pencegahan diambil untuk mengurangkan kemungkinan kemalangan atau kecederaan di tempat kerja atau kesan persekitaran.

Teknologi AI dan digitalisasi memperkenalkan dimensi baharu dalam pengurusan risiko melalui penyesuaian dinamik protokol keselamatan dan kesihatan berdasarkan perubahan dalam persekitaran kerja atau faktor luaran. Dengan kata lain memperlengkapkan kerangka pengurusan risiko dengan daya tahan terhadap sebarang perubahan drastik.

Hal ini memungkinkan organisasi untuk bertindak balas terhadap ancaman atau situasi yang berubah dengan cepat, menjadikan mereka lebih bingkas menghadapi risiko-risiko baharu yang muncul.

Oleh itu, ledakan teknologi terkini tidak hanya mengubah cara bekerja, tetapi juga memberi impak signifikan terhadap cara kita memahami dan mengelola risiko. Dengan demikian, cabaran yang perlu dihadapi merangkumi usaha kesinambungan dalam melahirkan para teknokrat dan ahli bidang yang berkaitan serta memastikan golongan ini kekal relevan di zaman digitalisasi, AI dan IoT.

Dengan kesedaran dan iltizam semua pihak berkepentingan dan pembuat dasar, negara dapat memanfaatkan teknologi untuk mencipta persekitaran kerja yang lebih selamat, produktif, dan lestari bagi masa depan generasi mendatang.-UTUSAN

DR. Mohd. Zubairy Shamsudin adalah Penolong Profesor Faktor Manusia dan Ergonomik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×