KUALA LUMPUR: Allahyarham Abd Mohd Khalid Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Khalid Ali cukup dikenali dalam arena bola sepak negara, meninggal dunia pada usia 66 tahun.
Khalid yang dilahirkan di Ampang, Kuala Lumpur itu adalah antara pemain bola sepak terhebat dimiliki skuad kebangsaan dan mewakili pasukan Malaysia pada 1977 hingga 1983.
Hampir setahun, Khalid bertarung dengan kanser paru-paru yang dihadapi Allahyarham selepas mengetahuinya pada awal Ramadan tahun lalu.
Khalid cukup terkenal sebagai seorang pemain tengah pernah bermain pada era 1970-an yang pernah membantu negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Russia pada 1980.
Antara kejayaan manis Khalid termasuklah menganggotai skuad Malaysia bimbingan Karl Heinz Weigang yang menjuarai Kumpulan 2 selain koleksi enam gol yang dijaringkannya sepanjang pusingan Kelayakan Asia tersebut yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Paling mengejutkan adalah bagaimana perubahan posisi Khalid dari bek kanan ke pemain tengah bertahan yang dilakukan oleh Weigang, menjadikan dirinya cukup digeruni pemain lawan seperti Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Brunei dan Filipina.
Bekas penuntut Sekolah Lelaki Ampang itu menjaringkan hatrik bersama Hassan Sani ketika Malaysia membelasah Indonesia 6-1 selain dua gol ketika membenam Filipina 8-0 dan satu membolosi gawang Korea Selatan dalam kemenangan 3-0 untuk aksi kumpulan.
Namun seperti kesemua 19 rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, kemanisan itu bertukar pahit apabila Kerajaan Malaysia mengarahkan pemulauan Olimpik Moscow sebagai membantah percerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Bersama Selangor, dia juga tidak pernah lekang dengan kejayaan seperti memenangi Piala Malaysia beberapa kali pada akhir era 70-an dengan menewaskan musuh tradisi, Singapura.
Khalid turut memiliki saudara turut bergelar pemain bola sepak yang pernah menyarung jersi Selangor dan Malaysia seperti Hanafiah, Rahman dan Zainal Abidin Hassan.
Khalid yang gemar berambut gaya afro ketika usia muda, sempat berkelana semusim ke Kuala Lumpur dari tahun 1981 hingga 1982 dan memilih untuk bersara pada 1985. – UTUSAN










