Mana pekerjaan berpendapatan tinggi di Malaysia?

Mana pekerjaan berpendapatan tinggi di Malaysia?

UNTUK mendapatkan mana-mana pekerjaan berpendapatan tinggi itu tidak semudah yang disangka. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA ditaip pekerjaan bergaji tinggi atau high income job dalam enjin carian Google, ratusan pautan laman sesawang akan menawarkan senarai pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

Kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan melibatkan bidang perubatan, perbankan, undang-undang, kewangan dan teknologi.

Di Malaysia, senarai pekerjaan bergaji tinggi yang ditawarkan turut melibatkan pegawai bank, doktor pakar, peguam, akauntan dan jurutera perisian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, ada juga senarai pekerjaan bergaji tinggi yang tidak memerlukan ijazah seperti juruterbang, ejen insurans atau hartanah, pekerja di pelantar minyak dan peniaga.

Senarai ini biasanya ditujukan kepada lepasan sekolah dan pelajar universiti sebagai panduan. Ia juga menjadi panduan buat pekerja yang merancang untuk bertukar bidang kerjaya.

Namun, untuk mendapatkan mana-mana pekerjaan berpendapatan tinggi itu tidak semudah yang disangka. Ia memerlukan tempoh masa yang panjang dan pengorbanan besar dari segi perbelanjaan kewangan untuk merealisasikannya.

Ia juga bergantung kepada tahap pendidikan, pengalaman, kepakaran dan nasib seseorang itu sama ada mendapat pekerjaan di syarikat besar atau kecil.

Ada yang mendapat keputusan cemerlang sepanjang tempoh persekolahan serta cemerlang di peringkat universiti, tetapi akhirnya gagal mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi kerana peluang yang terhad.
Yang tidak mendapat keputusan baik dalam peperiksaan dan gred kurang baik di universiti jauh lebih tipis peluangnya untuk mendapat pekerjaan bergaji tinggi.

Sebab itu, ratusan calon sanggup mengambil peperiksaan berkali-kali untuk menjadi pegawai tadbir diplomatik (PTD) kerana tawaran gaji jauh lebih baik berbanding jawatan lain.

Ada yang sanggup kekal di sebuah syarikat sehinggalah naik pangkat dan akhirnya menjadi bos untuk mendapat pendapatan lebih tinggi. Itu memakan masa belasan dan puluhan tahun. Sebab itu, ada syarikat yang masih mempunyai ramai pekerja yang hampir ke usia persaraan.

Jika mendapat kenaikan pangkat lebih awal, barulah boleh mendapat pendapatan yang lebih selesa. Lebih selesa jika meraih jawatan seperti pengurus, pengarah dan paling tinggi seperti ketua pegawai eksekutif.
Ada juga yang job-hopping atau bertukar-tukar kerja dalam tempoh yang singkat semata-mata untuk mendapatkan pendapatan lebih tinggi. Namun, ia akan memburukkan resume pekerja tersebut.

Paling berani, apabila ada yang sanggup berhenti bekerja untuk menceburi bidang perniagaan dengan harapan hasilnya akan memberikan pulangan dan pendapatan yang lumayan. Hakikatnya, tidak ramai yang berjaya.

Itu yang menyebabkan ada pekerja yang melakukan dua kerja. Siang kerja lain malam kerja lain. Ada yang menjadi penghantar barang dan makanan. Ada juga yang jadi ejen insurans.

Ada juga yang mengambil pekerjaan remote iaitu menjadi pekerja mewakili syarikat asing di negara sendiri.

Mengambil pekerjaan separuh masa seperti part-time atau freelance sudah menjadi kebiasaan di negara ini. Barulah boleh mendapat pendapatan lebih tinggi setiap bulan.

Ada juga yang mempunyai bakat dalam bidang seni dan sukan menceburi bidang tersebut. Hanya segelintir ahli seni dan atlet serta pemain yang benar-benar berjaya.

Yang terbaru, pempengaruh menjadi kerjaya yang dianggap sebagai pekerjaan berpendapatan tinggi walaupun hanya menggunakan platform media sosial. Tidak ramai yang boleh berjaya seperti Khairul Aming.

Namun, kerjaya dalam bidang e-hailing dan pempengaruh turut mendorong lepasan sekolah untuk menceburi bidang-bidang tersebut kerana mereka boleh mendapatkan pendapatan tinggi tanpa perlu melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Ada juga yang sanggup mengejar pekerjaan berpendapatan tinggi di luar negara seperti Singapura, Australia dan United Kingdom (UK).

Sebab itu, kira-kira 1.86 juta rakyat menetap di luar negara, dengan 1.13 juta daripadanya berada di Singapura ketika ini.

Jumlah itu tidak seimbang dengan jumlah pekerja asing di negara ini iaitu lebih 2.7 juta, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Pendapatan yang lebih tinggi jika bekerja di luar negara juga secara tidak langsung mendorong rakyat untuk berhijrah sehingga ada yang tertipu dengan sindiket penipuan seperti di Australia, Korea Selatan dan terbaru di Myanmar.

Hakikatnya, ia akan terus berlaku jika negara ini masih belum mampu untuk menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang mencukupi untuk rakyatnya.

GAJI PROGRESIF
Tahun ini, Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan. Kerajaan juga menyasarkan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang.

Berdasarkan kepada purata pendapatan negara kasar (PNK), Malaysia mencatatkan AS$11,830 (RM56,293) per kapita ketika ini.

Bank Dunia menetapkan, sesebuah negara mencapai status berpendapatan tinggi jika mencatatkan purata PNK melebihi AS$13,205 (RM62,835) per kapita.

Cita-cita negara berpendapatan tinggi ini sudah diperkatakan sejak era Tun Dr. Mahathir Mohamad namun ia masih sesuatu yang asing bagi rakyat di negara ini.

Selagi tidak ada perubahan dilakukan terhadap struktur pendapatan, kebajikan dan kos sara hidup pekerja, selagi itu rakyat akan terus bekerja, bertukar-tukar kerja dan bidang, mempunyai kerja sambilan kerana terhadnya pekerjaan berpendapatan tinggi dalam pelbagai bidang di negara ini.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×