SHAH ALAM: Skuad lelaki negara mengulangi pencapaian dua tahun lalu, mara ke final selepas menumbangkan Jepun 3-1 pada separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di sini, malam tadi.
Malaysia mengutip mata pertama menerusi Lee Zii Jia yang melakar kemenangan straight set ke atas Kenta Nishimoto 21-18, 21-15 dalam masa 51 minit.
Pemain perseorangan No. 1 negara itu tidak dapat beraksi menentang Singapura di suku akhir, semalam, ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.
Justeru, Zii Jia berkata, keadaan dirinya tidaklah 100 peratus cergas, tetapi, demi negara, dia berasa bertanggungjawab untuk bermain selagi terdaya.
“Saya rasa selagi saya mampu bermain, saya akan tetap bermain, sudah tentu dalam kejohanan seperti ini, tak kira perlawanan, hari ini, atau sebelum ini sewaktu saya berdepan Lin Chun Yi (pemain Taiwan) selagi keyakinan itu ada saya akan tetap beraksi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.
Menurut pemain No. 10 dunia itu, dia pernah berdepan situasi yang hampir serupa ketika menyertai Indonesia Masters, baru-baru ini, dan masalah cirit-birit yang dialaminya sejak hari pertama di negara tetangga itu menyebabkan dia menarik diri di suku akhir.
Jelas Zii Jia, kejohanan berpasukan seperti BATC dengan dibantu sokongan penonton kadang kala mampu meningkatkan keyakinannya untuk bermain baik.
“Saya pernah kalah kepada Nishimoto pada China Masters, tahun lalu, saya sendiri terkejut dengan permainan saya, hari ini,” ujarnya.
Rentak kemenangan Zii Jia diteruskan oleh beregu lelaki pertama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dipaksa berhempas pulas sebelum menang ke atas Akira Koga-Taichi Saito 15-21, 21-17, 21-10.
Kejayaan itu juga amat bermakna buat Wooi Yik yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-26, hari ini.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya kerana dua tahun lalu (sehari selepas ulang tahun) saya tewas dengan beregu Jepun (Ayato Endo-Yuta Takei 21-23, 16-21) dalam saingan peringkat kumpulan.
“Jadi, saya amat berpuas hati kerana akhirnya dapat menebus kekecewaan itu pada hari lahir saya,” jelasnya ketika ditemui pemberita.
Bagaimanapun, pemain ke-38 dunia, Leong Jun Hao yang menggalas tugas selaku perseorangan kedua gagal mencipta kejutan ke atas Koki Watanabe yang menghuni ranking No. 20 dunia apabila tunduk 21-19, 12-21, 19-21 dalam aksi berlanjutan lebih sejam.
Jepun yang merapatkan jurang mata kepada 1-2, gagal dalam usaha mereka untuk mengikat tuan rumah selepas gandingan kedua Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mencatat kemenangan straight set ke atas Kenya Matsuhashi-Hiroki Okamura 21-15, 21-19.
Kejayaan yang dicipta beregu No. 22 dunia itu menghadiahkan kemenangan skuad negara 3-1 ke atas Jepun.
Skuad kebangsaan bakal berdepan China hari ini yang menundukkan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir. – UTUSAN










