KEB 2024: Felda, tanah wilayah pemangkin ekonomi Bumiputera

KEB 2024: Felda, tanah wilayah pemangkin ekonomi Bumiputera

AHMAD Shabery Cheek ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam Sesi Libat Urus Kluster 10 pada 30 Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 29 Februari hingga 2 Mac depan, buat kesekian kalinya akan berlangsung satu majlis penting dan besar iaitu Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) anjuran Kementerian Ekonomi di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Sejarah KEB bermula buat kali pertama pada 5 hingga 7 Jun 1965 yang menghasilkan 70 resolusi dengan antara yang terpenting ialah penubuhan Bank Bumiputera serta pembentukan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menggantikan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA).

KEB kali kedua yang berlangsung pada 7 hingga 10 September 1968 pula, selain menyemak pelaksanaan KEB 1965, turut menghasilkan 84 resolusi termasuk penubuhan syarikat kewangan kebangsaan, syarikat ansuran kebangsaan serta perbadanan perniagaan dan perusahaan Bumiputera.

KEB kali ketiga yang dilangsungkan pada 30 Mei hingga 1 Jun 1980 pula meluluskan resolusi yang di antara lainnya mendesak kerajaan membenarkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) menubuhkan sebuah bank Islam untuk mengumpul dan melaburkan wang umat Islam dalam pelaburan yang halal dan menguntungkan.

Sementara KEB kali ketiga dilangsungkan pada 10 hingga 12 Januari 1992 dalam usaha mewujud serta membangunkan satu Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) seperti yang terkandung dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dengan ia menghasilkan 63 resolusi.

KEB kali keempat yang dilangsungkan pada 10 hingga 11 September 1999 pula menghasilkan 113 resolusi dengan 60 daripadanya adalah menyentuh soal dasar dan struktur yang memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan manakala 11 resolusi menyentuh Islam secara khusus.

KEB kali kelima yang berlangsung pada 29 Mei 2010 pula menghasilkan 31 resolusi yang intipatinya adalah mendesak kerajaan menjadikan Perkara 153 Perlembagaan sebagai sumber induk Model Baru Ekonomi yang dirangka oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MAPEN).

Antara resolusi yang diluluskan ialah menggesa kerajaan memastikan kuota Bumiputera pada sektor strategik tidak dihapuskan selain menambah baik instrumen lama yang bersifat mesra pasaran dan tidak mengorbankan kepentingan Bumiputera, mekanisme baharu perlu diwujudkan.

Pada 1 September 2018, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) telah menghasilkan 63 resolusi merangkumi empat bidang fokus iaitu nilai, moral dan etika; pendidikan dan modal insan; pemilikan dan penciptaan kekayaan; serta keusahawanan dan perniagaan.

Antara resolusi yang diluluskan ialah menubuhkan jawatankuasa tindakan untuk mengkaji semua dasar serta akta pada peringkat Persekutuan dan negeri serta memperkasa agensi sedia ada untuk mengawal selia dan melibatkan diri dalam pembangunan tanah rizab Melayu dan tanah Wakaf.

KEB 1 1965 hingga 2020 yang dilangsungkan pada 1 Oktober 2020 pula menghasilkan 13 resolusi yang antara lainnya adalah memindahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) ke sebuah kementerian baharu yang diletakkan di Jabatan Perdana Menteri dengan Perdana Menteri sendiri sebagai menterinya.

Turut diluluskan ialah resolusi supaya Mara dimandatkan dan dimudahcarakan untuk lebih berwibawa serta supaya digubal satu Akta Kesaksamaan Peluang bagi memastikan Bumiputera memperoleh hak saksama dalam dunia pekerjaan, perniagaan dan pemilikan ekuiti.

Berdasarkan kepada penelitian ke atas semua KEB yang pernah dilangsungkan ini maka, kita dapat merumuskan bahawa KEB yang dilangsungkan pada peringkat awal adalah paling berkesan kerana ia memperlihatkan kesungguhan semua pihak untuk memperbaiki ekonomi Bumiputera.

KEB pada waktu itu dilangsungkan selama tiga atau empat hari dengan semua peserta betul-betul memerah otak mencari jalan bagi menghasilkan resolusi-resolusi yang ringkas tetapi mantap, berfokus dan disertakan dengan pelan-pelan pelaksanaan yang teratur.

Pada waktu itu, kita ada Almarhum Tun Abdul Razak Hussein yang mengumumkan pada 14 Julai 1967 bahawa kerajaan akan mengadakan KEB kali kedua untuk membaharui azam dan mengkaji hasil-hasil dan kemajuan ekonomi bumiputera semenjak KEB kali pertama pada Jun 1965.

KEB 2024
KEB 2024 ini kembali memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memperbaiki ekonomi Bumiputera. Sebanyak 10 kluster diwujudkan bagi menangani pelbagai isu spesifik, iaitu:
Kluster 1: Reformasi Pendidikan dan Modal Insan
Kluster 2: TVET Pilihan Kerjaya Utama
Kluster 3: Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat:
Kluster 4: Daya Saing Perusahaan Bumiputera
Kluster 5: Pengukuhan Industri Halal
Kluster 6: Penguasaan Teknologi Baharu
Kluster 7: Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli
Kluster 8: Sosioekonomi Bumiputera Sabah
Kluster 9: Sosioekonomi Bumiputera Sarawak
Kluster 10: Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) dan Tanah Wilayah

Masa panjang diberikan kepada setiap kluster untuk menyediakan bahan-bahan perbincangan bagi mengenalpasti permasalahan serta mengemukakan cadangan-cadangan, pelan-pelan pelaksanaan dan peserta KEB 2024 juga akan diberi masa tiga hari untuk membincangkannya.

Universiti Utara Malaysia (UUM) berbesar hati kerana dijemput terlibat dalam KEB 2024, termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaksanaan KEB 2024 bagi Kluster 10 yang diketuai oleh Pengerusi FELDA merangkap Pengerusi Kluster KEB 2024, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dengan bantuan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Siri libat urus dan simposium membabitkan ramai pemegang taruh memperlihat komitmen semua pihak, khasnya Ahmad Shabery sendiri dalam mengenalpasti agenda pemerkasaan Bumiputera luar bandar bagi mengurangkan jurang ekonomi dengan komuniti bandar melalui sumber tanah.

Antara penekanan utama kluster ini ialah mengenai transformasi pertanian dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara, peralihan adil (just transition) ekonomi Bumiputera serta penggunaan tanah dalam memacu ekonomi kitaran (Circular Economy) berimpak tinggi.

Dalam setiap butiran yang ada, dinyatakan dengan jelas pencapaian yang terhasil, dikenal pasti segala isu atau cabaran dan cadangan penyelesaiannya untuk tempoh masa 12 tahun ke hadapan, iaitu 2024 hingga 2025 (2 tahun), 2026 hingga 2030 (5 tahun) dan 2031 hingga 2035 (5 tahun).

Hari ini pula, momentum diteruskan dengan penganjuran Simposium FELDA 2024 bersempena KEB 2024 dengan ucaptama oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta perbincangan panel ke atas topik-topik penting termasuk Politik Kenegaraan Felda.

Semoga KEB 2024 dengan dukungan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kementerian-kementerian lain akan mampu mengulangi kejayaan KEB-KEB di peringkat awal serta menghasilkan resolusi-resolusi konkrit di dalam usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Foad Sakdan adalah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×