SHAH ALAM: Jangan jadi seperti tin kosong yang kelihatan kukuh dari luar tetapi pada hakikatnya tiada isi di dalam dan hanya berbunyi nyaring apabila diketuk.
Itu reaksi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang menyuarakan kebimbangannya terhadap persediaan skuad kebangsaan yang bakal mengharungi cabaran Piala Thomas di Chengdu, China, 28 April-5 Mei ini, selepas berakhirnya Kejohanan Berpasukan Asia (BATC), kelmarin.
“Kalau saya bilang pasukan Malaysia itu kuat untuk menjuarai Piala Thomas, ya (memang kita mampu) tetapi bagaimana (untuk) buat pasukan itu mantap, siapa pun pemain (yang disenaraikan) dia harus solid (padu).
“Kerana kalau kita tak ada pemain yang mantap sebagai satu pasukan (maka) kita hanya nampak kuat, tetapi pada hakikatnya kita seperti tong kosong yang bunyi nyaring, ini yang kita harus kukuhkan (termasuk) dari segi patriotik untuk bermain Piala Thomas,” katanya kepada pemberita selepas berakhir BATC.
Skuad lelaki negara telahpun melayakkan diri secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas, selepas sekurang-kurangnya perlu mara ke separuh akhir pada BATC bagi merebut slot ke kejohanan dwi tahunan itu.
Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, beliau diibarat seorang ‘ayah’ yang mahu melihat anaknya berjaya dan menjadi juara, tetapi, pada pengakhirannya terpulang kepada keinginan anak tersebut untuk merealisasikan impian berkenaan.
“Kalau saya sebagai ayah, saya (hanya mampu) bertanya kalau kita mampu (untuk bergelar juara), kerana juara bukan datang daripada saya, ia perlu datang daripada pemain yang berada dalam lapangan.
“Kita di sini hanya bisa memberi arahan, tetapi, yang mahu jadi juara itu siapa? Kalau saya cakap saya mahu jadi juara kerana mentaliti saya yang mahu jadi juara, kena tanya sama pemain,” ujarnya.
Mengulas kekalahan 0-3 Malaysia kepada China dalam perlawanan akhir, Rexy memberitahu, jika dilihat kepada senarai pemain yang skuad lelaki negara miliki peluang untuk muncul juara memang ada.
Bagaimanapun, jelas beliau, kehilangan dua tonggak perseorangan iaitu Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong kerana faktor kesihatan serta kecederaan telah membangkitkan keyakinan pasukan lawan.
“Seperti bola sepak yang tadi pada awalnya ada Ronaldo, ada Lionel Messi, tetapi, tiba-tiba mereka tak ada dalam pasukan, ya itu memang beri kesan kerana siapa yang akan menjaringkan gol.
“Pada pengakhirannya kita lebih tertekan, kita tak boleh kalah perseorangan dan beregu utama, kerana jika sampai ke aksi penentuan memang sukar, secara mental pasukan kita memang sudah ‘koyak’,” akuinya. – UTUSAN










