Ceritera Aman dan Haji Sabar Ali

Ceritera Aman dan Haji Sabar Ali

Risalah Ceritera Darihal Haji Sabar Ali tulisan Munsyi Abdullah diterjemah oleh Cyril Skinner pada 1983.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU kejadian jenayah pembunuhan yang boleh dianggap cukup penting berlaku di Singapura pada 1850. Peristiwa itu amat bermakna sehingga penjajah British pada waktu itu mengupah Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Munsyi Abdullah menulis risalah khas mengenainya.

Laporan di akhbar Singapore Free Press (27 September 1850) benar-benar memeranjatkan penduduk pulau itu apabila dimaklumkan nasib malang seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun menjadi mangsa penderaan.

Budak bernama Aman berdarah Arab dan dibawa sebagai hamba dari Aceh oleh Haji Sabar Ali, lelaki Tamil-Muslim yang menjadi penterjemah bahasa Tamil dan Melayu di mahkamah polis.

Akibat tidak tahan didera, Aman pernah melarikan diri ke rumah Temenggung di Teluk Belanga tetapi berjaya dikesan tuannya.

Pada 19 September 1850, Sabar Ali dan anaknya, Mohamed Ali didapati melakukan penderaan melampau dalam usaha memastikan Aman tidak lagi melarikan diri. Besi panas digunakan untuk mencederakan kedua-dua lengan, betis kanan dan kedua-dua tapak kaki. Kemudian, kaki budak itu dirantai.
Aman tetap berjaya merangkak dan menyelamatkan diri dari rumah Sabar Ali lalu meminta bantuan seorang polis bernama Armoogum. Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan sebelum Sabar Ali diperintah membela diri di mahkamah.

“Budak ini bohong, dia sendiri terbakar waktu malam orang Hindu mengarak berhalanya (perayaan keagamaan). Kena damar, bukannya saya bakar,” kata Sabar Ali sewaktu disoal majistret, sebagaimana dicatatkan Munsyi Abdullah kemudian.

Perbicaraan bermula pada 9 Oktober 1850 tetapi sebelum Sabar Ali sempat dipanggil membela diri pada 15 Oktober, Aman yang berada di hospital dilaporkan hilang pada 11 Oktober.

Mujurlah kes tidak dibuang tetapi ditangguh ke tarikh lain dan Sabar Ali masuk lokap satu malam.

Apabila sesi perbicaraan disambung semula pada 21 Februari 1851, Sabar Ali dan beberapa sekutunya berdepan tuduhan membunuh Aman. Akhbar The Straits Times (25 Februari 1851) dalam laporkan hampir satu muka penuh memperincikan butiran kes. Mahkamah bersidang dari 9 pagi hingga 9 malam dengan memanggil hampir 15 orang saksi.

Salah seorang tertuduh, Sinna Merican memutuskan untuk menjadi saksi dan menceritakan apa yang sebenarnya berlaku kepada kanak-kanak malang bernama Aman. Dalam masa lima minit sahaja, juri memutuskan Sabar Ali, Barak Mastan dan Olisah bersalah.

Apa yang sebenarnya berlaku kepada Aman? Pada 11 Oktober 1850, budak lelaki itu diculik dari hospital oleh orang suruhan Sabar Ali. Dia dibawa ke kawasan pulau di Riau dan hanya dibawa pulang ke Singapura, lima hari kemudian.

Aman disembunyikan pula di gudang arang di belakang rumah Sabar Ali. Lelaki itu yang keluar dari lokap memutuskan Aman perlu dihapuskan. Maka, Barak Mastan, Olisah dan Sinna Merican memasukkan Aman ke dalam bot. Kononnya, dia akan dihantar ke sebuah kapal laut yang sedang berlayar ke India.

Akan tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Di tengah sungai yang menuju ke laut, Olisah memegang budak berumur 12 tahun itu sementara Barak Mastan menyembelih lehernya dengan pisau dari telinga ke telinga (from ear to ear). Sinna Merican memastikan bot kekal stabil pada permukaan air sungai. Tali digunakan untuk mengikat seketul batu pada mayat sebelum dicampak ke dalam sungai.

Polis melakukan siasatan dan akhirnya berjaya menemui mayat Aman yang sudah reput pada 19 Oktober 1850.

 

MUNSYI ABDULLAH

Sabar Ali, Sinna Merican, Barak Mastan dan Olisah ditahan untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh. Sinna Merican bertukar menjadi saksi di pihak pendakwa.

Seminggu selepas juri membuat keputusan, maka pada 28 Februari 1851, ketiga-tiga pesalah digantung hingga mati di khalayak ramai.

Hukuman dilaksanakan pada pukul 7 pagi tetapi ribuan penduduk mula berkumpul seawal pukul 4 pagi untuk menyaksikan hukuman gantung yang julung kali dilaksanakan di Singapura.

Hampir satu setengah bulan kemudian, pada 12 April 1851, terbitlah risalah Ceritera Darihal Haji Sabar Ali setebal 34 halaman tulisan Munsyi Abdullah.

Risalah itu turut menarik perhatian Cyril Skinner dari Universiti Monash, Australia dalam kajiannya pada 1983.

“Bahawa ini satu peringatan darihal seorang India Muslim bernama Haji Sabar Ali serta seorang budak Arab dari dalam rumahnya yang bernama Aman.” Demikian dimulakan catatan tulisan Jawi oleh Munsyi Abdullah yang masih tersimpan di British Library, London.

Sabar Ali dilaporkan berucap dalam bahasa Tamil dan Melayu sebelum hukuman gantung dilaksanakan. Mayat ketiga-tiga individu terbabit ditanam di kawasan penjara kerana terdapat desas-desus para pengikut mahu mengebumikan jenazah dan dijadikan keramat yang disembah.

Memanglah ada penduduk mempersoalkan mengapa mahkamah (British) mengenakan hukuman terlalu berat ke atas Sabar Ali dan dua pembantunya. Perkara ini juga diulas Munsyi Abdullah dalam risalahnya.

“Maka pada sangka kami adalah juga sangka-sangka orang Keling, Hindu dan Islam bahawa hukum yang telah diletakkan ke atas ketiga mereka itu terlalu keras atau zalim atau yang boleh lagi diringankan atau dilepaskan,” tulisannya.

Dijelaskan bahawa perbicaraan yang amat adil telah dilaksanakan. Malah, 12 orang juri membuat keputusan sebulat suara tanpa dipengaruhi majistret.

“Ada pun hukum itu tiada memandang muka manusia iaitu baik hukum Allah atau hukum Inggeris. Bahawasanya adalah nyawa budak Arab yang telah disengsarakan itu sehingga dibunuhnya akan dia sama juga harganya dengan nyawa dan badan Sabar Ali yang bertiga itu,” Munsyi Abdullah menegaskan sambil memetik pelbagai ayat dari kitab Injil.

Peristiwa pembunuhan Aman berlaku terlalu lama dahulu dan rata-rata kita langsung tidak tahu-menahu atau ambil tahu. Namun, tidak mustahil masih ramai ‘Aman’ menjadi mangsa dan memerlukan pembelaan sebelum nyawa melayang.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×