Warga asing sudah mula ‘besar kepala’

Warga asing sudah mula ‘besar kepala’

PIHAK berkuasa perlu ada perancangan yang betul dan tindakan penguatkuasaan yang berterusan untuk mengawal, memantau dan mengambil tindakan terhadap warga asing yang menimbulkan masalah. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN warga asing membuka penempatan sendiri, menguasai aktiviti perniagaan dan terlibat dalam pelbagai kes jenayah boleh diumpamakan ibarat bom jangka panjang yang bakal memudaratkan rakyat dan negara.

Gerak geri dan tingkah laku mereka semakin merimaskan dan mula membimbangkan anggota masyarakat sehingga ada yang berasa takut untuk berada di sesuatu kawasan apabila dikeruni oleh jumlah warga asing yang terlalu ramai.

Penahanan lebih 1,000 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas lokasi dikenali mini Dhaka di Jalan Silang, Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa melalui operasi bersepadu baru-baru ini membuktikan semua telahan tersebut betul dan mula menjadi masalah yang cukup serius.

Dari segi penglibatan dalam aktiviti jenayah pula, data pihak berkuasa menunjukkan antara 2016 hingga 2022 seramai 52,381 warga asing ditahan kerana melakukan jenayah kekerasan dan harta benda khususnya dari Indonesia, India, Bangladesh, Myanmar dan Filipina. Manakala dalam tempoh 11 bulan pertama 2023, sebanyak 2,366 warga asing ditangkap pihak polis kerana didapati terlibat dalam pelbagai jenayah seperti mencuri, mencederakan manusia, membunuh, samun, rogol dan sebagainya.

Situasi ini dengan jelas membuktikan warga asing yang datang mencari rezeki sudah mula mengambil kesempatan dan tunjuk ‘besar kepala’. Justeru sebelum keadaan menjadi lebih parah dan sukar untuk dikawal, kita perlu tangani masalah kebanjiran warga asing khususnya PATI dengan segera.

Kita akui negara masih memerlukan sumber tenaga pekerja asing bagi memenuhi keperluan pasaran buruh tempatan namun tidak sewajarnya dibiarkan mereka membuka penempatan baharu, terlibat dalam aktiviti ekonomi domestik serta mengancam keselamatan rakyat dan negara seperti ini.

Sebagai orang luar, mereka wajib mematuhi segala peruntukan undang-undang. Mereka sepatutnya tidak boleh terlibat dalam perniagaan domestik, tidak boleh menceroboh dan meneroka mana-mana kawasan untuk dijadikan koloni mereka dan sudah semestinya tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah.

Isu lambakan warga asing bukan perkara baru sebaliknya sudah lama berlarutan sehingga ramai yang masuk sama ada untuk bekerja, melancong atau belajar didapati tidak pulang ke negara asal walaupun tempoh permit atau visa tamat. Mereka terus tinggal di negara ini secara haram dan melakukan pelbagai aktiviti yang melanggar undang-undang. Apabila bilangan rakan senegara semakin bertambah mereka berani dan nekad untuk membuka penempatan sendiri.

Misalnya mereka sudah berani membuka penempatan baharu sehingga wujudnya koloni warga India, Indonesia, Rohingya, Pakistan, Nepal, Arab dan Afrika di pelbagai kawasan strategik di seluruh negara. Bahkan ada pula kemudahan seperti sekolah, surau, klinik dan kedai runcit yang sekali gus membuktikan mereka sudah lama bertapak di situ dan tiada perancangan untuk kembali ke negara asal.

PENGUATKUASAAN
Justeru pihak berkuasa perlu ada perancangan yang betul dan tindakan penguatkuasaan yang berterusan untuk mengawal, memantau dan mengambil tindakan terhadap warga asing yang menimbulkan masalah.

Cabaran utama ialah bagaimana boleh memastikan warga asing yang datang sebagai pelancong, pelajar ataupun pekerja pulang ke negara asal setelah tamat tempoh visa dan permit? Bagaimana pula tentang mekanisme pemantauan terhadap aktiviti mereka lakukan sepanjang berada di negara ini? Ini menjadi masalah besar dan masih belum nampak satu mekanisme mantap yang boleh merungkai masalah ini. Akibatnya bilangan warga asing yang tidak pulang dan tinggal melebihi tempoh semakin bertambah dan menjadi semakin sukar untuk dikawal.

Pihak berkuasa perlu mewujudkan sistem kemasukan dan pemantauan yang lebih berkesan selain secara berterusan melaksanakan operasi bersepadu membabitkan semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap warga asing yang bermaharajalela seperti ini.

Dalam hal ini, aktiviti penyeludupan migran termasuk dengan warga tempatan dan anggota penguatkuasa sebagai dalangnya perlu turut ditangani dengan segera. Kawalan sempadan perlu terus diperkasakan dan tindakan yang sewajarnya diambil.

Selain itu, kewujudan ejen tidak sah termasuk yang menubuhkan syarikat tetapi tidak berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut menyumbang kepada lambakan pekerja asing tanpa dokumen dan ini juga perlu dibanteras sepenuhnya melalui mekanisme yang lebih berstruktur.

Majikan juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sebaliknya mula memberi peluang dan kepercayaan kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan peluang pekerjaan yang ada.

Manakala anggota masyarakat juga perlu lebih cakna dan berani tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa jika ada gerak geri warga asing yang mencurigakan di kawasan masing-masing. Kita perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa kerana kita lebih mengetahui apa yang berlaku di sekitar kediaman masing-masing. Tuntasnya, jangan biarkan warga asing menceroboh tanah di kawasan kita dan membuka penempatan mereka sesuka hati.

Di samping itu tindakan segelintir anggota masyarakat yang menjual atau menggadai lesen perniagaan kepada warga asing sehingga mereka pula mula menguasai operasi perniagaan di sesuatu kawasan juga perlu diambil tindakan segera.

Justeru bagi menangani ketirisan ini, kita menyokong penuh cadangan mewujudkan undang-undang anti-Ali Baba yang membolehkan tindakan tegas diambil terhadap rakyat tempatan yang menyewakan lesen perniagaan kepada pekerja asing tanpa menepati syarat ditetapkan.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara perlu melaksanakan pengauditan dengan lebih kerap terhadap tapak perniagaan yang disewakan. Jika ada warga tempatan menggadaikan lesen kepada warga asing dan meraih untung atas angin, batalkan terus lesen perniagaan tersebut sebagai pengajaran dan hukuman. Tindakan tidak bertanggungjawab dan lepas tangan seperti ini perlu diberikan hukuman yang setimpal.

Semoga kerjasama semua agensi penguatkuasaan bersama-sama dengan anggota masyarakat dapat menangani pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh warga asing seperti pembukaan kawasan baharu, penguasaan perniagaan serta penglibatan dalam jenayah. Tuntasnya, tanpa sebarang tolak ansur kita perlu tegas tangani lambakan warga asing di negara ini.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×