BARU-BARU ini timbul isu persempadanan semula kawasan Parlimen dengan cadangan penambahan kerusi Parlimen berikutan pertambahan penduduk di negara ini.
Sebenarnya kaedah persempadanan semula bagi kawasan Parlimen adalah mengikut sistem Westminster yang tidak membahagi kawasan mengikut jumlah pengundi tetapi mengambil kira saiz sesuatu kawasan pilihan raya yang telah diamalkan sejak dulu.
Cadangan ini perlu dilihat dari segi aspek pasaran politik kerana kepolitikan negara hari ini tidak sama lagi dengan situasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Ini disebabkan kemasukan era pendigitalan menyebabkan politik tidak lagi dilihat sebagai satu kuasa yang muktamad dalam sistem pemerintahan demokrasi negara ini.
Tambahan pula dengan permulaan revolusi industri 5.0 (IR5.0) sudah pasti akan menukar suasana pendemokrasian kepada satu bentuk pasaran politik yang bersifat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Politik negara pada masa kini lebih terbuka dan tidak lagi berasaskan kepada dominasi satu kepartian. Rakyat mempunyai banyak pilihan dalam memilih mana-mana parti untuk dijadikan parti pemerintah yang mewakili mereka dalam tempoh masa lima tahun.
Maka kaedah persempadanan kawasan Parlimen juga perlu selari dengan prinsip persempadanan pilihan raya yang mengambil kira faktor luar bandar yang berhak untuk mendapat jumlah kerusi yang lebih banyak dengan jumlah pengundi yang lebih kecil bagi setiap satu-satu kawasan.
Ini disebabkan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang lebih berkesan dalam memaksimakan sokongan input kepada pasaran politik adalah pembangunan di luar bandar berbanding di bandar.
Sebenarnya input dari luar bandar akan memberikan impak kepada pasaran politik di bandar disebabkan migrasi anak anak muda dari luar bandar dan akhirnya bekerja dan menetap di bandar.
Keselarian strategi pasaran politik ini turut boleh digunakan dalam prinsip ‘ukuran pewajaran luar bandar’.
Ini bermakna strategi politik kini lebih kelihatan kepada satu produk perniagaan yang mana mempunyai matlamat dan manfaat untuk ditawarkan kepada rakyat.
Tambahan pula tawaran yang dijanjikan oleh mana-mana parti politik adalah untuk memenuhi kehendak dan citarasa pengguna yang membeli dengan keyakinan kualiti produk tersebut melalui undi dalam pilihan raya.
Tetapi apa yang berlaku pada masa ini pembeli produk politik lebih suka kepada produk politik baharu daripada produk lama yang adakalanya belum teruji akan kualitinya.
Ini menyebabkan berlakunya jurang penyampaian perkhidmatan produk politik setelah komponen parti tersebut menang dalam PRU jauh tidak kesampaian.
Tetapi bukan semua produk politik baharu dianggap tidak berkualiti sekiranya kepimpinannya dipenuhi dengan iltizam dan akauntabiliti yang baik berbanding dengan produk politik lama.
Ini bermakna produk politik baharu mampu membawa perubahan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Jika dilihat dari segi soal penyatuan dan pengisian pembangunan rakyat negara ini sebenarnya mampu direalisasikan. Tetapi yang menghalang kepada usaha tersebut adalah disebabkan oleh demokrasi kepartian dan agenda kumpulan-kumpulan tertentu yang menggunakan platform politik.
Ini menjurus kepada agenda yang tertentu daripada mencapai matlamat produk politik yang ditawarkan semasa PRU. Akan tetapi kesedaran sebahagian masyarakat yang masih belum melihat bahawa perumpaan demokrasi kepartian politik dari sudut pandangan produk perniagaan menyebabkan wujudnya kegagalan dalam penyampaian perkhidmatan politik dan berlakunya ketidak puas hati ke atas parti politik yang memerintah daripada rakyat.
Dewasa ini semua maklumat dan pencapaian parti, pemimpin dan calon pilihan raya boleh ditelusuri dalam politik digital. Tetapi sebahagian masyarakat mudah terpengaruh dengan janji-janji yang ditawarkan sewaktu PRU tanpa memikirkan impaknya selepas itu.
PERUBAHAN
Walaupun rakyat sering menpersalahkan kepimpinan politik tetapi sebenarnya wadah politik yang dipilih oleh rakyat perlu dipertanggungjawabkan juga. Sepatutnya semasa PRU, masyarakat perlu mengelakkan situasi persepsi sebaliknya menggunakan kecerdikan emosi.
Kecerdikan emosi dengan melihat kebenaran produk politik yang ditawarkan itu mampu memberi manfaat sepenuhnya. Jika tidak, maka akan berulang situasi kerugian selepas produk politik tersebut dibeli dengan harga tempoh masa lima tahun.
Kecerdikan emosi ini amat penting dalam mengolah apa yang akan berlaku sekiranya produk tersebut dibeli kurang mampu menyatukan dan memberi manfaat kepada masyarakat dari segi politik, ekonomi mahupun sosial.
Masyarakat sering kali melihat tujuan matlamat berbanding manfaat politik. Situasi ini kerana teruja dengan kuasa dan bukannya penyampaian perkhidmatan produk politik yang ditawarkan.
Masing-masing mengharapkan akan berlaku perubahan dalam kehidupan mereka sebagai seorang rakyat biasa. Tetapi keajaiban pengharapan itu sebenarnya jauh daripada apa yang diimpikan rakyat yang mengundi kepada parti politik tersebut.
Ini hakikat yang sering terjadi kepada rakyat yang mengundi dalam sistem demokrasi kepartian. Impak daripada situasi
ini akhirnya menyebabkan ketidakstabilan politik ekonomi negara kerana berlakunya perebutan dan pempolitikan selepas tamat pilihan raya.
Akibatnya sebahagian masyarakat negara ini tidak puas hati kerana berada dalam kerugian. Kerugian ini selalunya
dialami oleh masyarakat majoriti negara berbanding masyarakat minoriti.
Masyarakat Bumiputera kini adalah majoriti penduduk negara ini dengan lebih 70 peratus penduduk tetapi dari segi soal keterjaminan sosioekonomi masih belum kukuh.
Ini disebabkan sebahagian besar masyarakat Bumiputera terdiri daripada golongan M40 Dan B40. Tambahan pula masyarakat Bumiputera hari ini tidak lagi bergantung kepada sistem penaung feudal modem kerana sebahagian besar adalah makan gaji dan mempunyai pekerjaan tetap.
Walaupun begitu, prinsip pengukuran pewajaran kawasan luar bandar perlu diutamakan kerana sebahagian besar masyarakat Bumiputera masih tinggal di luar bandar dan mempunyai hubungan saudara mara di bandar.
Ini membenarkan pewajaran ukuran luar bandar menjadi amat penting dalam persempadanan semula kawasan Parlimen bagi menjamin keutuhan aspek pasaran politik negara ini. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










