PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam boleh disifatkan sebagai hadiah tahun baharu yang cukup signifikan dan menggembirakan kira-kira 1.6 juta warga penjawat awam di seluruh negara.
Hal ini kerana sudah terlalu lama penjawat awam menunggu penstrukturan semula skim gaji apabila kos sara hidup semakin meningkat, manakala skim gaji yang sedia ada yang sedang digunapakai sejak 2002 melalui Sistem Saraan Malaysia (SSM) dilihat sudah tidak relevan dan tidak mampu menampung keperluan perbelanjaan penjawat awam seisi keluarga.
Hakikatnya pada ketika ini masih ramai yang hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan gaji yang diterima sehingga ada yang terpaksa membuat kerja sampingan di luar waktu pejabat untuk menambah pendapatan keluarga.
Seperti yang sedia maklum, kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada ketika ini sedang giat melaksanakan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi meneliti, merombak dan menambahbaik secara menyeluruh skim perkhidmatan dan gaji penjawat awam.
Hakikatnya kadar gaji permulaan yang rendah terutamanya untuk lepasan ijazah sarjana muda dikhuatiri boleh mengurangkan minat bakat-bakat baharu lepasan universiti memasuki perkhidmatan awam. Jangan lupa senario gaji yang tidak mesra pekerja seperti ini juga dilihat banyak menyumbang kepada kejadian brain drain atau ramai rakyat Malaysia membuat keputusan berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki.
Mengikut rekod, difahamkan hampir 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara dengan Singapura menjadi negara pilihan utama, diikuti Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Sudah semestinya ini sangat merugikan negara.
Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) yang pernah dikeluarkan Jabatan Perangkaan sebelum ini memperlihatkan kecenderungan gaji permulaan untuk lepasan ijazah di negara ini tidak jauh beza dengan paras gaji minimum pekerja tidak mahir, iaitu RM1,500 sebulan.
Sepatutnya penetapan paras gaji minimum tersebut membuka laluan pergerakan atau anjakan gaji permulaan bagi lepasan ijazah naik lebih tinggi untuk menjarakkan daripada kedudukan itu.
Namun itu tidak berlaku dan dapatan awal statistik gaji setakat ini menunjukkan ia sebenarnya mengherot ke bawah, rapat kepada gaji minimum, sekali gus mendedahkan majikan mengambil kesempatan untuk menggunakan gaji minimum itu sebagai rujukan untuk membayar gaji terutama lepasan ijazah dan pekerja berkemahiran muda. Jelas ini satu fenomena yang sangat tidak sihat dan membimbangkan.
Dalam konteks ini sewajarnya peningkatan upah dalam perkhidmatan awam perlu bermula dari kadar gaji permulaan untuk semua skim perkhidmatan. Misalnya, gaji permulaan lepasan ijazah sarjana muda bagi penjawat awam gred 41 antara RM2,200 sehingga RM3,000 sebulan sudah tidak relevan dan munasabah.
Mengambil kira situasi ekonomi dan kehidupan semasa serta paras gaji kehidupan wajar maka adalah dicadangkan perlu ada penetapan gaji minimum dalam perkhidmatan awam yang lebih kompetitif misalnya antara RM3,000 hingga RM3,500 dengan faedah kenaikan tahunan yang berpatutan.
TINGKAT PRESTASI
Ironinya kita yakin skim upah yang lebih adil dan munasabah bakal memberikan kesan positif berganda kepada penjawat awam, kerajaan, rakyat dan negara secara keseluruhannya. Hal ini kerana penjawat awam adalah tulang belakang pentadbiran kerajaan yang bertindak sebagai pemudah cara dan pelaksana semua dasar serta inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Jadi formula mudah ialah bila mana kerajaan sebagai majikan menjaga dan membela kebajikan pekerja yakni menjaga periuk nasi penjawat awam melalui kadar upah yang menarik, sudah semestinya para pekerja akan berasa gembira sekali gus membalas pengiktirafan itu dengan prestasi kerja yang lebih cemerlang.
Antara kesan langsung pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah ialah mampu menjadi pendorong dan menyuntik semangat serta motivasi setiap penjawat untuk meningkatkan prestasi kerja serta sumbangan kepada jabatan serta rakyat secara keseluruhannya. Ironinya, gaji yang lebih baik akan mendorong penjawat awam lebih produktif, berdaya saing dan sentiasa komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Hal ini kerana pembayaran upah yang adil dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan dan dedikasi penjawat awam.
Selain itu, skim gaji yang lebih adil dan munasabah juga diyakini mampu menangani masalah integriti seperti rasuah dan penyelewengan yang sering dikaitkan dengan penjawat awam.
Kita tidak boleh menafikan faktor gaji yang rendah menjadi antara sebab kenapa seseorang itu menerima rasuah atau menjadikan rasuah sebagai punca pendapatan tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan. Justeru bila mana kerajaan bersedia dan mula memberikan upah yang sewajarnya, maka tiada lagi alasan seseorang itu terlibat dalam rasuah.
Tuntasnya, upah yang adil dan munasabah pastinya boleh meningkatkan lagi tahap integriti sekali gus boleh menyelamatkan dana kerajaan yang bocor selama ini.
Oleh itu, diharap kajian SSPA dapat dimuktamadkan dengan segera supaya dapat dilaksanakan pada tahun ini juga berbanding cadangan pada 2025.
Harapan besar penjawat ialah, struktur gaji yang bakal diperkenalkan perlu bersifat lebih mampan sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan taraf hidup secara menyeluruh.
Gaji dan saraan yang lebih baik juga mampu menampung kos perbelanjaan yang diperlukan sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh penjawat awam terutamanya golongan B40. Dengan ini mereka dapat keluar dari desakan hidup seterusnya boleh fokus sepenuhnya kepada tugasan yang diamanahkan.
Sementara menunggu pelaksanaan pelarasan gaji tersebut, kerajaan juga wajar mempertimbangkan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memberikan kenaikan gaji dalam bentuk elaun khas terlebih dahulu dengan kerajaan boleh memansuhkan elaun khas tersebut setelah SSPA dimuktamadkan dan kenaikan gaji berlaku.
Terima kasih Perdana Menteri dan kerajaan yang prihatin dengan kebajikan penjawat awam. Pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap segala sumbangan yang telah diberikan oleh penjawat awam selama ini. Semoga inisiatif ini akan melonjakkan lagi prestasi perkhidmatan awam di negara kita.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM).










