Sensitiviti masyarakat harus dijaga

Sensitiviti masyarakat harus dijaga

MALAYSIA telah wujud lebih daripada 60 tahun yang sepatutnya membolehkan setiap rakyat sudah arif dengan kehidupan bermasyarakat yang rencam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMAN. Sentosa. Dengan menyebutnya sahaja, timbul rasa harmoni dalam jiwa kita. Tidak salah jika dikatakan setiap manusia mendambakan keamanan dan kesentosaan dalam kehidupan yang tiada ketentuannya.  

Bukan sahaja manusia biasa, bahkan setiap negara turut memburu sebuah masyarakat yang aman dan harmoni. Tanpa  keamanan, sesebuah negara tidak dapat maju ke hadapan, walaupun mempunyai  khazanah yang melimpah ruah.  

Berdasarkan laporan Global Peace Index, pada tahun lalu, tahap keamanan di Malaysia berada pada tangga ke-19 di dunia. Pencapaian ini amatlah baik, berbanding kedudukan yang jauh ke belakang pada 2019, dengan kedudukan pada tangga ke-28.  

Bagi menentukan sama ada sesebuah negara itu dapat dikategorikan sebagai negara yang aman ataupun tidak, ia bergantung pada indeks yang digunakan.  

Indeks tersebut ialah Keamanan Positif (Positive Peace). Keamanan Positif ini ditafsirkan sebagai sikap, institusi dan struktur yang membentuk sesebuah masyarakat yang aman dan harmoni. Jadi, ini bermakna tahap amannya negara kita semakin baik, dengan keberadaan Malaysia berada dalam zon tinggi (high).

SENSITIF

Untuk mencapai status negara aman yang diiktiraf oleh masyarakat dunia  bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi, di sebuah negara yang dihuni oleh berbagai kaum dan etnik dengan agama dan kepercayaan bahasa serta budaya yang berbeza. Kita harus bersyukur kerana Malaysia yang mampu mengekalkan keharmonian, walaupun mempunyai kediversitian yang cukup tinggi. 

Apabila membincangkan tentang kediversitian, kita perlu sedar bahawa setiap masyarakat di negara ini mempunyai kesensitivitinya tersendiri. Misalnya, agama dan kepercayaan, bahasa, budaya dan sebagainya. Membincangkan soal sensitiviti mana-mana masyarakat di negara ini adalah satu perkara yang tabu.  

Dalam konteks Malaysia, agama dan kepercayaan adalah perkara yang paling sensitif. Sewaktu proses kemerdekaan, pemimpin-pemimpin terdahulu telah bersetuju untuk memasukkan klausa agama dan kepercayaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Perkara 3 (1), termaktub bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan. Dalam perkara yang sama, termaktub juga tentang klausa bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Negara kita memberikan memberikan kebebasan kepada semua rakyatnya untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing tanpa batasan. 

Pada masa yang sama, hidup di bumi merdeka, Malaysia telah wujud lebih daripada 60 tahun yang sepatutnya membolehkan setiap rakyat sudah arif dengan kehidupan bermasyarakat yang rencam. Isu-isu sensitif berkaitan mana-mana agama tidak boleh dilontarkan dengan sewenang-wenangnya. Setiap tutur kata perlu dijaga agar tidak menyinggung perasaan mana-mana kaum. Jika tetap berbuat sedemikian, natijahnya pasti tidak baik. 

Kebelakangan ini, Malaysia terpalit dengan isu sensitif apabila seorang pemimpin politik tanpa mengambil berat tentang kesensitifan rakyat memberi cadangan pelantikan individu bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam. 

Kita sedia maklum bahawa jawatankuasa ini telah ditubuhkan pada tahun lepas, dengan tujuan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta bidang kuasa mahkamah syariah. Hasil kajian ataupun dapatan yang diperoleh akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk tindakan selanjutnya. Segala prosedur yang ditetapkan jelas menggambarkan bahawa jawatankuasa mempunyai fungsi yang berkaitan dengan agama Islam.  

Perkara menyedihkan sebegini terus berlaku atas kejahilan. Jika dicongak dengan logik akal sekalipun, mana mungkin seseorang individu yang tidak menganuti agama tersebut boleh mencampuri hal-hal yang bukan urusannya? Tidakkah ia hanya akan melebarkan lagi defisit sosial yang sedia wujud antara kaum di negara ini? Akibat tindakan seseorang itu, hubungan antara kaum terpalit lagi dengan lumpur. Bak kata pepatah, ikan sekambu rosak oleh ikan seekor. 

Dalam pada itu, peringatan tegas yang disampaikan melalui  titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat bukan beragama Islam tidak mencampuri urusan agama Islam sememangnya tepat.  

Sebagai Ketua Agama Islam di negeri baginda serta Pengerusi MKI, baginda mengambil inisiatif dengan segera untuk mencantas perbuatan menyentuh sensitiviti agama. Biarlah titah baginda menjadi satu pedoman agar perkara sebegini tidak berulang kembali. 

Pendek kata, hidup bermasyarakat dalam sebuah negara yang rencam, tali keamanan dan keharmonian cukuplah nipis. Ditarik sedikit pun, ia boleh putus dengan mudah. Begitu juga dengan sensitiviti yang wujud dalam masyarakat kita. Setiap satunya perlu dijaga agar kesejahteraan dan keharmonian terus terpelihara.  

Hanya dengan ini, negara kita dapat terus maju, menongkah badai globalisasi yang terus mendatang. -UTUSAN

M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN