BANYAK perkara menarik yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam amanat beliau sewaktu merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula semalam.
Objektif utama Wacana Strategi KPT ialah merangka hala tuju strategik KPT, menyelaras semula pelaksanaan strategi KPT, mencadangkan program dan inisiatif berdasarkan kluster perancangan hala tuju KPT serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian.
Selaras dengan objektif utama wacana ini, Perdana Menteri menekankan mengenai perlunya perubahan, baik dalam bidang pendidikan mahupun bidang pendidikan tinggi, bagi memastikan Malaysia dapat bangkit sebagai sebuah negara maju seperti yang dicita-citakan.
Bagaimanapun, seperti diperkatakan oleh beberapa ahli teori Barat, penentangan kepada perubahan (resistance to change) selalu berlaku dan ini berlaku dalam kalangan bukan sahaja orang biasa tetapi juga dari golongan elit, baik golongan elit politik, elit pentadbir atau elit intelektual.
Sebab itu Perdana Menteri menyebut bila beliau menegaskan kalau negara ini mahu bangkit sebagai sebuah negara yang hebat, perlu memperbetulkan tatakelola dan mesti menghentikan cara gelojoh memunggah kekayaan maka, beliau berhadapan dengan penentangan.
Saya paling tertarik dengan tiga buku yang dipetik oleh Perdana Menteri dalam amanat beliau ini.
Pertama ialah buku A Nation at Risk: The Imperative for Educational Reform yang dimandatkan oleh Presiden Ronald Reagan pada Ogos 1981 dan diterbitkan oleh Suruhanjaya Kebangsaan Mengenai Kecemerlangan dalam Pendidikan Amerika Syarikat (AS) pada April 1983.
Matlamat utama penubuhan suruhanjaya kebangsaan ini adalah untuk menyampaikan laporan tentang kualiti pendidikan di AS serta membantu mengenal pasti, memahami dan memperbaiki masalah-masalah yang melanda pendidikan di negara tersebut.
Yvonne Larsen, Naib Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaannya mendedahkan Pejabat Presiden Ronald Reagan memaklumkan mereka bahawa terdapat kebimbangan bahawa kualiti pendidikan di AS telah menurun menjadikan negara itu berhadapan dengan risiko tertentu.
Suruhanjaya kebangsaan ini antara lainnya mendedahkan bahawa prestasi purata pelajar sekolah menengah dalam kebanyakan ujian piawai kini lebih rendah daripada 26 tahun yang lalu dan penurunan hampir terus-menerus dari 1963 hingga 1980.
Konteks pendedahan buku A Nation at Risk ini adalah jika sebuah negara maju seperti AS dengan universiti-universiti yang terkemuka di dunia masih menghadapi masalah penurunan dalam kualiti pendidikannya maka apatah lagi negara membangun seperti Malaysia.
Buku kedua yang dipetik oleh Perdana Menteri ialah buku terbitan Ogos 2007 tulisan seorang profesor terkemuka yang pernah berkhidmat di Harvard University selama lebih 30 tahun, Harry Lewis, bertajuk Excellence Without a Soul: Does Liberal Education Have a Future?
Dalam buku ini, Lewis menyatakan bahawa universiti-universiti di AS telah gagal menunaikan misi mereka untuk mengubah anak-anak muda menjadi orang dewasa yang mampu bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka dan terhadap masyarakat madani.
Jelas Lewis, universiti-universiti ini telah meninggalkan usaha untuk membentuk karakter moral pelajar, masyarakat semakin skeptikal terhadap nilai-nilai yang diwakili dan ia dianggap sebagai sumber jaminan ekonomi untuk graduan tetapi bukan inspirasi intelektual atau peribadi.
Untuk mengatasinya, ada cadangan supaya dibuat reformasi pendidikan tinggi di AS dengan pemimpin universiti-universiti ini harus memberdayakan anak-anak muda menjadi contoh warga yang berpengetahuan, beretika, bertanggungjawab, matang dan berdikari.
Ujar Perdana Menteri, universiti-universiti di negara itu, walaupun tidak ada jiwa (soul) tetapi masih ada kecemerlangan (excellence), tetapi apa yang dibimbangkan beliau ialah universiti-universiti di Malaysia ini takut excellence pun tidak ada dan soul pun mulai runtuh.
Turut dibangkitkan oleh Anwar ialah berdasarkan pengalaman beliau menjadi fellow pelawat di Oxford University dan pensyarah di Georgetown University, kesungguhan disiplin anak-anak muda di Barat dalam menggali maklumat jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Sebab itulah beliau mempersoalkan kemampuan Malaysia untuk bersaing dalam dunia pendidikan dengan negara-negara seperti China, Taiwan dan Finland sekiranya tidak dapat dibentuk disiplin dalam kalangan anak muda, seperti yang disebut oleh Saidina Ali bin Abu Talib mengenai kecintaan terhadap ilmu.
Inilah cabaran besar yang dilontarkan oleh Perdana Menteri kepada peneraju universiti-universiti di Malaysia, iaitu untuk mengelakkan daripada wujudnya kecemerlangan tanpa jiwa, menggapai ke langit dan pada masa yang sama mengakar ke bumi dengan bahasa, budaya, akhlak dan nilai.
Dalam konteks ini, saranan Perdana Menteri supaya kepimpinan di universiti-universiti di Malaysia diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea-idea dan program-program baharu dalam bidang pendidikan negara untuk dinilai dalam tempoh tertentu amat wajar dialu-alukan.
Warga universiti di Malaysia yakin Wacana Strategi KPT selama dua hari dengan bimbingan dan panduan penuh daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, akan mampu menyahut cabaran-cabaran yang dikemukakan oleh Perdana Menteri ini.
Turut perlu diraikan ialah penegasan sejak sekian kali Perdana Menteri bahawa beliau sentiasa bersedia menerima teguran dan kritikan objektif dan membina terutama daripada kalangan sarjana dan intelektual tetapi bukan hanya bila sudah tamat kontrak dan tidak disambung jawatan.
Dalam konteks inilah buku ketiga yang dipetik oleh Perdana Menteri wajar diulangkaji semula oleh semua pihak, iaitu buku tulisan Allahyarham Profesor Dr. Syed Hussein Alatas bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun mengenai ‘bebalisme’ dalam kalangan sarjana dan intelektual.-UTUSAN
ProfESOR Dr. Mohd Foad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).










