PADU cermin kemampuankerajaan urus data raya

PADU cermin kemampuan kerajaan urus data raya

PANGKALAN Data Utama (PADU) bukan hanya berkaitan pengumpulan data, tetapi juga tentang memastikan penggunaan data tersebut dilakukan dengan selamat dan bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Pangkalan Data Utama (PADU) baru-baru ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hanya sekadar acara potong reben semata-mata. Ia titik tolak sebuah era baharu pengurusan data raya di Malaysia.

Selain itu, PADU mewakili komitmen kerajaan menghadapi cabaran pengurusan data raya dalam era digital. Lebih dari sekadar pembaharuan teknologi, inisiatif ini simbol usaha berterusan kerajaan dalam memanfaatkan data rakyat secara lebih bertanggungjawab dan berkesan.

Dengan proses pendaftaran agak mudah, PADU memastikan tiada sesiapa tercicir dalam era inklusiviti digital ini. Pendaftaran PADU terbuka bagi semua warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.

Sistem PADU mengintegrasikan data dari berbagai agensi kerajaan. Ia membuka jalan bagi pembuatan keputusan yang lebih tepat dan cekap. Ia menjadikan PADU lebih daripada sekadar sistem pengumpulan data. Ini adalah tentang bagaimana kita memanfaatkan kekuatan data raya untuk membangun masyarakat supaya lebih makmur dan adil.

Menariknya, inisiatif ini merangkumi pendaftaran manual bagi penduduk di kawasan pedalaman. Hal ini menunjukkan komitmen kuat terhadap kesamarataan akses. Tidak kira yang tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur atau di Kabong, Sarawak mahupun di Kudat, Sabah.

Langkah ini bukan hanya meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital, tetapi juga memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati hembusan manfaat melalui teknologi pengurusan data terkini.

Dengan insentif awal seperti kad Touch ‘n Go berteknologi Komunikasi Medan Dekad (NFC) selain diskaun, ia merangsang penyertaan awam yang lebih meluas.

Sementara itu, penglibatan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) menunjukkan sinergi komuniti setempat terhadap PADU. Mereka juga berperanan membantu masyarakat, terutamanya warga emas dan mereka yang kurang tangkas secara digital dalam proses pendaftaran dan pengemaskinian data.

Langkah ini menggambarkan usaha kolektif semua pihak dalam memastikan setiap warga negara terlibat secara aktif dalam sistem data nasional ini.

Justeru mari tunjukkan komitmen kita sebagai warga Malaysia dengan mendaftar akaun di PADU.

Pengemaskinian data dalam PADU mencerminkan rasa tanggungjawab terhadap negara. Kita diminta untuk mengemaskini maklumat penting termasuk data peribadi, maklumat tanggungan dan pendapatan bulanan. Semua bentuk data ini perlu dimuat naik dengan jujur dan tepat bagi memastikan keberkesanan penyaluran bantuan dan subsidi nanti.

TATAKELOLA
Fokus utama PADU ialah pada ketepatan pengagihan subsidi dan perlindungan sosial yang lebih adil. Dengan PADU, Malaysia membuka lembaran baharu dalam tatakelola subsidi yang lebih telus dan adil.

PADU dapat dilihat sebagai bukti komitmen negara terhadap ketelitian dalam pembuatan keputusan yang berlandaskan data sebenar. Langkah ini melambangkan transformasi digital yang signifikan. Ia bukti kemampuan Malaysia mengurus data raya dengan efektif dan efisien.

Transformasi yang dibawa PADU juga dilihat bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kasta B40, M40, dan T20. PADU membawa pendekatan yang lebih dinamik dan tepat dalam menilai status sosioekonomi rakyat. Lebih parah, ketidakseimbangan sosioekonomi akan menjadi kanser yang parah jika data rakyat tidak disalurkan kepada PADU.

Ini menunjukkan usaha kerajaan Malaysia untuk memahami dan menangani keperluan rakyatnya dengan lebih holistik, bukannya berpandukan kasta yang kurang mencerminkan realiti sebenar kehidupan.

Setiap individu akan dinilai berdasarkan kelayakan dalam menerima bantuan kerajaan.

KESELAMATAN DATA
Dengan langkah pendaftaran secara dalam talian yang mudah dan pengesahan identiti melalui sistem Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC), PADU memastikan keselamatan dan keaslian data setiap pengguna. Langkah ini bukan sahaja memperkuatkan integriti sistem tetapi juga memudahkan pengguna.

Namun di sebalik kegusaran kita, kekuatan PADU terletak pada komitmennya terhadap keselamatan data peribadi.

Dalam menghadapi cabaran keselamatan siber yang semakin meningkat, PADU mengambil langkah berhatihati dalam pengurusan dan perlindungan data.

PADU bukan hanya berkaitan pengumpulan data, tetapi juga tentang memastikan penggunaan data tersebut dilakukan dengan selamat dan bertanggungjawab.

Hal ini bukan hanya mengurangkan risiko kebocoran data, tetapi juga mempercepat respons terhadap isu-isu teknikal, sebagaimana ditekankan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Ini menunjukkan keseriusan PADU dalam melindungi privasi dan integriti data rakyatnya.

Apatah lagi apabila laporan pertengahan tahun 2023 CyberSecurity Malaysia menunjukkan sektor telekomunikasi dan sektor kerajaan mengalami kebocoran data yang signifikan. Sebab itulah PADU menggunakan kepakaran dalaman pengatur cara dalam kalangan penjawat awam. Hal ini bukan sekadar mengukuhkan integriti data, tetapi juga mempercepat respons terhadap isu teknikal.

Sebab itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd, Uzir Mahidin menekankan pentingnya maklum balas daripada orang ramai. Beliau menegaskan setiap pandangan dan cadangan daripada masyarakat tidak hanya dialu-alukan malah diteliti dengan cermat demi penambahbaikan PADU.

PADU bukan sekadar kecanggihan pengurusan data. Ia lambang kemajuan Malaysia dalam era digital.

Dengan PADU, kita melihat sebuah negara yang tidak hanya berani menghadapi cabaran data yang kompleks, tetapi juga berkomitmen memastikan setiap jiwa warganya merasakan tempias manfaat kemakmuran.

Inisiatif PADU menandakan era baharu dalam cara kita memanfaat data raya. PADU akan memastikan setiap suara didengari, setiap keperluan diperhati. Melalui PADU, Malaysia tidak hanya memperkukuhkan posisinya di pentas digital global, tetapi juga membina masa depan yang lebih cerah dan terhubung secara digital dalam kalangan lebih 32 juta rakyatnya.

Hakikatnya, setiap butir data bukan sekadar digit 0 dan 1 tanpa nyawa. Setiap butir data membawa cerita dan citra setiap denyut nadi rakyat Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik di Pusat Sains Data, Universiti Malaysia Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×