Negara huru-hara jika pemimpin bermasalah

Negara huru-hara jika pemimpin bermasalah

PEMIMPIN tertinggi negara yang hebat itu adalah seorang pemimpin yang memiliki keupayaan mentadbir dan mengurus negara dengan wawasan yang jelas dan terarah. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPIMPINAN merupakan satu tuntutan utama dalam sesebuah negara. Tanpa kepimpinan yang hebat dan berkualiti sukar untuk mengurus kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Negara perlu diurus dan ditadbir berdasarkan wawasan yang jelas dan terarah.

Tugas pemimpin inilah yang dinamakan sebagai siasah atau politik untuk tujuan mengerak masyarakat ke arah mencapai wawasan dan matlamat yang mahu dicapai oleh kepemimpinan negara.

Justeru, dalam keadaan dunia yang penuh cabaran hari ini, yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada negara, maka kita memerlukan pemimpin yang memiliki kekuatan akal, punya ketinggian keperibadian, nilai-nilai akhlak atau moral yang tinggi serta punya wawasan yang jelas dan terarah.

Kepemimpinan tertinggi negara mesti mampu mengatur tindakan dan gerak kerja dengan efisien yang dapat memberi impak kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Segala perkara-perkara teras kenegaraan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan tidak boleh dicairkan atau digadaikan berdasarkan kehendakkehendak parti yang bergabung dalam kerajaan yang hanya memikir agenda perjuangannya sahaja.

Dalam konteks inilah kita melihat Perdana Menteri sebagai ketua barisan Kabinet tidak akan dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan sekiranya terpaksa melayan tuntutan parti-parti dalam kerajaan yang hanya mahu menjayakan agenda kepartian, bukannya kepentingan nasional.

Kita tidak mahu adanya parti yang merasakan bahawa kedudukan dan kuasa Perdana Menteri sangat bergantung kepada mereka sehingga sanggup mengambil kesempatan untuk mendesak atau menggugut Perdana Menteri bagi memenuhi dan mencapai agenda perjuangan parti.

Hanya Perdana Menteri yang lemah sahaja yang akan melayan tuntutan dan ugutan-ugutan politik dalam gabungan kerajaannya itu disebabkan kedudukannya yang terpaksa bergantung kepada sokongan parti- parti tersebut.

Selain itu, pemikiran dan dasar pentadbiran yang terlalu liberal menyebabkan pimpinannya sebagai Perdana Menteri mengambil ringan (tidak kisah) dan bersedia memenuhi tuntutan-tuntutan dari parti berkenaan asalkan impiannya di tampuk kuasa tidak tergugat.

Barisan kepemimpinan negara perlu memiliki keupayaan mengatasi permasalahan yang timbul berpandukan awlawiyyat (keutamaan), bijak mengurus segala sumber negara sama ada sumber material dan juga manusia supaya semuanya dapat dimanfaatkan dengan baik dan efisien melalui pengurusan yang berintegriti tinggi.

INTEGRITI
Soal integriti bukan hanya berkisar kepada persoalan rasuah, sakau dan sebagainya tetapi ia berkaitan soal moral atau akhlak.

Bagaimana seorang pemimpin utama negara dapat memimpin dengan baik jika moralnya dipertikaikan rakyat? Pemimpin tinggi negara yang mempunyai isu atau masalah moral yang teruk pasti sukar melindungi maruah negara dengan tegas.

Harus diingat bahawa isu moral yang terpalit kepada batang tubuh seorang pemimpin akan dijadikan senjata pihak-pihak tertentu sama ada dari dalam atau luar untuk mengugut sehingga terpaksa menggadai prinsip mempertahankan maruah dan keselamatan negara.

Pemimpin negara juga akan dipertikai sekiranya dilihat atau dianggap rakyat mempunyai ideologi atau fahaman hidup yang tidak jelas atau bercanggah dengan pemikiran atau ideologi yang sepatutnya. Cara pembawaan dan pemikiran agama yang ditonjolkannya juga akan diteliti oleh rakyat sama ada pemikirannya itu benar atau meragukan.

Sayugia diingat bahawa pemimpin mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan dan perubahan budaya dan sosial masyarakat. Justeru, pegangan atau pembawaan ideologinya sangat penting dalam membentuk cara fikir masyarakat.

Contoh, jika pemikirannya berpaut kepada fahaman liberalisme maka ia akan mudah bertolak ansur dengan nilai-nilai fahaman tersebut walaupun bercanggah dengan nilai-nilai keagamaan atau adat ketimuran yang dipegang oleh masyarakat selama ini.

Selain itu, pembawaan sifat-sifat (akhlak) yang ditonjolkan oleh pemimpin negara juga akan memberikan imej kepada pemerintahannya. Harus difahami bahawa akhlak atau moral bersifat normatif dan mengikat yang harus diterap dan diamalkan dalam kehidupan seorang Muslim.

Hakikatnya, akhlak atau moral lebih merupakan perbuatan konkrit hasil dari kekuatan jiwa. Justeru, pemimpin negara harus memiliki kekuatan akhlak yang dapat dijadikan sebagai role model, dihormati dan diteladani oleh rakyat, kawan dan lawan.

Sudah tentu pemimpin yang dianggap sombong, pendendam, rakus dan suka berbohong akan dibenci oleh rakyat kerana sifat-sifat tersebut akan menyebabkan mereka berlaku zalim terhadap rakyat, musuh-musuh politik dan pengkritiknya.

Ibn Khaldun menyebut ada tiga dosa yang dapat menyebabkan kejatuhan kekuasaan seseorang pemimpin iaitu dosa kesombongan (keangkuhan), dosa kerakusan dan dosa kemewahan.

Kesimpulan, pemimpin negara yang hebat itu adalah seorang pemimpin yang memiliki keupayaan mentadbir dan mengurus negara dengan wawasan yang jelas dan terarah, memiliki keperibadian dan nilai moral yang tinggi serta mempunyai, pegangan atau ideologi yang jelas yang dapat difahami dan diikuti rakyat.-UTUSAN

PENULIS adalah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×