PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sudah pun bermula dengan berlangsungnya peperiksaan amali bagi mata pelajaran Kimia, Biologi dan Fizik baru-baru ini. Awal minggu ini pula, calon-calon SPM telah menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
SPM sering dianggap sebagai peperiksaan yang paling penting kepada setiap pelajar di Malaysia. Bagi kebanyakan calon, kemuncaknya adalah ketika menghadapi peperiksaan bertulis.
Kali ini, ia bakal bermula daripada 30 Januari dan berakhir pada 7 Mac 2024. Inilah waktu-waktu yang amat mendebarkan bukan hanya kepada calon-calon SPM tetapi juga kepada ibu bapa mereka.
Persiapan pada saat-saat akhir sebelum peperiksaan sudah menjadi semacam lumrah kepada para pelajar. Pada ketika inilah kita menyedari bahawa masih banyak yang perlu diulang kaji dan difahami serta ditaakul. Namun jangan sampai terlalu tertekan sehingga kita tidak mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik.
Pengalaman saya menduduki peperiksaan SPM adalah begitu istimewa. Sebagai pelajar di rumah atau homeschool SPM ialah peperiksaan pertama yang pernah saya duduki, maka ia satu pengalaman baharu dan kenangan yang amat berharga buat diri saya.
Sebagai calon SPM 2020, kami menduduki peperiksaan penting ini pada saat-saat yang amat mencabar. Ketika itu, Covid-19 masih mengganas. Masih segar di ingatan betapa cemasnya suasana yang kita hadapi ketika ini. Mendengar bunyi batuk atau bersin pada jarak yang hampir, sudah cukup untuk menakutkan kita.
Dalam usaha mencegah penularan kes Covid-19 di pusat-pusat peperiksaan, Kementerian Kesihatan telah menetapkan beberapa prosedur ketat yang harus dipatuhi sebelum kami dibenarkan masuk ke kawasan sekolah dan seterusnya ke dewan peperiksaan.
Perkara yang paling merisaukan adalah sekiranya saya kurang sihat. Maka, saya mungkin tidak dibenarkan masuk ke pusat peperiksaan. Ini menjadikan suasana peperiksaan SPM 2020 lebih tegang dan mencabar, baik kepada para pelajar mahupun guru yang bertugas serta ibu bapa.
Namun, semangat yang tinggi menjadikan kami tidak mudah menyerah kalah kepada kekangan dan cabaran. Pun begitu, ramai juga yang terpaksa melalui dugaan yang berganda akibat desakan hidup dalam keadaan ekonomi keluarga yang meruncing.
Dengan angka kematian yang tinggi, ramai yang kehilangan ahli keluarga secara tiba-tiba. Di kala itu, saya baru kehilangan ayah tiga tahun sebelumnya, yang juga secara tiba-tiba. Justeru, saya dapat memahami betapa hiba rasanya apabila mereka yang sangat disayangi pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Walaupun dalam saat-saat getir sebegitu, kami masih berusaha meredah segala halangan untuk menduduki peperiksaan. Tetapi malangnya, di kala keadaan sudah tenang, terdapat pula sebilangan calon SPM yang memilih untuk tidak mengambil peperiksaan walaupun telah mendaftar.
Ada dalam kalangan anak muda yang menganggap mengejar kemewahan itu lebih penting daripada menuntut ilmu. Kata mereka, hari ini ijazah tidak lagi menjanjikan kehidupan yang mewah, maka sia-sialah mereka belajar.
Malah ada yang merasakan bahawa menyambung pelajaran hanya akan menambah hutang kerana mereka perlu membuat pinjaman pendidikan. Pada waktu yang sama, tiada jaminan yang mereka akan mendapat pekerjaan yang baik setelah lulus kelak.
Ada juga yang berhujah bahawa mereka sememangnya tidak berminat untuk belajar. Oleh itu mereka merasakan lebih menguntungkan jika mereka mencari pekerjaan yang dirasakan tidak memerlukan kelulusan yang tinggi, namun besar pendapatannya seperti menjadi pempengaruh media sosial.

ILMU
Kehidupan berlandaskan nafsu dan berkiblatkan kebendaan semata-mata menjadikan manusia mencari jalan mudah untuk hidup mewah. Ada kalanya, halal dan haram sudah tidak lagi membawa apa-apa makna kepada mereka. Jahil? Tidak mengapa, kata mereka. Asalkan kaya raya dan boleh hidup bermewah-mewah.
Tanpa ilmu, kita mudah diperdayakan, dipergunakan dan sukar menentukan jalan yang harus dipilih tatkala tiba di persimpangan. Maka, kita mudah terikut-ikut ketika membuat pilihan. Ataupun, membuat pilihan penting tanpa mengkaji dan berfikir panjang.
Lihat sahajalah janji-janji politik yang ditabur, khasnya apabila mereka mahukan undi kita untuk mendapat kuasa. Hal-hal yang tidak logik dari segi perundangan negara sekali pun, boleh dijadikan umpan dan diterima sepenuh hati oleh penyokong mereka. Malah, para pentaksub sanggup mencari dalil bagi menolong menegakkan benang yang basah.
Begitu juga dengan tawaran perniagaan yang secara jelas tidak masuk akal. Namun, masih ada juga yang terpedaya walaupun setelah berkali-kali diberikan peringatan. Budaya mahu hidup senang tanpa memerah keringat menjadikan manusia mudah terpukau dan tertipu oleh kilauan fatamorgana.
SPM bukanlah tahap terakhir dalam perjalanan kita untuk menimba ilmu. Destinasi kita masih jauh dan cabarannya masih banyak. Memasuki alam pengajian tinggi, kita akan melalui tahap dan kaedah pembelajaran yang jauh berbeza daripada sebelumnya, yang mana kita perlu lebih banyak berdikari menyiapkan pelbagai tugasan yang diberikan.
Bagi saya, walaupun terpaksa bersengkang mata, kehidupan sebagai mahasiswa amat menyeronokkan. Di universiti tempat saya menuntut ilmu, kami juga dilatih untuk mengaplikasikan ilmu yang diajar di dewan kuliah bagi mengenal pasti serta mencari solusi dan membantu menyelesaikan masalah dalam masyarakat.
Melalui konsep komuniversiti yang dipelopori Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kami tidak sekadar melalui pendidikan demi menghafal teori semata-mata. Sebaliknya, seluruh universiti tidak kira pelajar mahupun pengajar bergerak sebagai satu masyarakat demi merubah masyarakat ke arah kemajuan.
Hal ini membuka mata dan membentuk kami supaya berfikir berdasarkan realiti serta menjadi insan yang bertanggungjawab.
Kepada calon-calon SPM, semoga anda semua berjaya. Moga perkongsian ini dapat membakar semangat anda untuk terus menimba ilmu.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










