MUKADIMAH
BARISAN Nasional (BN) nampaknya telah melepasi halangan pertama apabila berjaya mengemukakan nama bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon langsung yang mendapat sokongan bahagian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM, Timbalan Pengerusi BN, DATUK SERI MOHAMAD HASAN berkata, gabungan itu tetap optimis untuk menang kerana sentimen sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan calon BN ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said ditewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 27,179 undi agak berbeza dengan sekarang.
“Dulu sentimen yang dimainkan sehingga pengundi atas pagar terpengaruh untuk menolak BN apabila mengatakan kita kluster mahkamah, tetapi sekarang mereka pula satu demi satu menjadi kluster mahkamah. Seperti peribahasa mengata dulang paku serpih, mengata orang dia pun lebih,” katanya.
BERPELUANG MENANG
DALAM pilihan raya terutamanya PRK semua pihak mempunyai peluang sama cuma terpulanglah kepada mana-mana parti untuk menggerakkan jentera dengan baik.
Paling utama sekali ialah gerak kerja jentera untuk menyantuni seramai mungkin pengundi dan mesti mempunyai gerak kerja yang berfokus, tak boleh main pakai tangkap rambang sahaja. Mesti disantuni seramai mungkin ahli-ahli parti lebih dahulu yang merupakan teras kepada bakal pengundi yang akan mengundi nanti.
Dan seterusnya kita mesti mengkaji pengundi-pengundi yang lain. Boleh jadi di PRU15 dulu, isu-isu yang dimainkan (PN) pada ketika itu membuatkan orang ramai amat terpikat. Tetapi sudah lama, satu tahun telah berlalu, jadi isu-isu yang dimainkan itu nampaknya sudah tidak menjadi isu lagi.
Kami juga akan memasuki PRK Kemaman ini sebagai underdog (bukan pilihan). Jadi amat mudah jika kita berada dalam keadaan seperti itu untuk kita lebih bersemangat bekerja untuk menang.
Untuk menang itu satu perkara yang boleh dicapai dan kita boleh realisasikan jika semua ahli jentera bersikap untuk menang.
ISU KLUSTER MAHKAMAH SUDAH BASI
Ketika itu banyak (PN) bawa sentimen kluster mahkamah dan macam-macam tuduhan terhadap BN dan kita pula pada ketika itu orang kata tidak dapat menepis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kerana tidak cukup jentera untuk memberi penerangan.
Kalau tidak ditepis dalam pilihan raya ia (akan) menjadi penyebab kepada orang yang berada di atas pagar terpengaruh di atas mainan isu-isu itu terutama yang disebarkan melalui media sosial.
Tetapi kebelakangan ini orang yang mengatakan kita kluster mahkamah, mereka (pula) satu demi satu menjadi kluster mahkamah. Mereka jadi seperti peribahasa mengata dulang paku serpih, mengata orang dia pun lebih.
FAKTOR CALON BOLEH JADI PENENTU
Setiap PRK ia merupakan peluang yang sama kepada semua pihak dan yang penting ialah calon yang kita letakkan selain daripada gerak kerja jentera yang baik dan tersusun, calon mesti merupakan seorang calon yang boleh diterima dan dipercayai oleh pengundi-pengundi setempat.
Jadi memilih calon yang betul adalah merupakan satu kriteria yang penting dalam kita menghadapi PRK ini. Calon BN di Kemaman ini kita buat sepertimana yang dilakukan di PRK Cameron Highlands dulu, kita mengambil calon langsung yang bukan ahli (parti) tetapi anak tempatan. Calon yang mempunyai nama yang baik untuk mewakili BN.
Kita mempunyai masa 14 hari (tempoh berkempen), jadi kita mesti memilih calon yang sesuai dan baik supaya gerak kerja kempen kita nanti tidak terganggu kerana perlu membersihkan nama calon.
HENTIKAN SABOTAJ PARTI
Banyak juga kadang-kadang dalam pilihan raya ini kekalahan parti itu bukan disebabkan oleh faktor luar tetapi banyak faktor dalaman. Di banyak tempat dan di banyak negeri, faktor dalaman kadang-kadang menjadi 20 ke 30 peratus penyebab kepada kekalahan.
Jangan kita pandang ringan sabotaj dalaman ini kerana kadang-kadang menjadi faktor terbesar (kekalahan) kerana jentera boikot, dia tak bekerja, tidak menyantuni pengundi lagi satu dan yang paling tidak baik ialah menghasut pengundi supaya jangan mengundi parti sendiri.
Jadi kalau ini dapat diatasi khususnya di PRK Kemaman ini saya yakin tak ada apa-apa (sabotaj) kerana Ketua UMNO Bahagian Kemaman (Ahmad) sendiri dan yang lain-lain telah pun isytihar mereka tak mahu bertanding, timbalan ketua tak nak bertanding, semua tak bertanding dan menyerahkan kepada pihak kepimpinan di ibu pejabat untuk memilih calon yang sesuai.
Jadi ini orang kata satu bab sudah tertutup. Kadang-kadang ini bila menamakan calon sahaja banyak sabotaj, banyak peti undi tutup dan macam-macam.
Itu salah satu penyebab kekalahan tapi saya rasa di Kemaman ini kita tidak akan menghadapi masalah itu, jadi satu perkara orang kata tak timbul lagi. Sudah dapat kita tutup.
BERSEDIA TANGKIS ISU PEMBANGKANG
Pembangkang (dijangka) akan memainkan isu lama berkenaan dengan keberadaan UMNO dalam kerajaan perpaduan yang mana telah kita terangkan secara lengkap bahawa kita menubuhkan kerajaan ini di atas asas untuk mengurus negara kerana negara tak boleh berterusan tidak ada kerajaan.
Pada ketika itu (selepas PRU15), apabila disaran kita telah pun berbincang dan jalan terbaik pada ketika itu adalah untuk kita tubuh kerajaan bersama-sama dengan parti-parti yang lain demi untuk kita selamatkan keadaan.
Dalam tempoh hampir genap setahun kerajaan perpaduan, kita mahu pengundi melihat segala tohmah dan fitnah yang dilemparkan terhadap BN satu tahun dulu, di mana keadaannya sekarang. Jadi mereka tak ada isu lagi dah.
Jadi, diharapkan supaya orang dapat membuka mata dan kita lihat bagaimana mereka dulu diberi peluang untuk mengurus negara, tetapi keadaan tidak begitu baik untuk negara kita. Sehinggakan apa yang diuruskan oleh kerajaan sekarang ini adalah (untuk membaiki) akibat daripada kerakusan kerajaan yang sebelum ini, selama dua tahun.
NASIHAT KEPADA PENGUNDI KEMAMAN
Wakil-wakil rakyat yang mewakili PN kebanyakannya adalah orang yang tidak bersedia untuk menjadi pemimpin. Itu sebabnya di dalam Parlimen kadang-kadang kita dengar macam-macam cara mereka bertanya soalan yang menunjukkan keperibadian seseorang. Kita banyak terima keresahan-keresahan (daripada pengundi) bahawa masalah rakyat tidak diberikan keutamaan.
Kita nak dengar orang pandai bercakap ataupun orang yang bekerja? Jadi di Kemaman saya rasa pengundi boleh membezakan keberadaan mereka semasa berada di bawah pentadbiran BN dan juga semasa di bawah PN. Jadi terpulang kepada pengundi untuk membuat keputusan pada 2 Disember nanti sama ada mahu melihat perubahan ataupun tidak.-UTUSAN










