WALAUPUN kerajaan telah memuk-tamadkan untuk menukar model pelaksanaan 5G daripada rangkaian borong tunggal kepada dwi rangkaian, namun masih wujud perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak terhadap tujuan sebenar mengapa diubah mekanisme tersebut meskipun pelaksanaan telah diakui berjaya oleh pakar-pakar.
Tanpa memperincikan faktor kukuh mengapa ditukar kepada dwirangkaian, tetapi alasan diberikan kerana mahu menangani jurang digital khususnya di kawasan bandar dan desa, menjadikan komunikasi sebagai utiliti, menyampaikan penjimatan kos kepada pengguna akhir dan paling utama memastikan akses rangkaian 5G adalah adil dan sama rata kepada semua pemain industri.
Namun begitu, ada cakap-cakap sebaliknya mengatakan mahu menghapuskan monopoli Digital Nasional Berhad (DNB) yang diberikan mandat kerajaan Malaysia untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara.
Tohmahan ini terpalit kepada syarikat DNB yang dikatakan memonopoli 5G tanpa penglibatan syarikat telekomunikasi lain. Sejauh mana monopoli berlaku perlu melihat adakah wujud salah guna kuasa sehingga menjejaskan perkhidmatan internet dan kurangnya kualiti di samping harga terlalu membebankan rakyat
Bila berlaku peralihan kerajaan, pelaksanaan 5G sering disemak semula bagi memastikan usaha murni itu menepati piawaian pihak berkuasa. Namun, dalam soal ini, ketelusan sering menjadi persoalan adakah ia dilakukan mengikut proses yang betul atau sebaliknya.
Barangkali ini sejajar hasrat kerajaan Perpaduan yang mengamalkan tatakelola dalam setiap tadbir urus termasuk daripada segi perolehan dan tender awam.
Sebalik amalan tatakelola dilaungkan kerajaan, mengapa nama Huawei timbul ekoran desas-desus mengatakan kerajaan mahu memberikan kontrak rangkaian 5G kedua secara rundingan terus kepada syarikat telekomunikasi dari China berkenaan.
Hal ini kerana setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyebut untuk rangkaian kedua iaitu seeloknya melibatkan Huawei dan perkara ini disebut sebanyak dua kali oleh beliau termasuk dalam satu program baru-baru ini.
Sebaliknya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pernah menjelaskan malah belum ada sebarang bidaan dibuka untuk projek berkenaan pada setakat ini.
Ucapan Perdana Menteri itu hakikatnya telah mencetuskan pelbagai persoalan adakah sama ada Huawei akan dipilih sekalipun dikatakan syarikat itu bersama entiti lain perlu bersaing secara sihat menerusi tender dibuka dan perlu mematuhi seperti mana pernah dilalui entiti lain daripada seri pencapaian, harga dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Sekalipun kerajaan pernah menyatakan tidak terlibat, tapi apabila nama Huawei disebut sebanyak dua kali dan menyebabkan orang tertanya-tanya, adakah kerajaan telah memutuskan walaupun tender belum dibuka.
Hal ini kerana jika mengikut tender, sebarang keputusan perlu mengikut perolehan yang menilai daripada segi spesifikasi, butiran lain dan kos.
Ketika tender awal dibuka oleh DNB, Ericsson adalah lebih baik daripada segi peralatan 5G sebab itu Malaysia dapat rating tinggi dalam kalangan negara lain, malah perancangan syarikat itu juga bagus berbanding harga Huawei yang lebih mahal.
Malah tender pada ketika itu dilakukan lebih telus menyebabkan pencapaian 5G oleh DNB dan Ericsson berjaya serta mematuhi pematuhan piawaian harga antarabangsa. Secara umumnya, apabila harga rendah dan ada tender, maka diyakini tidak berlaku kepincangan perolehan projek dan keyakinan sama juga bersandarkan audit serta mendapati tiada sebarang masalah ketelusan.
Secara umumnya, niat kerajaan mahu menghapuskan monopoli nampak baik, namun mengapa isu tatakelola masih wujud ekoran timbul nama Huawei. Selain itu, timbul persoalan mengapa sistem rangkaian borong tunggal tukar kepada dwirangkaian sedangkan ia diterima baik oleh semua pihak khususnya badan rating antarabangsa kerana keberkesanan mekanisme 5G DNB dan teknologi digunakan Ericsson.
Selain tatakelola, soal keselamatan dan kecurian data merupakan kebimbangan utama dalam kalangan pelbagai pihak dalam pemberian kontrak rangkaian 5G kedua. Namun setakat ini, belum diketahui sejauh mana dakwaan tersebut.
Hakikatnya sebarang usaha untuk menghapuskan monopoli dilihat baik demi amalan tatakeloka, namun perkara itu perlulah selaras dengan iltizam dan tindakan dengan melakukan tender dan perolehan yang adil dan berintegriti.
Bagaimanapun sebarang tindakan jangan sehingga menyusahkan rakyat termasuk daripada segi harga dan capaian internet yang masih dipersoalkan dalam kalangan rakyat dengan kualiti internet untuk kegunaan perniagaan, pendidikan dan peribadi.
Segala keputusan jangan hingga menyebabkan Malaysia menjadi terlambat dan ketinggalan di dalam pelaksanaan 5G sedangkan negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina sudah ke hadapan dalam soal ini dengan melakukan semakan yang boleh menyebabkan pelaksanaan tertangguh.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










