Media bertanggungjawab tentukan maju mundur negara

Media bertanggungjawab tentukan maju mundur negara

MEDIA arus perdana perlu lebih prokatif menggelorakan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat, pada masa sama membina naratif perpaduan untuk rujukan semua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERIBAHASA bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat adalah panduan malar segar warisan nenek moyang kita untuk memandu bangsa ke arah hidup sejahtera dan harmoni sepanjang masa.

Jika dahulu pesanan ini disampaikan dari generasi ke generasi pewaris secara lisan dan berdepan ketua-ketua kampung, kini peranan media pula memikul tugas ini sebagai pemudah komunikasi. Lebih besar daripada itu, media arus perdana perlu menjadi kompas pemandu aspirasi dan hala tuju negara ke arah negara bertekadkan perpaduan.

Tidak dinafikan kewujudan pelbagai aplikasi yang ada kini makin memudahkan perhubungan antara manusia dan secara tidak langsung merapatkan hubungan silaturahim sesama masyarakat, Namun, pelantar ini juga kadangkala menjadi faktor perpecahan sekiranya tidak dipandu arahnya.

Bukan sekali dua kita disentak oleh pelbagai permasalahan perkauman yang dicetuskan oleh rakyat sendiri. Sebaran masalah sebegini cepat dimarakkan oleh kewujudan media sosial yang semakin membesar pengaruhnya dalam masyarakat.

Ada yang tercetus berpunca daripada kurangnya sikap toleransi sesama rakyat, malah tidak kurang pula wujud keadaan di mana ia sengaja didorong provokasi oleh pihak berkepentingan yang cuba menangguk di air keruh sekiranya berlaku huru-hara dalam negara.

Media arus perdana tidak kira konvensional seperti akhbar mahupun media elektronik perlu lebih prokatif menggelorakan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat, pada masa sama membina naratif perpaduan untuk rujukan semua.

Di samping menyuntik jiwa merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan bentuk baharu seperti penjajahan ideologi yang tidak selari dengan konsep Rukun Negara, media juga harus lebih bertenaga mempromosi naratif kehidupan bertamadun yang menjadi aspirasi setiap bangsa.

Membiarkan pengendali media sosial berleluasa mencorakkan pemikiran mengikut acuan ideologi mereka atas nama liberalisasi bersuara akan mengundang lebih banyak perpecahan masyarakat kerana sikap bertanggungjawab tidak mengikat mereka melalui pelantar ini.

Mutakhir ini pula wujud sebilangan agamawan yang juga tidak kurang menambah retak perpecahan dengan isu-isu yang mencetuskan pertikaian dan perbalahan sesama umat. Mereka bebas menggunakan media sosial untuk meracun pemikiran pengikut dengan memanipulasi agama demi kepentingan peribadi.

Berbeza dengan media arus perdana, keterikatan dengan pelbagai akta dan tanggungjawab sosial mendorong mereka lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap segala bentuk bahan yang boleh membina perpaduan mahupun yang mengganggu-gugat keharmonian negara.

Media arus perdana khususnya stesen televisyen berupaya menjadi kemudi masyarakat berbanding media sosial sekiranya perancangan rapi dirangka berpandukan pengalaman dan sejarah negara. Ini kerana media bentuk ini lebih lama muncul di negara ini sebelum meledaknya media sosial.

GHULUW
Tanggungjawab melatih, mengasah akal dan memberi ilmu tentang kaedah kemahiran berfikir, menaakul, membezakan antara yang hak dan batil perlu sentiasa diangkat. Begitu juga dalam memupuk nilai adab kendiri dalam penggalian ilmu yang kini cukup meluas pohon dan cabang rantingnya supaya masyarakat tidak mudah terjebak dengan sifat ghuluw dan taksub melampau.

Sebagai sebuah media yang berautoriti, sikap cepat melatah dan terlalu responsif terhadap lontaran di media sosial sehingga boleh mencetuskan perpecahan perlulah dielakkan untuk mengekalkan kredibiliti kewartawanan.

Sikap tidak berwaspada atau terlalu teruja dengan penarafan, penilaian penonton dan menjadi juara pemecah berita juga mungkin menjebakkan media arus perdana ke kancah penyebaran fitnah dan berita palsu yang kini semakin menular terutama apabila isu tersebut menyentuh sensitiviti perkauman atau agama.

Berita-berita seputar pemimpin yang berkepentingan diri dengan mengharapkan sentimen perkauman untuk memancing perhatian rakyat sebagai contoh, perlulah dihindari. Sebaliknya saranan dan seruan supaya mereka mengamalkan politik terbuka dan matang perlu menjadi hidangan dan tatapan utama.

Hal ini kerana sekiranya rakyat dan para pemimpin negara menjiwai konsep politik sihat, pasti perpaduan kaum dalam negara akan menjadi lebih erat. Ia juga dapat mengekang unsur-unsur perpecahan yang sengaja diseludup masuk melalui konsep pecah dan perintah yang sering menjadi modus operandi penjajah suatu ketika dahulu.

Memberi kefahaman kepada masyarakat tentang isu ekonomi seperti jurang ekonomi juga perlu menjadi tajuk utama media arus perdana. Masyarakat perlu disedarkan tentang dominasi kaum dalam bidang ekonomi telah pun timbul sejak zaman penjajahan British lagi.

Rentetan senario yang menyebabkan keterbatasan interaksi sosial antara kaum dan sering mencetuskan prasangka dan perkauman yang menyukarkan proses perpaduan ini perlu diperjelaskan dengan penuh hikmah oleh media arus perdana.

Tugas menyedarkan masyarakat untuk terus terikat dengan nilai perpaduan yang terpikul di pundak media arus perdana ini bukanlah kecil, apatah lagi dalam masyarakat majmuk dan pelbagai aliran politik.

Naratif keutuhan perpaduan kaum yang menjadi tonggak kesejahteraan kehidupan hasil daripada kestabilan ekonomi dan politik perlu menjadi agenda setiap warganegara. Medialah yang perlu ke depan menjuarai naratif ini supaya mereka turut rasa bertanggungjawab menentukan maju mundur tanah air yang mereka huni.-UTUSAN

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×