BENTONG: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini perlu memberikan kemenangan kepada calon Perikatan Nasional (PN) jika mahukan pembangunan di kawasan itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bunyi mungkin agak pelik, tapi itulah hakikatnya dan situasi sedemikian berlaku di kawasan-kawasan dimenangi pembangkang tidak kira kerusi Parlimen mahupun DUN.
“Di Pelangai ini, sejak merdeka sampai sekarang, tiada parti lain yang memerintah kecuali Barisan Nasional (BN). Menteri Besar paling lama pun di sini. Jadi, jika bercakap soal pembangunan, Pelangai jauh ketinggalan, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pun hanya satu, stesen minyak pun satu. Fasiliti internet jauh ketinggalan.
“Jadi, kalau hendak pembangunan, undi pembangkang, ini kerana mereka (kerajaaan) akan jaga kawasan pembangkang. Ini kaedah jika rakyat khususnya di Pelangai mahukan pembangunan,” katanya pada majlis penamaan calon PRK DUN Pelangai semalam.
Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, Felda kini bukan lagi kubu kuat BN setelah terbukti pada PRU14 dan PRU15 lalu yang memihak PN.
Beliau berkata, peneroka di Felda kini bukan lagi generasi pertama tetapi generasi kedua dan ketiga yang menghadapi pelbagai masalah yang membelenggu mereka terutama isu perumahan dan pembangunan infrastruktur.
Tuan Ibrahim turut mengharapkan peratusan keluar mengundi PRK Pelangai dapat mencapai 75 peratus terutama undi dari golongan muda. – UTUSAN










