Jelitawan ini tersenyum manis menyambut kehadiran saya. Padanan jaket kulit berona merah saga, seluar sendat dengan but, tajaan cerleneofficial cukup ranggi, mewarnai lagi pertemuan kami pagi itu.
Nyata status kurang upaya pendengaran, bukanlah halangan buat Atlet Tenpin Boling Negara, Siw Sing Hie tampil bergaya, lebih-lebih lagi untuk cemerlang dalam sukan berkenaan.
Tegasnya, sokongan keluarga dan penerimaan masyarakat terhadap dirinya, antara elemen penting membantunya melakar kejayaan dalam dunia sukan.
Malah tidak keterlaluan dikatakan, situasi itu jugalah membantunya untuk tidak berasa terasing di sebalik dunianya yang kosong tanpa sebarang bunyi.
Sing Hie memaklumkan yang beliau kini sedang sibuk menjalani latihan, sebagai persiapan untuk Kejohanan Boling Pekak Dunia yang bakal berlangsung bulan depan.
“Saya berlatih selama empat jam setiap hari. Saya tiada target apa-apa, cuma satu harapan saya supaya saya dapat membawa pingat untuk negara.
“Besar cita-cita saya untuk mengharumkan nama negara dengan kebolehan yang saya ada,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia.
Temubual kami dibantu dan diterjemahkan oleh jurubahasa isyarat persatuan.
Sing Hie pernah meraih pingat Emas Deaflympics Tenpin Boling kali ke- 24, dalam acara berpasukan. Beliau turut mengidam menjadi wakil Malaysia untuk kejohanan Deaflympics yang akan berlangsung di Jepun pada tahun 2025 nanti.
Ujar Sing Hie, permainan boling yang kini turut menjadi hobinya adalah salah satu cara beliau untuk mengekspresikan dirinya sendiri.
“Sukan ini salah satu cara untuk saya menonjolkan kemampuan diri. Saya yakin dengan kebolehan saya miliki malah amat yakin untuk menjadi atlet boling yang mampu menaikkan nama negara.
“Boling mengajar saya untuk menjadi seorang yang peka dan berkemahiran memandangkan sukan boling memerlukan fokus dan pengawalan postur badan yang betul untuk menjatuhkan pin,” katanya.
Berani mencuba
Pembabitan Sing Hie dalam sukan boling agak lewat iaitu pada usianya 24 tahun, atas ajakan rakan.
Nyata usia hanyalah angka. Di mana ada kemahuan, sudah pasti ada jalan menggenggam kejayaan.
Beliau membuktikan dirinya berani mencuba sesuatu yang baharu. Semangat itu membuatkan beliau nekad untuk menyertai skuad Boling Pekak Malaysia sekitar tahun 2014.
Ajakan daripada seorang kenalan itu disambut baik, sekali gus meletakkannya sebagai antara atlet boling berbakat. Lega bila hasratnya itu diterima baik oleh keluarga.
Sejak lebih lapan tahun mendalami boling, antara pengajaran bermakna buat Sing Hie adalah dia akhirnya menemukan satu kebolehan dalam diri.
“Ahli keluarga memang sentiasa memberikan sokongan dalam setiap perkara yang saya lakukan.
“Sehingga ke hari ini sokongan mereka tetap teguh. Itu yang menjadi kekuatan kepada saya untuk terus melebarkan sayap dalam dunia sukan boling,” ujarnya bersemangat.
Malah, jiwanya kini juga sudah sebati dengan sukan berkenaan.
Sukan boling memberikan peluang kepadanya untuk bersaing dengan rakan senasib lain di peringkat dunia, sekali gus meluaskan pengalamannya.
“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat jumpa satu kelebihan dalam diri iaitu sukan boling.
“Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjadi seseorang yang lebih baik dan berjaya, tidak kira apa pun status saya,” katanya lanjut.
Kasih sayang ibu tanpa batas
Sejak lahir, anak bongsu daripada empat beradik ini sudah disahkan mengalami masalah pendengaran akibat komplikasi di dalam kandungan.
Malah, ibunya sudah dimaklumkan oleh pakar bahawa bayi yang dikandungkan mengalami komplikasi dan ada kebarangkalian tinggi akan mengalami kecacatan selepas dilahirkan.
Bukanlah menolak pendapat pakar, namun, naluri keibuan yang begitu tinggi mendorong ibunya untuk memilih menyimpan kandungan tersebut.
Dengan harapan menggunung untuk menatap wajah anak yang yang dikandungkan.
Selama tempoh itu, ibunya tidak putus berdoa supaya kecacatan anaknya itu tidaklah terlalu serius.
Benar bagai diduga, setelah dilahirkan, Sing Hie disahkan mengalami cacat pendengaran di sebalik fizikalnya yang sempurna.
Namun, keluarga berketurunan Cina dari Sarawak itu berlapang dada dengan takdir yang ditentukan kerana sudah bersiap sedia sejak awal.
“Walaupun ahli keluarga yang lain semuanya normal, namun sedikitpun saya tidak pernah merasa tersisih.
“Mereka (keluarga) berusaha sebaik mungkin untuk berkomunikasi dengan saya menggunakan bahasa isyarat. Malah, kakak saya antara orang yang paling mahir berkomunikasi dengan saya,” katanya.
Disebabkan itu katanya, dirinya membesar dengan membawa aura-aura positif yang membantunya untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan.
“Biarpun bukan tergolong dalam golongan normal, penerimaan baik masyarakat cukup sudah memadai buat saya,” katanya.
Selain bergelar atlet negara, Sing Hie turut memiliki pekerjaan tetap sebagai kerani bahagian percukaian di sebuah syarikat di bumi kenyalang.
“Jika tiada kejohanan dan sebagainya saya akan bekerja seperti orang biasa dan kawan-kawan saya juga ramai daripada kalangan orang normal.
“Kawan melayan saya dengan baik walaupun saya sedar saya ada kekurangan. Kami berkomunikasi menggunakan tulisan di buku,” katanya.










