Harta benda tidak boleh beli ilmu

Harta benda tidak boleh beli ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ke manakah saya selepas ini?” – Itulah soalan lazim yang sering bermain di minda selepas menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan SPM dilihat ibarat pengatur arah dalam melangkah ke fasa kehidupan seterusnya.

Bagi calon yang mendapat keputusan cemerlang, sudah tentu sedang berdebar-debar menunggu jawapan daripada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi mendapat kepastian di institusi pengajian manakah mereka akan belajar dan jurusan apa yang bakal ambil nanti. Bagi yang kurang berpuas hati dengan keputusan peperiksaan, masih banyak jalan yang terbuka di hadapan, dengan syarat mereka mahu berusaha lebih keras untuk lebih berjaya.

Kejayaan tidak datang bergolek. Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu.

Memandang ke luar tingkap bilik hotel, keadaannya masih cerah walaupun jam sudah melepasi pukul sembilan malam. Beginilah suasana malam di Stockholm, Sweden ketika awal musim panas.

Saya tidak pernah membayangkan berdiri di sini ketika berada di tahun pertama pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas menerima jemputan daripada sebuah agensi kerajaan Sweden bagi menyertai forum antarabangsa bersama para peserta yang lebih dewasa, berilmu dan berpengalaman ialah satu rezeki yang tidak ternilai harganya.

Ini menguatkan lagi semangat saya untuk lebih tekun berusaha agar dapat turut sama membawa negara bangsa berdiri sama tinggi di peringkat dunia.

Berbincang bersama para delegasi daripada negara lain tentang Internet dan sistem pendidikan, saya insaf betapa beruntungnya dilahirkan di bumi yang bertuah ini. Walaupun masih banyak perkara yang perlu diperbaiki untuk menambah baik sistem pendidikan negara, kita sedang berada di tempat yang lebih baik berbanding banyak negara lain, khasnya dalam kalangan negara-negara sedang membangun.

Namun ironinya, hari ini ketika peluang belajar terbuka luas, ada pula yang memilih untuk tidak menyambung pelajaran setelah tamat SPM. Sedangkan hal inilah yang dituntut oleh nenek moyang kita dahulu.

Ketika itu maruah bangsa bersandar kepada ilmu. Namun kini, ilmu tiada lagi nilainya kepada mereka yang hanya mengejar kebendaan dan mengukur kejayaan berdasarkan wang ringgit.

Ada yang berpendapat, apa gunanya belajar kerana hari ini ijazah tidak lagi menjanjikan pendapatan yang lumayan. Sedangkan kos untuk menyambung pelajaran pada peringkat tinggi bukannya murah. Kata mereka, daripada ‘menghabiskan masa’ untuk belajar, lebih baik masa muda digunakan untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Namun, bagaimanakah nasib mereka jika yang untung itu bukan sabut tetapi batu? Bukankah ia akan terus tenggelam dalam sekelip mata? Akhirnya, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Ramai anak muda bercita-cita untuk menjadi pempengaruh media sosial, pencipta kandungan, menjalankan perniagaan atas talian dan menjadi kaya raya seperti menjadi pengasas-pengasas kosmetik yang terkenal di tanah air.

Ada pula yang bercita-cita mahu menjadi seperti Steve Jobs yang walaupun berhenti belajar awal, beliau tetap berjaya membina empayar perniagaan yang tersohor.

Jalan di hadapan kita masih panjang. Penuhilah usia muda dengan berusaha untuk mengisi ilmu di dada. Bagi saya, bukan sahaja penting bagi kita untuk memilih jurusan pengajian yang tepat tetapi pilihan pusat pengajian tinggi juga tidak kurang pentingnya.

Ilmu tidak dapat dibeli walaupun dengan segala harta kekayaan yang ada di dunia ini. Hidup tanpa ilmu ibarat berada di padang pasir yang kering dan gersang. Kita harus kembali membudayakan ilmu kerana itulah asas pembentukan budaya bangsa. Bangsa yang berilmu ialah bangsa yang bermaruah, kuat jati dirinya serta merdeka jiwanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN