PDRM mohon notis merah Interpol terhadap Tamim Dahri

PDRM mohon notis merah Interpol terhadap Tamim Dahri

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengeluarkan notis merah terhadap aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak yang dipercayai masih berada di luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan bertarikh 8 Jun lalu itu bertujuan membantu usaha mengesan serta membawa pulang individu berkenaan ke Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan kes provokasi agama.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas PDRM turut memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada langkah mengesan keberadaannya.

“Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, PDRM sudah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya telah mengemukakan permohonan Red Notice kepada pihak Interpol pada 8 Jun lalu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan RSN. Rayer (PH-Jelutong) mengenai status tindakan PDRM mengesan Tamim Dahri.

Pada 17 Mac lalu, Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas dimaklumkan bahawa dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan negara melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac sebelum ke Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Bagaimanapun, pendakwaan memaklumkan belum dapat mengesahkan sama ada Tamim Dahri memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.

Pada 17 Mei lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan ‘objek soolam’ yang merupakan simbol suci penganut Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN