KANGAR: Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Ali menegaskan, Pas negeri tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana individu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa terlibat pengkhianatan dan kini bersama Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara).
Ahmad berkata, pendirian itu diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah dan memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik.
Katanya, kerjasama dengan pihak terlibat juga akan dihentikan selagi isu pengkhianatan tersebut belum diselesaikan oleh parti Bersatu.
“Pas Perlis berpandangan setiap perjanjian antara parti gabungan perlulah dipatuhi dan dijalankan sebaiknya kerana perlanggaran sebarang perjanjian jelas menunjukkan pengkhianatan dan ketidakharmonian berlaku.
“Sehubungan itu, setiap isu yang melibatkan pengkhianatan terhadap perjuangan hendaklah ditangani secara bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Setiausaha Parti Bersatu negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Wawasan seterusnya dilantik sebagai Penyelaras Wawasan negeri.
Ahmad berkata, kepimpinan Bersatu hendaklah mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan sekiranya terdapat asas dengan melalui proses yang sepatutnya.
“Selagi tiada penyelesaian atau tindakan yang jelas terhadap perkara tersebut, Pas Perlis berpendirian bahawa kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan,” katanya.
Beliau memberitahu, Pas Perlis kekal komited bagi memperkukuh kesatuan dalam kalangan rakan-rakan gabungan yang benar-benar ikhlas mempertahankan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
”Kita akan terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam dan membuat setiap keputusan politik berdasarkan maslahah, keadilan serta kepentingan rakyat,” katanya.-UTUSAN










