KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh pendekatan strategik dilaksanakan kerajaan bagi menarik lebih banyak syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia melabur di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara usaha utama untuk memperkukuh ekosistem pelaburan negara ialah melalui pelaksanaan dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Katanya, pendekatan itu dilaksanakan menerusi kementeriannya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan tumpuan kepada pelaburan berkualiti, berteknologi tinggi dan berintensifkan inovasi.
“Selain itu, dasar sektoral seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Strategi Pelaburan Hijau (GIS), Pelan Hala Tuju Kimia 2030 (CIR) dan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035) turut menyokong agenda pembangunan industri negara serta memberi keyakinan kepada pelabur global terhadap hala tuju pembangunan negara.
“Kerajaan juga melaksanakan misi perdagangan dan pelaburan secara bersasar menerusi lawatan kerja yang diketuai Perdana Menteri serta saya serta wakil kementerian ke pasaran strategik bagi mempromosikan Malaysia dan menarik minat syarikat antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta kerajaan menyatakan usaha menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia untuk melabur di Malaysia.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan turut melaksanakan pendekatan Ecosystem-Based Mission (EBM) dan Strike Force bagi mengenal pasti, memudah cara serta merealisasikan peluang pelaburan berpotensi tinggi.
“Selain itu, Kerangka Insentif Baharu (NIF) “diperkenalkan bagi menggalakkan pelaburan bernilai tinggi yang menyumbang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) serta penerapan teknologi Industri 4.0,” katanya.
Kata Johari, kerajaan juga terus memperkukuh ekosistem industri dan rantaian bekalan tempatan melalui pembangunan vendor, peningkatan keupayaan perusahaan tempatan dan pengintegrasian syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan global.
“Ekosistem industri yang lengkap dan berdaya saing memudahkan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapatkan bekalan, komponen, perkhidmatan serta tenaga kerja mahir, dari sumber tempatan,” katanya.
Selain itu, Johari berkata, Kementerian dan MIDA memperhebat promosi media strategik bagi memperkukuh penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, stabil dan mesra pelabur, selain memperluaskan promosi pelaburan di peringkat antarabangsa menerusi rangkaian pejabat MIDA di luar negara.
“Usaha itu khusus menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia yang berpotensi membawa masuk teknologi baharu, aktiviti bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Selain menarik pelaburan baharu, jelasnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada aspek pemudahcaraan pelaburan sepanjang perjalanan pelabur, bermula daripada fasa pra-pelaburan sehingga pelaksanaan dan pasca-pelaburan.
“Ia bagi memastikan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapat sokongan yang diperlukan.
“Antara pendekatan yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pendigitalan proses permohonan Lesen Pengilang, insentif cukai dan geran melalui Portal InvestMalaysia sebagai pusat sehenti,” katanya.-UTUSAN










