Politik acah-acah, gebang...habuk tarak

Politik acah-acah, gebang…habuk tarak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Barisan Nasional (BN) tumbang pada 9 Mei 2018, politik Malaysia dirujuk sebagai politik Melayu berkecamuk. Dari tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu sehingga esok 9 Mei (2023), tepat tempohnya lima tahun.

Dalam tempoh lima tahun ini sahaja, Malaysia sudah ada empat Perdana Menteri. Yang terkini, Perdana Menteri ke-10. Namun, masih tetap berdepan cabaran getir ‘spekulasi tumbang kerajaan, akuan bersumpah (SD) dan gelombang enam pilihan raya negeri (PRN)’ setelah tiada mana-mana parti pun memperoleh majoriti mudah 112 kerusi dalam PRU15.

Berikutan itu, menerusi titah Yang di-Pertuan Agong, kedua-dua pihak yang meraih kerusi terbanyak – Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) diperintah duduk semeja untuk membentuk kerajaan perpaduan. Namun, tiada kesepakatan. Akhirnya, UMNO menjadi king maker menentukan pembentukan kerajaan (yang PM10 dipilih dari PKR) biarpun parti yang mengetuai Barisan Nasional (BN) itu cuma memperoleh 30 kerusi Parlimen. Ini berbanding PH 82 kerusi, PN (74).

Daripada 74 kerusi diraih PN, di pihak Pas sahaja memperoleh 49, jumlah kerusi tertinggi diperoleh mana-mana parti tunggal pada pilihan raya tersebut. Tonggak PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula memperoleh 25 kerusi. Daripada PH, dua sekutunya, DAP menang 40 kerusi manakala PKR (31) sementara BN didominasi oleh UMNO (26).

Parti-parti lain pula melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6), Parti Warisan (3) dan calon Bebas (2). Sementara Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing mendapat satu kerusi di Parlimen.

 

IMBAS Kembali… Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) mengetuai kumpulan pertama Ahli Parlimen BN ke Istana Negara, membawa akuan bersumpah (SD) bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 19 Ogos 2021.

CACAMARBA
Itu tadi sedikit sebanyak pengalaman dilalui lima tahun ini. Persoalannya, belum lagi selesai cacamarba politik Melayu ini, kita rakyat Malaysia boleh istilahkan politik sebegini ‘politik acah-acah, gebangnya sahaja tapi habuk pun tarak.’

Dalam tempoh kira-kira lima tahun sebelum PRU15 pada 19 November 2022, negara ini sudah banyak ketinggalan berbanding negara-negara tetangga lain. Itu baru di rantau ASEAN, belum diambil kira peringkat Asia dan Eropah.

Apa sudah jadi dengan kita? Bila dirujuk kita, bermakna ia merujuk orang Melayu. Tetapi bukan manfaatnya kepada orang Melayu keseluruhan atau massa Melayu itu, sebaliknya merujuk kepada keburukan sebilangan orang Melayu yang dipanggil ahli politik.

Di Indonesia contohnya, ahli politik biasanya digelar politikus. Satu-satunya istilah yang digunakan sebagai persamaan kepada istilah bahasa Inggeris, politician. Tetapi panggilan atau istilah politikus ini amat kurang sopan bunyinya – seolah-olah politician atau ahli politik itu semacam tikus yang sentiasa menyental barang makanan orang. Maka panggilan ahli politik lebih sesuai di Malaysia ini.

Cuma malangnya kita di sini sering diperingatkan dengan ungkapan siasah yang diketahui ramai – ‘politik itu kotor.’ Padahal ungkapan itu tidak mengandungi buah fikiran yang benar. Yang kotor ialah pengamalnya, bukan politik.

Tetapi kerana sudah masuk lima tahun politik Malaysia tidak lagi pulih, istilah politikus itu lama kelamaan melekat di fikiran rakyat negara ini.

Segala macam yang terdedah dalam lima tahun ini memperlihat kuasa politik dan undang-undang yang ada sudah luntur. Memang boleh dibandingkan dengan pepatah bila pohon tumbang, kura-kura pun naik. Dalam persekitaran inilah politik Melayu berpolemik sehingga hari ini, yang saban hari, minggu dan bulan merugikan orang Melayu, kaum-kaum lain, ekonomi dan kewangan negara.

RAKYAT BOSAN
Hal-hal berlaku depan mata hari ini semuanya soal berkaitan kehilangan budaya dan cara hidup yang dilarikan zaman, yang tolong ditiadakan oleh bangsa sendiri dan yang masih tiada jawapan jelas baginya. Lebih jauh lagi yang kita orang Melayu bimbangi adalah ketinggian darjat institusi yang dihormati kelak dipersoalkan apabila berkonflik dengan peraturan, nilai antirasuah atau nilai rasuah yang mencelakakan. Dengan adanya itu, kalau rule of law atau nilainya atau keunggulan undang-undang telah dicabul mana-mana pihak, akhirnya rakyat akan gunakan kuasa undang-undang itu untuk membuat pagar atau tembok masing-masing. Masa itu sudah terlewat.

Benar, panggilan atau istilah politikus amat kurang sopan bunyinya. Seolah-olah politician atau ahli politik itu semacam tikus yang menyental barang makanan orang. Tikus juga bawa imbasan suka lari daripada alam nyata ke sudut-sudut atau rongga yang sukar diteliti orang.

Tidak kira apa istilahnya, perjuangan melalui politik bukan perjuangan untuk diri sebenarnya walaupun pada mulanya seseorang itu tidak menyedari akan hal ini. Elemen pengorbanan tetap ada dalam perjuangan. Apa-apa yang kita ambil dari sistem itu akhirnya akan berbalas dengan apa yang kita sumbangkan dalam bentuk khidmat.

Bangsa yang mengambil iktibar berpandukan sejarah lampau untuk dijadikan pedoman dan hala tuju, diyakini akan terus maju.

Hentikan segera politik acah-acah. Jika nekad menyokong parti tertentu, kosongkan sahaja kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang dan hadap pengundi sebagai anak jantan. Itu lebih bermaruah.

Rakyat sudah bosan dengan kelibat kumpulan ahli politik ‘bawa SD’ keluar masuk istana. Keluar parti, masuk parti lain. Tubuh parti baharu, kemudian hasut wakil rakyat sana sini janji melangit jawatan, imbuhan.

Ugutan, tarik hand brake atau ‘politik acah-acah’ untuk menumbangkan kerajaan tidak berbaloi untuk Malaysia.

Pengalaman lima tahun ini amat berbahaya kepada keharmonian dan kestabilan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya